AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami

23 February 2009

Kenyataan SPRM berniat jahat - AMK buat laporan polis

KUALA LUMPUR, 23 Feb (SK) - KETUA Angkatan Muda (AMK) KeADILan Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin, bersama Timbalan AMK Wilayah Mohd Handi Mohd Said telah membuat satu laporan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Said Hamdan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur tengah hari ini.

Dalam laporan polis berkenaan, beliau membantah tindakan SPRM mendedahkan maklumat sulit mengenai Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim sebelum merujuk kepada Peguam Negara.

“SPRM tidak sepatutnya mendedahkan sebarang maklumat sulit kepada umum sebelum pertuduhan secara rasmi dibuat keatas Abdul Khalid,” kata Shamsul kepada Suara Keadilan Online tengah hari tadi.

Berikutan laporan Mantan Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toya menuduh Abdul Khalid telah menyalah gunakan kuasa beliau dalam pengunaan kereta persendirian dan pembelian lembu korban semasa Hari Raya Korban tahun lalu.

SPRM supaya berlaku adil kepada semua laporan yang di buat kepada mereka. Bukan hanya mendengar sebelah pihak atau hanya bertindak apabila orang-orang tertentu sahaja yang membuat laporan.

“Jelas menunjukkan bahawa, SPRM tidak berlaku adil dalam mengendalikan kes yang di adu kepada Suruhanjaya berkenaan,” kata beliau

Shamsul juga mendesak supaya pihak polis mengambil tindakan terhadap Ahmad Said diatas pengumumuan beliau kepada media semalam yang jelas menunjukkan bahawa penyalahgunaan kuasa secara terang dan telah melanggar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dengan memperuntukkan kuasa mendakwa hanya kepada Jabatan Peguam Negara.

“Tindakan beliau juga selari dengan usaha jahat dan terancang oleh Umno-BN yang mahu mengganggu gugat kestabilan Kerajaan Negeri Selangor khususnya dalam keadaan tampuk pemerintahan negara bakal diambil alih oleh Najib Tun Razak,” kata beliau dalam satu kenyataan yang diterima Suara Keadilan Online.

SPRM yang bertindak selektif mengumumkan bakal mendakwa Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim atas tuduhan penyalahgunaan kuasa beliau dalam urusan penyelenggaraan kenderaan peribadi dan juga pengagihan lembu korban oleh PKNS di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.

Shamsul juga mempersoalkan profesionalisme SPRM dalam mengendalikan siasatan kes-kes rasuah, khususnya yang dibuat oleh sayap PKR itu sendiri dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Laporan Pakatan Rakyat keatas pemimpin tertinggi yang membabitkan penyelewengan kes pembelian Eurocopter; rasuah mantan Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo; penyelewengan wang kerajaan oleh Kementerian Belia dan Sukan seperti didedahkan Laporan Audit Negara; lesapnya wang kerajaan melalui anak syarikat kerajaan Negeri Terengganu; akuan bersumpah Ketua Bahagian Keadilan Ipoh Barat dan puluhan lagi laporan rasuah dan salah guna kuasa yang dikemukakan oleh AMK, kesemuanya dibakulsampahkan oleh SPRM.

“Tindakan jijik ini pastinya tidak boleh menutup mata rakyat, dalam keadaan SPRM kini ibarat lembu dicucuk hidung oleh Umno-BN. Kehilangan berbillion-billion wang rakyat diabaikan, sebaliknya laporan yang tiada asas yang dikemukakan oleh Umno-BN melalui NGO-NGO yang pro-Umno didahulukan seolah-olah ia dosa yang telah terbukti besar,” katanya lagi.

Selain itu, AMK juga akan melakukan ‘kunjungan hormat’ ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk menghadiahkan beliau seekor lembu sebagai signifikan kepada peranan SPRM yang semakin tunduk di kawal Umno-BN.

Sementara satu lagi laporan telah di buat oleh Naib Ketua Angkatan Muda KeADILan Pusat, Khairul Anuar Zainuddin di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam tengah hari tadi berhubung kes yang sama.

Di Perlis, Ketua Penerangan AMK Perlis telah membuat laporan yang sama di Kangar dan Ketua AMK Terengganu juga mengambil tindakan yang sama.

Di Negeri Sembilan, AMK negeri itu juga bertindak sama.

Sumber : Suara Keadilan

0 comments:

Designed by - AMK TANGGA BATU