AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami

24 June 2009

Perhimpunan hapus ISA terbuka kepada semua

SHAH ALAM - Penyertaan dalam perhimpunan menghapuskan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dalam memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, perhimpunan ini dirancang bagi membela nasib rakyat yang teraniayai di samping menjaga kepentingan terhadap keselamatan dan keamanan negara.

“GMI melihat atau mementingkan keselamatan dan keamanan... kita mahu rakyat hidup dalam kesejahteraan tanpa rasa bimbang atau takut ditahan di bawah ISA pada bila-bila masa tanpa sebarang sebab yang jelas,” katanya.

Menurutnya, perhimpunan menghapuskan ISA bertujuan menzahirkan mesej yang jelas kepada kerajaan Malaysia untuk membebaskan tahanan ISA dan tutup Kem Tahanan (Kemta) Kamunting bagi mengelakkan lebih ramai lagi yang teraniaya selagi akta ini tidak dihapuskan.

“Walaupun ISA ini berkait dengan keselamatan, tetapi kerana ISA ini juga, wujud banyak penganiayaan bukan sahaja kepada yang ‘kena’ tahan, tetapi terhadap anak-anak, isteri, kaum keluarga dan kawan-kawan mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata, keputusan mengadakan perhimpunan ini diambil memandangkan pelbagai cara telah digunakan dalam meminta pihak kerajaan memansuhkan dan menghapuskan akta ISA, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan dibuat.

“Sudah sampai masanya akta ISA yang menganiayai ini, kerajaan bukan hanya perlu mengkaji semula malah terus dimansuh segera.

“Akta ISA yang menyebabkan tahanan ditahan tanpa bicara, menghukum tanpa bukti dan memenjarakan tanpa tempoh tertentu oleh pihak yang mempunyai kuasa tidak harus dibiarkan sehingga menyebabkan rakyat berada dalam kebimbangan,” katanya.

Kelmarin, GMI secara rasmi mengumumkan akan mengadakan perhimpunan perhimpunan besar-besaran mendesak penghapusan ISA pada 1 Ogos ini.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, agenda program, lokasi dan masa berhubung perhimpunan masih belum diputuskan lagi, dijangka akan diketahui dan diumumkan dalam masa yang sesuai menjelang tarikh tersebut.

“Berkenaan semua itu, akan diumumkan dalam masa terdekat. Lagipun, tarikh itu tidak lama lagi dari sekarang,” katanya.

Syed Ibrahim berkata, sasaran jumlah mereka yang menyertai perhimpunan GMI ini adalah sama atau melebihi jumlah penyertaan dalam Perhimpunan Bersih pada November 2007.

“Saya yakin, ramai yang akan datang kerana soal keselamatan ini agak penting dan tidak boleh digadaikan prinsipnya selagi kezaliman berterusan berlaku,” katanya

Sumber : Sinar Harian

0 comments:

Designed by - AMK TANGGA BATU