AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami

13 July 2009

Khairy terdesak tarik perhatian pengundi

KUALA KRAI - Dewan Pemuda Pas Pusat menyifatkan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kini dalam keadaan terdesak untuk menarik perhatian pengundi menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai Selasa ini apabila mempelawa Pas menyertai Barisan Nasional (BN).

Ketuanya, Nasrudin Hassan At-Tantawi berkata, kenyataan itu menunjukkan kekecewaan Khairy sendiri setelah melihat keutuhan Pakatan Rakyat (PR) semakin hari semakin baik dan kebijaksanaan PR menyelesaikan sebarang masalah dalam kalangan anggota pakatan secara harmoni dan penuh semangat muafakat.

“Beliau (Khairy) cuba menipu rakyat apabila mengeluarkan kenyataan kononnya anak muda di Manek Urai berminat untuk memberi sokongan kepada UMNO.

“Apa yang jelas setelah saya sendiri turun di beberapa unit peti undi dalam DUN Manek Urai, maklum balas diterima menunjukkan ramai dalam kalangan pengundi muda bukan sahaja tidak berminat dengan perjuangan UMNO dan BN, bahkan mereka sendiri tidak mengenali dengan jelas siapakah Ketua Pemuda UMNO ini (Khairy),” katanya.

Nasrudin berkata demikian kepada Sinar Harian selepas mengadakan perjumpaan dan perbincangan tertutup dengan barisan kepimpinan Dewan Pemuda Pas Pusat di Manek Urai, dekat sini, semalam.

Hadir sama Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Ahmad Sabki Yusof, setiausaha pergerakan itu, Kamarulzaman Mohamad serta Pengarah Pilihan Raya dan Strategik Dewan Pemuda Pas Pusat, Firdaus Jaafar.

Ditanya sokongan pengundi muda pada pilihan raya kecil kali ini, Nasrudin berkata, dia yakin momentum kebangkitan sokongan anak muda terhadap PR yang ditunjukkan pada pilihan raya umum ke-12 lalu dan beberapa pilihan raya kecil selepas itu akan terus kekal di Manek Urai.

Katanya, keyakinan dan kepercayaan itu berdasarkan perhatian dan sokongan padu yang diberikan golongan muda terhadap setiap program yang dilaksanakan Dewan Pemuda Pas di Manek Urai termasuk aktiviti turun padang dan gerak kerja kempen menjelang pilihan raya kecil berkenaan.

Nasrudin (duduk, tengah) bersama barisan kepimpinan Dewan Pemuda Pas Pusat selepas mengadakan perjumpaan tertutup di Manek Urai, semalam.

Sumber : Sinar Harian

0 comments:

Designed by - AMK TANGGA BATU