AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami

17 May 2009

Demonstrasi bantahan Penduduk Kg. Pondok Kempas, Selandar, Melaka berjaya.









KENYATAAN MEDIA

MEMBANTAH PEMBINAAN RUMAH PEMBAKARAN MAYAT DAN KUBUR CINA, DI LOT 411, KG. PONDOK KEMPAS, SELANDAR, MELAKA

  1. Adalah kami penduduk jati kampung Pondok Kempas/Kesang Pajak yang berstatus 100% adalah melayu dan beragama Islam, menyatakan rasa amat kesal dan terhina apabila Pihak Berkuasa Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan Rumah Pembakaran Mayat & Kubur Cina di atas tanah Lot 411, iaitu di tengah-tengah kampung kami ini.

  2. Adalah difahamkan bahawa pihak JKKK Kg. Pondok Kempas dan Lembaga Masjid Selandar telah pun membuat bantahan, tetapi kami tidak tahu apa kesudahannya. Sebaliknya projek pembinaan Kubur Cina tersebut telah diluluskan pihak Kerajaan Negeri Melaka, dan kini kerja-kerja pembinaan sedang berjalan.

  3. Sehubungan dengan itu, kami penduduk jati Pondok Kempas/Kesang Pajak yang menurunkan tanda tangan di bawah ini tetap membantah sekeras-kerasnya pembinaan tersebut yang pada hemat kami memang tidak masuk akal dan tidak munasabah.

  4. Di samping itu bantahan kami ini juga berasaskan alasan-alasan yang kukuh seperti berikut:-

    4.1. Pembinaan tersebut tidak langsung mengambil kira sensitiviti penduduk kampung ini yang hampir 100% adalah orang Melayu/Islam.

    4.2. Akan menyebabkan pencemaran alam sekitar melalui pembakaran secara terbuka terhadap upacara pembakaran mayat. Malahan kami penduduk sudah cukup derita akibat pencemaran lalat dan kesan sampingan serangan unggas lain daripada kewujudan 9 buah ladang ternakan ayam di sekitar kampung ini.

    4.3. Kenapakah cadangan pembinaan tersebut dibuat di kampung kami, sedangkan masih ada kampung lain yang penduduknya majority orang cina seperti di Machap atau Asahan tidak dipilih untuk tujuan pembinaan tersebut?

    4.4. Kami juga bimbang nilai hartanah di kampung ini akan turut jatuh merudum akibat wujudnya tanah perkuburan itu nanti.

  5. Oleh itu kami penduduk jati mendesak Kerajaan Negeri untuk mengkaji semula projek ini dan menghentikan pembinaan atau memindahkan projek tersebut ke tempat lain.

    Sekian, terima kasih.

    Yang Benar,


    (MUHAMAD BIN KELING)
    Pengerusi Jawatankuasa Bertindak,
    Membantah Pembinaan Rumah Pembakaran Mayat & Kubur Cina


LAPORAN LOKASI KES DARI AMK TANGGA BATU :

Ketua Angkatan Muda Keadilan Bahagian Jasin yang juga Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Melaka iaitu Saudara Zamzizul bin Nordin menyatakan bahawa beliau telahpun merujuk perkara ini kepada ADUN Bemban YB Chua Kheng Hwa yang juga ketua pemuda MCA Melaka untuk bekerjasama dengan penduduk kampung bagi menyelesaikan masalah ini. Namun jawapan yang di berikan oleh YB Chua Kheng Hwa adalah amat mendukacitakan. Malahan kelibat YB tersebut juga tidak kelihatan semasa bantahan dilakukan oleh penduduk kampung pada hari ini. Penduduk kampung amat kesal dengan YB mereka yang tidak membantu mereka ketika khidmatnya diperlukan. Bukan setakat tidak membantu, menjenguk mereka pun tidak.

Ketika ditanya oleh wartawan yang hadir tentang apakah jawapan yang diberikan oleh YB tersebut semasa Saudara Zamzizul mengajukan perkara tersebut. Saudara Zamzizul menyatakan bahawa jawapan yang diberikan oleh YB tersebut adalah terlalu sensitif dan tidak perlu dihebahkan bagi mengelakkan salah faham penduduk kampung dan juga bagi mengelakkan permusuhan antara kaum. “Cukup dinyatakan disini bahawa jawapan yang diberikan oleh YB tersebut adalah amat mendukacitakan dan sensitif” katanya.

Berikutan dengan itu, satu memorandum akan dihantar oleh penduduk kampung kepada Ketua Menteri Melaka, Dato Seri Ali Rustam dalam tempoh yang terdekat ini.

Ketua Angkatan Muda Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd. Akin juga sempat hadir semasa bantahan ini dilakukan. Dalam ucapan ringkasnya, beliau amat kesal dengan apa yang berlaku kepada penduduk kampung dan berjanji akan mengambil tindakan selanjutnya sekiranya pembinaan Rumah Pembakaran Mayat & Kubur Cina telah melanggar undang-undang.

Demonstrasi bantahan ini juga telah dihadiri oleh pemimpin-pemimpin tertinggi serta ahli-ahli PKR dan AMK di setiap bahagian negeri Melaka sebagai tanda sokongan mereka kepada penduduk kampung yang sedang dilanda musibah. Mereka dan penduduk kampung juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak polis yang telah memberi kerjasama bagi mengawal keadaan lalulintas dan melancarkan lagi proses bantahan tersebut dilakukan.

0 comments:

Designed by - AMK TANGGA BATU