AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami

17 July 2009

214 pekerja diberhenti, 36 tidak puas hati

AYER KEROH – “Adalah tidak adil untuk saya yang bersama syarikat ini dari awal, diberhentikan sedangkan mereka yang baru bekerja tidak diberhentikan.”

Demikian keluh Mazlina Ahmad, 40, yang mewakili sekumpulan 36 pekerja Cubic Electronics Sdn Bhd yang diberhentikan syarikat berkenaan menerusi surat bertarikh 15 Julai.

Menurut bekas Penyelia Kanan QA itu, dia berasa kecewa kerana setelah berkhidmat selama 15 tahun bersama syarikat, dia seharusnya menjadi antara orang terakhir yang harus diberhentikan.

“Syarikat nyata tidak mengamalkan prinsip ‘last in first out.’ Saya yang sudah berkhidmat 15 tahun diberhentikan sedangkan ada pekerja yang baru berkhidmat lima tahun lalu tidak diberhentikan,” katanya ketika ditemui selepas satu sesi dialog dengan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Md Yunos Husin di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia, Datuk Yaakub Md Amin; Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerja Raya dan Kemudahan Awam, Datuk Gan Tian Loo; Pengurus Besar Invest Melaka, Ramli Mohd Ali dan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka, S Tharumarajan.

Menurut Mazlina, walaupun beliau dan rakan-rakan menyedari kepayahan yang dialami syarikat akibat kegawatan ekonomi global, tetapi yang diminta cuma hak mereka.

Menurutnya, dia dan rakan-rakan berasa terkilan kerana pampasan yang dibayar syarikat tidak sama dengan apa yang diterima rakan-rakan lain yang diberhentikan pada bulan Disember lalu.

Beliau mendakwa, semasa pemberhentian bulan Disember lalu, pekerja terbabit telah menerima pampasan gaji 20 hari didarabkan dengan jumlah tahun mereka berkhidmat.

“Bagaimanapun, kami hanya diberi pampasan gaji tiga bulan berserta notis dua bulan,” katanya.

Mengikut Akta Pekerjaan 1955, mereka yang berkhidmat di bawah dua tahun akan dibayar gaji 10 hari didarabkan dengan jumlah tahun berkhidmat, antara dua dan lima tahun gaji 15 hari didarabkan dengan tahun berkhidmat dan lima tahun ke atas gaji 20 hari didarabkan dengan tahun berkhidmat.

Bagaimanapun, ketika mempengerusikan dialog dengan pekerja terbabit, Md Yunos berkata, cuma mereka yang berpendapatan di bawah RM1,500 akan dibayar pampasan mengikut tempoh perkhidmatan mereka.

Menurutnya, mereka yang berpangkat eksekutif, atau berpendapatan RM1,500 ke atas, tidak terikat pada syarat-syarat yang sedemikian.

“Pemberhentian 214 pekerja Cubic Electronic dan pembayaran pampasan yang dilakukan adalah mengikut undang-undang buruh sedia ada. Dalam erti kata lain, semua keperluan undang-undang telah dipatuhi.

“Bagaimanapun, kerajaan telah meminta Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Pengurus Besar Invest Melaka mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan syarikat bagi mengkaji faedah-faedah lain yang boleh diberi kepada pekerja terbabit,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

0 comments:

Designed by - AMK TANGGA BATU