AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami

13 August 2009

Kemelut nelayan belum selesai

TANJUNG DAHAN – Kemelut yang melanda kumpulan nelayan di sekitar Kampung Tanjung Dahan di Kuala Sungai Baru di sini, masih belum menunjukkan sebarang tanda penyelesaian walaupun sebelum ini perjumpaan melibatkan pihak kerajaan dan wakil rakyat telah diadakan.

Lebih membimbangkan, nelayan terbabit kini menghadapi kesukaran untuk keluar ke laut untuk menangkap ikan yang menjadi sumber rezeki utama mereka selama ini.

Hal ini berikutan kehadiran kapal kargo milik sebuah syarikat perkapalan tempatan yang berlabuh di perairan kampung berkenaan sejak empat bulan lalu.

Malah, penduduk mendakwa bilangan kapal yang berlabuh di situ saban hari kian bertambah, dari sebuah kini sudah bertambah kepada 16 buah. Keadaan itu telah menyukarkan nelayan pukat hanyut dan rawai untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan berkenaan.

Seorang nelayan, Tambi Chek Jalil berkata, kewujudan kapal kargo yang berlabuh di pesisir pantai Kampung Tanjung Dahan itu tidak dimaklumkan terlebih dahulu kepada nelayan di sini, sedangkan pihak berkenaan sewajarnya bertindak memberi surat pemberitahuan mengenainya.

Katanya, pada awalnya kapal berlabuh satu, dua hingga empat, tapi kini bilangannya sudah menjadi 16 buah.

“Sekurang-kurangnya pihak berkenaan termasuk pihak jabatan atau agensi Kerajaan Negeri yang terlibat memaklumkan kepada kira-kira 60 nelayan berdaftar di sini,” katanya selepas hadir Sesi Dialog bersama 11 agensi Kerajaan Negeri di Balai Nelayan Kampung Tanjung Dahan di sini, semalam.

Tambi Chek berkata, sejak kapal terbabit berlabuh di situ, nelayan kehilangan sumber pendapatan kerana sukar memperoleh ikan seperti sebelum ini.

Beliau berkata, masalah berkenaan telah dikemukakan kepada wakil rakyat, pihak persatuan nelayan dan jabatan atau agensi Kerajaan Negeri yang terlibat.

“Namun sehingga sekarang, masalah ini langsung tidak menampakkan penyelesaian sedangkan pihak Kerajaan Negeri sendiri sedia maklum bahawa rata-rata nelayan di sini merupakan nelayan sepenuh masa.

“Kami (nelayan) inginkan penjelasan lebih terperinci daripada pihak terlibat, terutama pemilik kapal-kapal berkenaan,” katanya.

Menurutnya, nelayan di sini bukan hendak membesarkan isu, tetapi ia terpaksa diketengahkan kerana membabitkan punca pendapatan utama mereka.

:Sementara itu, seorang lagi nelayan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Melaka Barat, Mazlan Bakar berkata, masalah kapal kargo di sini bukan perkara baru, malah sebelum ini nelayan turut berdepan insiden kehadiran kapal mengorek lombong bijih timah.

Menurutnya, perkara sebegini menjejaskan periuk nasi nelayan di sini, sekali gus pihak berkuasa perlu mengambil langkah tertentu bagi mengelak kejadian sama berulang.

Beliau berkata, perairan pantai Kampung Tanjung Dahan itu kecil berbanding perairan di Johor yang boleh menempatkan hampir 50 kapal dagang. Kehadiran kapal-kapal berkenaan benar-benar menjejaskan nelayan di sini.

“Kami (pihak) persatuan sendiri tidak menerima sebarang surat atau pemberitahuan mengenai kehadiran kapal-kapal berkenaan.

“Sebagai persatuan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan nelayan berdaftar di sini perlu bertindak bagi melindungi kepentingan kami,” katanya.

Menurut Mazlan, walaupun pihak kerajaan telah menyalurkan RM200 sebulan sebagai Elaun Sara Hidup, namun jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung kerugian yang terpaksa ditanggung ekoran tidak dapat melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan berkenaan.

Beliau berkata, pihak nelayan sangat berharap agar Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bersungguh-sungguh membantu mencari jalan penyelesaian masalah terbabit.

Sumber : Sinar Harian

0 comments:

Designed by - AMK TANGGA BATU