AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami

13 July 2009

Tok Guru minta pengundi keluar awal

KOTA BHARU - Pengundi Manek Urai diharap dapat menunaikan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai Selasa ini dalam usaha membentuk sebuah kerajaan Islam.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pengundi yang berada di dalam dan luar Kelantan diharap dapat pulang mengundi pada hari berkenaan.

“Keluar pagi-pagi untuk mengundi...sebelum itu solat sunat dua rakaat supaya ketika keluar itu kita dalam ibadah.

”Mengundi untuk membentuk sebuah kerajaan...untuk kerajaan Islam. Sistem hari ini tidak boleh membentuk kerajaan Islam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Industri Halal Kelantan bertemakan Cakna Halal Satu Ibadah di Balai Islam, di sini semalam.

Menurutnya, rakyat wajib menunaikan tanggungjawab mengundi sama ada pilihan raya kecil atau umum dan taat kepada pemerintah juga wajib, dan sekarang Pas adalah pemerintah negeri itu.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mursyidul Am Pas itu berkata, tema Cakna Halal Satu Ibadah dalam seminar tersebut adalah tepat kerana kadangkala masyarakat terlupa mencari yang halal juga satu ibadah.

Katanya, mengambil pemakanan halal, rezeki halal, berniaga jujur dituntut Islam dan memperoleh ganjaran di akhirat kelak.

Pada majlis itu beliau turut menyaksikan penyerahan zakat bagi rangkaian restoran Pizza

Hut Kelantan berjumlah RM33,424 dan rangkaian restoran KFC Kelantan RM55,280 daripada Pengarah Urusan QSR Brands Bhd dan KFC Holdings, Jamaluddin Mat Ali kepada Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Datuk Kamaruddin Mohd Zin.

Nik Abdul Aziz turut menyaksikan penyampaian zakat Hospital Pakar Per-dana Kota Bharu sebanyak RM20,000 oleh Pengerusinya, Aminuddin Dawam kepada Kamarudin.

Sumber : Sinar Harian

0 comments:

Designed by - AMK TANGGA BATU