AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami

06 February 2009

6 tahun derita hidu bau tahi ayam

KUALA SUNGAI BARU – Lebih 50 keluarga di Kampung Bukit Beruang di sini, terpaksa menghidu bau busuk tahi ayam yang didakwa berpunca dari sebuah kilang ayam telur berhampiran sejak enam tahun lalu.

Tinjauan Sinar Harian di kampung berkenaan mendapati rata-rata penduduk sudah tidak tahan dengan bau busuk berkenaan hingga menjejaskan pekerjaan mereka. Malah ada yang mendakwa haiwan peliharaan mereka turut mati akibat bau terbabit.

Wakil penduduk, Ngo Teck Seong, 35, berkata, aduan mengenai masalah berkenaan sudah banyak kali dibuat kepada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil pihak berkenaan.

“Kita kadang-kala rasa malu apabila adik-beradik, saudara-mara, cucu ataupun cicit yang balik ke kampung, terutama di musim perayaan Tahun Baru Cina kerana bau busuk itu mengganggu mereka.

“Sampaikan ada cucu yang menyatakan kepada atuk mereka bahawa tidak mahu balik ke kampung kerana rumah atuk busuk,” katanya, semalam.

Menurutnya, perasaan malu tidak terkata ekoran kata-kata sinis daripada mereka yang pulang ke kampung untuk berkumpul sempena sambutan tahun baru.

Menurut Teck Seong, penduduk kampung berkenaan berharap, Yang Dipertua MPAG, Nordin Ali yang menggantikan bekas YDP MPAG dahulu, dapat mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah ini.

Sementara itu, Pengusaha Kambing, Lim Boon Yong, 50, kecewa kerana sikap pegawai MPAG yang datang ke sini dan mengarahkan penduduk kampung ini mencari sendiri punca pencemaran bau busuk tahi ayam ini.

Menurutnya, penduduk di sini bukan pakar dalam bidang ini, sebaliknya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang sepatutnya menyelesaikan perkara ini.

“Sepatutnya mereka (pihak MPAG) bijak menangani masalah ini. Ini kerja mereka dan orang kampung bukan mahir mengenai masalah pencemaran bau tahi ayam ini,” katanya.

Menurut Boon, masalah ini tidak akan selesai sekiranya pegawai yang sepatutnya menjalankan tugas mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini terus mengambil sikap acuh tak acuh..

Menurutnya, lebih menyakitkan hati setelah lebih 100 ekor kambing ternakannya mati akibat pencemaran bau disebabkan serangan Ammonia.

Beliau berkata, ekoran masalah itu, ladang ternakan kambingnya terpaksa ditutup dan kerugian yang dialami terpaksa ditanggung sendiri.

“Orang lain untung, saya terpaksa menanggung kerugian akibat sikap keghairahan pengusaha kilang ayam ini untuk cepat kaya.

“Namun sekiranya tiada jalan penyelesaian, penduduk harap kilang ini ditutup sahaja operasi ataupun berpindah ke tempat lain yang tidak mengganggu kehidupan harian penduduk,” katanya

0 comments:

Designed by - AMK TANGGA BATU