AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami

29 July 2009

Isu tuntutan royalti minyak ke mahkamah antarabangsa

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, isu tuntutan royalti minyak oleh Kelantan mungkin dibawa ke mahkamah antarabangsa sekiranya rundingan secara ‘persaudaraan’ dengan Kerajaan Pusat gagal mencapai kata sepakat.

Beliau berkata, royalti minyak yang terletak di kawasan perairan Kelantan perlu diberi kepada Kerajaan Negeri bukannya diambil Pusat sebagaimana berlaku sekarang.

“Tiada sebab langsung Kerajaan Pusat taksir bui (tidak mahu beri) royalti itu kepada Kerajaan Kelantan kerana pelantar itu terletak di perairan Kelantan,” katanya mengulas cadangan Kerajaan Negeri menuntut royalti minyak daripada Kerajaan Pusat berjumlah RM1 bilion.

Isu royalti minyak timbul pada awal kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai baru-baru ini, apabila Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa menyuarakan hasrat menuntut royalti minyak itu.

Nik Aziz berkata, tiada sebab Kerajaan Pusat tidak mahu memberi kepada Kerajaan Negeri royalti yang ditetapkan Perlembagaan, memandangkan kedudukan pelantar minyak jelas dalam perairan Kelantan.

“Dari segi fakta dan geografinya, kalau Kelantan tiada hak, maka minyak dari pantai Kelantan hak siapa, Terengganu atau Thailand. Kalau tidak hak Terengganu, Thailand akan kata hak dia, ini bahaya kepada politik (negara),” katanya.

Sehubungan itu, beliau berhasrat supaya rundingan Kerajaan Pusat diteruskan sehingga matlamat mendapatkan royalti minyak sebagaimana ditetapkan Perlembagaan tercapai.

Bagaimanapun, beliau kesal dan berharap perkara itu (perundingan) dapat juga dilakukan dengan semangat persaudaraan, tambahan lagi membabitkan Kerajaan Negeri dan Pusat.

“Kalau perkara ini boleh dirundingkan secara mudah apa sebab pula kita nak bawa ke mahkamah,” katanya.

Sementara itu, mengulas pelawaan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sertai Pas oleh beberapa pemimpin parti itu, Nik Abdul Aziz berkata, Pas membuka keahlian kepada sesiapa sahaja.

Sumber : Sinar Harian

0 comments:

Designed by - AMK TANGGA BATU