AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami

14 August 2009

Isu arak: PR sokong langkah Selangor

PETALING JAYA - Pakatan Rakyat (PR) sebulat suara bersetuju dengan langkah kerajaan Negeri Selangor supaya pengedar dan penjual minuman keras di Selangor perlu menggunakan mekanisme sistem kawalan kendiri.

Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu perselisihan antara dua Exco Selangor iaitu Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan Ronnie Liu telah selesai dan hanyalah masalah kecil tetapi telah diperbesar-besrakan oleh media.

Menurutnya, PR bersetuju agar arak tidak dijual kepada orang Islam dan penjualan kepada orang bukan Islam kekal seperti sedia kala.

”Kita sepakat setelah bermesyuarat bahawa isu arak di Selangor yang digembar-gemburkan media sebelum ini telah selesai.

”Kita juga bersetuju supaya arak tidak dijual kepada orang Islam dan penjualan kepada orang bukan Islam kekal seperti sedia kala,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PR di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R Sivarasa.

Menurutnya, tidak timbul isu pemimpin yang terlibat diarah untuk tidak bersuara kerana isu ini diselesaikan melalui forum yang dipersetujui semua pimpinan PR.

”Tiada persoalan mengenai arahan tutup mulut kerana mereka semua setuju menggunakan forum dan kami berasa gembira dengan komitmen yang diberikan,” katanya.

Anwar berkata, mesyuarat dan forum yang membincangkan masalah dalaman parti seperti ini mampu memperkuatkan PR.

”Memang ada arahan jelas oleh pimpinan parti supaya kita gunakan forum peringkat negeri dan pimpinan untuk berbincang masalah berbangkit.

”Kalau kita tidak dapat selesaikan kita akan rujuk kepada panel tatatertib supaya ia (masalah) dapat di bincang untuk mencari jalan penyelesaian yang sewajarnya,” katanya.

Sebelum ini, Hasan mendesak perlucutan jawatan Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu selepas campur tangan ahli-ahli politik dalam isu jual arak di Selangor.

Hasan juga mahu penjualan arak di kawasan yang mempunyai majoriti orang Islam diharamkan. Tindakan itu menyebabkan DAP Selangor mendesak satu jawatankuasa tindakan disiplin diwujudkan bagi membincangkan tindakan yang akan dikenakan terhadap Hasan.

Terdahulu, Ronnie Liu mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya memulangkan bir yang dirampas di sebuah kedai serbaneka dekat sini.

Beliau berkata, ia perlu dipulangkan semula kerana salah faham dan perkara itu juga dikecam UMNO Selangor.

Sumber : Sinar Harian

0 comments:

Designed by - AMK TANGGA BATU