AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami

28 June 2009

Tindakan halang daftar pengundi dipersoalkan

BATU BERENDAM - DAP Melaka mempertikaikan tindakan penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menghalang kempen pendaftaran pengundi baru di pasar malam Taman Melaka Baru di sini malam kelmarin.

Sebagai agen pendaftaran pengundi yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pihak DAP mendakwa, apa yang dilakukan penguat kuasa MBMB adalah satu tindakan berat sebelah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong berkata, penguat kuasa MBMB menghalang mereka daripada menjalankan pendaftaran pengundi baru atas alasan mereka tidak mempunyai permit perniagaan.

Katanya, walaupun diperjelaskan bahawa pihaknya merupakan agen SPR, namun mendakwa MBMB bertegas untuk tidak membenarkan mereka menjalankan pendaftaran itu.

“Kami hanya meletakkan satu meja dan dua kerusi, malah nyata tidak mengganggu sesiapa atau aliran trafik di sini. Apa yang kami lakukan hanyalah menjalankan tanggungjawab sosial untuk mendaftarkan pengundi baru.

“Alasan bahawa kami tidak mempunyai permit perniagaan tidak boleh diterima sama sekali kerana kami bukan menjalankan perniagaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Selain Poay Tiong, tiga lagi ADUN DAP iaitu Goh Leong San, Tay Kok Kiew dan Lim Jak Wong turut sama-sama menjalankan proses pendaftaran pengundi baru di pasar malam berkenaan.

Menurutnya, pihak penguat kuasa MBMB juga memanggil polis apabila mereka (DAP) enggan mengalah.

Katanya, setelah mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak, pihak polis membenarkan mereka meneruskan pendaftaran pengundi baru, tetapi dengan syarat mereka tidak menggunakan pembesar suara.

“Kami amat kesal dengan tindakan MBMB yang kelihatan seolah-olah digunakan pihak cuba menghalang usaha kami untuk mendaftarkan orang ramai untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

“Mereka haruslah bersikap lebih ‘gentleman’ kerana pihak kerajaan juga boleh melakukan perkara yang sama (mendaftarkan pengundi baru). Bagi saya, ini adalah satu permainan yang adil,” katanya

Sumber : Sinar Harian

0 comments:

Designed by - AMK TANGGA BATU