AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami

29 April 2009

Piket aman cari jalan henti operasi ladang ternakan babi

MASJID TANAH – Kira-kira 50 penduduk di sekitar Pengkalan Balak di sini mengadakan perhimpunan secara aman dengan membawa sepanduk membantah ternakan babi di kawasan itu.

Bantahan itu diadakan kerana penduduk bimbang ternakan berkenaan boleh membawa kepada wabak selesema babi (H1N1) yang kini sedang melanda Mexico dan kawasan sekitarnya..

Seorang penduduk, Zahrah Bachik, 62, berkata, dia dan penduduk lain yang tinggal berhampiran kawasan ternakan babi itu mahu kerajaan negeri bertindak segera menghentikan operasi penternakan di kawasan berkenaan kerana bimbang kesihatan mereka akan terjejas.

Menurutnya, penternakan babi yang sudah diusahakan sejak lebih 50 tahun di kawasan itu perlu dihentikan serta-merta sebelum wabak berbahaya itu merebak, walaupun setakat ini belum ada kes jangkitan di negara ini.

“Tiada jangkitan tidak bermakna negara kita boleh selamat daripada wabak bahaya itu, dan kalau tiada tindakan tidak mustahil ia boleh berlaku,” katanya kepada pemberita selepas turut serta dalam perhimpunan aman membantah penternakan babi di Bulatan Pengkalan Balak di sini, semalam.

Zahrah berkata, sejak dahulu sehingga hari ini, ternakan babi sering mengundang masalah kepada penduduk, terutama yang tinggal berdekatan dengan ladang babi di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi.

“Hari ini dengan munculnya wabak baru yang melanda dunia sekarang, ia mengundang kebimbangan dan seolah-olah nyawa dijadikan taruhan.

“Saya harap, kerajaan di peringkat Pusat mahupun negeri memberi perhatian serius untuk menangani masalah ini yang belum pernah selesai sampai sekarang,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk dari Kampung Pengkalan Balak, Zakaria Othman, 46, berkata, sejak kisah wabak berbahaya itu tersiar, penduduk di sini melahirkan rasa takut dan tidak boleh bersabar memandangkan tiada sebarang tindakan diambil pihak kerajaan.

Menurutnya, kalau dahulu memang penduduk boleh bersabar, tetapi dengan tersebarnya wabak itu, ia boleh mengancam nyawa dan mereka tidak boleh berdiam diri.

“Kita tidak marah kalau hendak ternak, tetapi mereka perlu gunakan kaedah moden bagi memastikan penduduk sekitar tidak menghadapi masalah dan ancaman,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

0 comments:

Designed by - AMK TANGGA BATU