AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami

30 April 2009

Pembinaan lagun jangan jejas nelayan

MELAKA - Persatuan Nelayan Negeri Melaka berharap pembinaan lagun di Pantai Puteri, Tanjung Keling dekat sini, tidak menjejaskan tempat nelayan menyimpan sampan di pantai itu.

Pengerusi persatuan itu, Abdullah Yahya berkata, pihaknya bagaimanapun menyokong cadangan kerajaan negeri untuk membina lagun bagi mengatasi masalah hakisan di pantai itu.

“Kami mahu sampan nelayan yang berjumlah kira-kira 100 buah ditempatkan di kiri dan kanan lagun itu, bukannya dipindahkan ke sungai Lereh,” katanya.

Ahad lalu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, sebuah lagun akan dibina sebagai satu daripada langkah untuk menyelesaikan masalah hakisan di pantai itu.

Tinjauan mendapati pantai itu yang terkenal dengan keindahannya, kini diancam hakisan ombak yang serius.

Kesan hakisan di sepanjang kira-kira empat kilometer pantai itu dapat dilihat dengan jelas apabila banyak pokok rhu yang telah tumbang dan banyak lagi yang menunggu masa untuk tumbang.

Di sesetengah tempat pula, jarak yang masih tinggal antara pantai dan jalan raya hanya beberapa meter dan penduduk yang ditemui mendakwa kira-kira 50 meter kawasan pantai telah terhakis dalam tempoh 10 tahun lalu.

Abdullah berkata, dengan mengekalkan tempat simpanan sampan di pantai itu, ia akan menjadi tarikan kepada pengunjung dan mereka juga berpeluang membeli hasil tangkapan laut yang segar terus daripada nelayan, serta produk hiliran yang diusahakan nelayan.

Beliau berkata pembinaan lagun itu perlu mengambil kira pandangan daripada persatuan nelayan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) supaya faedahnya turut dinikmati nelayan.

-- BERNAMA

Sumber : Sinar Harian

0 comments:

Designed by - AMK TANGGA BATU