AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami

04 August 2009

BN nafikan hak rakyat: AMK

SHAH ALAM – Keadaan huru–hara pada Perhimpunan Gerakan Mansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di sekitar Kuala Lumpur, Sabtu lalu berpunca daripada tindakan pihak polis untuk mematahkan tuntutan rakyat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, keadaan menjadi kecoh akibat sikap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak mahu melunaskan hak rakyat untuk berhimpun secara aman menyampaikan suara mereka.

“Adakah dengan rakyat berkumpul beramai-ramai, melaungkan meminta mansuh ISA, membentangkan kain rentang dikatakan ganas dan berbahaya? Tindakan ganas sebenarnya berpunca daripada pihak polis.

“Ribuan rakyat yang berhimpun terutamanya anak muda menjadi saksi mata bagaimana pihak polis atas arahan BN telah menjadikan Kuala Lumpur pada 1 Ogos lalu medan rakyat dibelasah dan dinafikan hak mereka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

AMK turut mengutuk keras laporan dan pandangan pimpinan BN yang melabelkan perhimpunan anti-ISA yang dihadiri lebih 20,000 rakyat sebagai perhimpunan ganas.

“Bagi kami pandangan tersebut hanyalah untuk menutup tuntutan rakyat agar akta drakonian seperti ISA yang menghalalkan mangsa ditahan tanpa perbicaraan dihapuskan.

“Kesesakan lalu lintas sememangnya diciptakan oleh pihak kerajaan BN melalui sekatan sejak 31 Julai lagi di beberapa pintu masuk Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, peniaga di sekitar Kuala Lumpur pula terpaksa menutup premis perniagaan mereka apabila pihak polis mula melepaskan tembakan gas pemedih mata dan semburan air asid.

AMK turut menyangkal dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Tun Hussien yang mengaitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) sebagai dalang dan mempolitikkan penganjuran perhimpunan tersebut.

“Sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat dan memahami perasaan rakyat, kami turut menyokong tindakan menggesa mansuh akta ISA tersebut,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

0 comments:

Designed by - AMK TANGGA BATU