AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami

31 January 2009

Selangor Cari Jalan Bantu Pekerja Diberhentikan

SHAH ALAM, 30 Januari - Jawatankuasa Tindakan Menangani Masalah Pemberhentian Pekerja yang diumumkan penubuhannya baru-baru ini menimbang untuk mendapatkan kerjasama daripada beberapa syarikat atau agensi pekerjaan dalam mengumpul data pekerja yang diberhentikan akibat krisis ekonomi.

Selain khidmat nasihat berhubung pengendalian data berkenaan, jawatankuasa yang dipengerusikan Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu turut membincangkan cara untuk membantu mereka yang diberhentikan, termasuk mencari peluang pekerjaan yang bersesuaian.

Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan hari ini berkata jawatankuasa yang mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini, juga dimaklumkan mengenai keadaan ekonomi Selangor, tahap kesedaran berkaitan kemelesetan ekonomi di kalangan penduduk, serta impak kelesuan ekonomi terhadap peluang pekerjaan di negeri ini.

“Antara cadangan yang diutarakan adalah menggunapakai sistem pendaftaran di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya data mereka yang kehilangan pekerjaan boleh direkodkan secara sistematik dan tepat,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat yang berlangsung lebih sejam itu dihadiri ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) dan beberapa jabatan kerajaan serta wakil anak syarikat kerajaan negeri.

Turut sama, Kesatuan Pengilang Malaysia (FMM), Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida).

Keempat-empat organisasi ini turut memberi pandangan dan cadangan berhubung pengendalian maklumat tepat statistik mereka yang hilang kerja, maklumat terperinci peluang pekerjaan yang ada serta pelan-pelan tindakan yang lain.

Sementara itu, jawatankuasa yang akan bermesyuarat sekali lagi pada minggu hadapan akan diberi penerangan oleh Jabatan Tenaga Kerja mengenai bajet berjumlah RM200 juta yang diperuntukkan kerajaan pusat untuk menyediakan kursus-kursus latihan membantu pekerja yang hilang pekerjaan.

“Jawatankuasa ini juga akan memanggil agensi pekerjaan, persatuan usahawan kecil dan Lembaga Zakat Negeri untuk mendapatkan pandangan mereka bagi mencari jalan terbaik dalam meringankan beban mereka yang telah hilang pekerjaan.

“Kerajaan negeri Selangor berharap dengan adanya jawatankuasa ini akan dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban pekerja-pekerja di Selangor yang telah diberhentikan ini”. - NOOR ALLIA KASSIM

Sumber : Selangorkini

0 comments:

Designed by - AMK TANGGA BATU