AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami

26 June 2009

Kilang baik pulih jentera berat ganggu penduduk

KELEBANG - Seorang penduduk di Taman Klebang Kechil memohon pihak berkenaan memantau kerja-kerja membaik pulih jentera berat berhampiran rumahnya di sini.

Haroun Kidam, 63, berkata, masalah itu berlanjutan sejak 30 tahun lalu dan pernah disiarkan di sebuah akhbar tempatan tetapi masih tiada sebarang tindakan diambil pihak berkaitan.

“Bayangkan apabila jentera berat seperti jentolak dan treler memasuki kawasan sempit di celah-celah rumah di sini.

“Ia bukan sahaja membahayakan nyawa penduduk malahan menyebabkan jalan raya di sini berlubang dan rosak kerana berat kenderaan itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Menurutnya, sudah beberapa kali pagarnya dilanggar berikutan saiz kenderaan itu yang besar.

“Mereka membina jalan kecil bagi memudahkan kenderaan itu keluar masuk tetapi ia mendatangkan masalah kepada saya lebih-lebih lagi rumah saya terletak di bahagian tepi sekali.

“Saya tidak mahu kelak jentera berat itu melanggar rumah saya pula selepas ini kerana saya juga yang terpaksa menanggung kerugian dan masalah,” katanya.

Haroun juga meminta jasa baik pihak yang berkenaan berjumpa pemilik jentera itu supaya memindahkan lokasi membaik pulih kenderaan tersebut ke kawasan yang lebih sesuai.

“Jika tinjauan dibuat, saya pasti kawasan ini bukan kawasan yang strategik untuk dijadikan tempat membaik pulih jentera berat.

“Pelbagai masalah kami hadapi termasuklah bunyi bising dan ini benar-benar mengganggu konsentrasi saya,” katanya.

Sehubungan itu, Haroun berharap pihak yang berkenaan dapat mengatasi masalah ini secepat mungkin.

“Keselesaan rakyat perlu dijaga dan saya inginkan tindakan segera diambil bagi memastikan kehidupan saya tidak terancam,” katanya lagi.

Sumber : Sinar Harian

0 comments:

Designed by - AMK TANGGA BATU