AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami

26 June 2009

Mohd Ali digesa ‘berehat’, beri laluan SPRM siasat

AYER KEROH – Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, digesa supaya ‘berehat’ seketika daripada menjalankan tugasnya bagi memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.

Ketika membuat gesaan ini, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka, Hairiz Nordin, berkata, tindakan itu penting bagi meyakinkan rakyat mengenai integriti SPRM dalam usaha menangani gejala rasuah.

Menurutnya, ini berikutan keyakinan rakyat terhadap suruhanjaya itu sudah sedikit sebanyak terhakis apabila ia dikatakan lambat mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang terlibat dalam gejala itu.

“Kita sendiri telah lihat bagaimana selama ini banyak kes membabitkan pemimpin BN dan UMNO sering tertangguh, sedangkan apabila membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR), tindakan begitu pantas diambil.

“Sehubungan itu, AMK Melaka ingin menyarankan supaya Mohd Ali berehat seketika untuk memberi ruang kepada SPRM menjalankan siasatan. Langkah ini juga sejajar dengan saranan beliau kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, ketika disiasat SPRM tempoh hari,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, bahawa SPRM sedang memperhalusi siasatan berhubung dakwaan politik wang bagi pencalonan Mohd Ali untuk jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Goh Leong San berharap proses siasatan SPRM itu akan dibincangkan di Dewan Rakyat bagi membolehkan semua wakil rakyat mengetahui lebih mendalam mengenainya.

Menurutnya, apa yang dinyatakan Mohamed Nazri kelmarin masih meninggalkan banyak persoalan mengenai siasatan berkenaan.

“Perbincangan dan penjelasan terbuka itu perlu bagi memberi keyakinan kepada rakyat yang sudah semakin hilang keyakinan terhadap integriti SPRM. Ketelusan di Dewan Rakyat adalah perlu untuk memberi keyakinan kepada rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Goh turut mengulangi pendiriannya bahawa Mohd Ali perlu meletak jawatan sebagai Ketua Menteri.“Saya berharap beliau akan meletak jawatan dan digantikan dengan seorang pemimpin yang lebih berwibawa. Hanya dengan cara inilah keyakinan rakyat terhadap pemimpin dapat dikembalikan,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

0 comments:

Designed by - AMK TANGGA BATU