AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami

13 August 2009

Penduduk rayu MBMB segera bertindak

BACHANG - Penduduk yang tinggal di Jalan Tun Perak di sini sudah tidak tahan lagi dengan limpahan air longkang yang membanjiri halaman dan memasuki ruang rumah setiap kali berlakunya hujan lebat.

Mereka mendakwa, limpahan itu dipercayai berpunca dari sebuah loji kumbahan yang jaraknya kira-kira 100 meter daripada penempatan tersebut yang didiami kira-kira lima keluarga.

Penduduk, Mukelas Hasbullah, 48, berkata, bila hujan lebat, limpahan air kumbahan dari loji takungan akan mengalir ke parit sedia ada sehingga membanjiri halaman rumah.

Katanya, paling membimbangkan adalah air yang mengandungi lumpur dan berbau busuk itu akan memasuki ke dalam rumah sehingga menjejaskan kehidupannya sekeluarga.

“Sebelum ini kami hidup aman, tetapi keadaan sebaliknya sejak kira-kira tiga tahun lalu, apabila loji kumbahan itu yang menampung keperluan bangunan rumah kedai berhampiran siap.

“Saya sendiri sudah menghubungi Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan beliau sudah pun memberikan maklum balas supaya saya menghubungi Datuk Bandar. Datuk Bandar juga sudah saya hubungi dan berjanji akan menyelesaikan hal ini dengan seberapa segera,” katanya yang menghubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, dia berharap pihak terbabit melakukan langkah penyelesaian segera supaya mereka sekeluarga dan beberapa jiran lain tidak terus hidup terseksa di halaman sendiri.

“Sabtu lalu, ada wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama pegawai daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) datang melihat dan mereka berjanji akan datang sekali lagi Isnin lalu (kelmarin), tetapi hingga kini saya masih menunggu kehadiran mereka,” katanya.

Sementara itu, penduduk lain, Rosni Mahmod, 46 berkata, keadaan limpahan air yang kerap membanjiri halaman rumah mengakibatkan sebahagian besar daripada struktur tiang dan dinding rumahnya rosak dan reput.

“Saya tidak tahu dengan nasib rumah saya ini kerana jika keadaan sebegini berterusan, sudah pasti satu hari nanti rumah saya akan roboh. Sekarang ini pun kebanyakan tiang yang menyokong kekuatan binaan rumah saya sudah tergantung dan hanya dialas dengan batu.

“Cuma saya bergantung harap pada pihak JKKK kerana apa yang saya difahamkan, mereka sedang mengusahakan bantuan bagi membaiki keadaan rumah saya ini,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

0 comments:

Designed by - AMK TANGGA BATU