AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami
Showing posts with label AMK. Show all posts
Showing posts with label AMK. Show all posts

22 August 2009

Kit Siang Kepada SPRM: Mengapa Takut Siasat Muhyiddin?

Penasihat DAP Lim Kit Siang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjelaskan mengapa tiada siasatan dibuat terhadap Timbalan Presiden Umno Muhyiddn Yassin yang menyalahguna helikopter tentera untuk menghadiri acara Umno.

Sebuah helikopter Tentera Udara yang membawa Muhyiddin dilaporkan terpaksa mendarat cemas di Tuaran, Sabah. Muhyiddin dilaporkan mengguna helikopter itu untuk menghadiri mesyuarat Umno di Sabah.

Sehubungan itu, Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat memfailkan aduan ke SPRM Johor.

Di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat, SPRM mengadakan operasi besar-besaran menyiasat wakil-wakil rakyat PKR, PAS dan DAP, sehingga membawa kepada kematian seorang setiausaha politik Teoh Beng Hock.

Kit Siang berkata ketiadaan tindakan keatas Muhyiddin menunjukkan SPRM adalah alat Umno-BN dan mengamalkan sikap berat-sebelah dalam siasatan mereka.

Ahli politik veteran turut merujuk kepada kes bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Ramli Yusoff yang didakwa kerana menggunakan helikopter polis untuk tujuan bukan rasmi. Meskipun Ramli dibebaskan dari sebarang tuduhan, namun pihak pendakwararaya menunjukkan kesungguhan untuk mendakwa beliau dan memfailkan rayuan.

"Saya mahu tanya SPRM mengapa ia mengamalkan sikap berat-sebelah kerana belum lagi memulakan siasatan keatas dakwaan bahawa Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin telah menyalahguna kedudukannya dengan menggunakan helikopter tentera untuk merasmikan mesyuarat Umno di Sabah minggu lalu walhal ia tidak mempunyai kaitan dengan tugas-tugas rasmi beliau," kata Kit Siang.

"Jika Ramli didakwa kerana menyalahguna helikopter Cessna Caravan milik polis untuk tugas-tugas bukan rasmi, mengapa Muhyiddin tidak didakwa kerana menyalahguna helikopter tentera untuk tujuan yang tidak kena-mengena dengan tugasnya sebagai TPM mahupun Menteri Pendidikan. Apakah ada satu undang-undang untuk Menteri Kabinet Umno dan satu undang-undang untuk orang-orang kecil?" soal Kit Siang.

Sumber : tvantara

Pemuda Pakatan dan BN berdebat 23 Ogos?

Oleh Dzulfikar Mashoor

BUKIT MERTAJAM, 21 Ogos: Kalau Pemuda Umno menjadikan isu 'Siapa Pengkhianat Melayu' sebagai modal bertemu pengundi, Pemuda Pakatan Rakyat petang tadi menjadikan isu 'Siapa Pengkhianat Negara' pula sebagai serangan balas untuk 5 hari berbaki kempen di N11 Permatang Pasir.

Ekoran itu, Pemuda Pakatan mencabar Pemuda BN berdebat secara terbuka mengenai kedua-duanya.

Merujuk surat yang ditandatangani Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan at-Tantawi, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Loke Siew Fook, debat itu dijadualkan pada Ahad 23 Ogos jam 9.30 malam di Permatang Tengah iaitu di sebuah kedai makan.

Wakil Pemuda Umno Rosli Hamid yang menerima surat jemputan itu berjanji akan menyerahkannya kepada Khairy.

Bukan jaminan untuk saya kata Pemuda setuju, tapi saya akan berikan kepada Ketua Pemuda kami (Khairy), katanya.

Debat Terbuka 'Siapa Pengkhianat Negara' anjuran Pemuda Pakatan Rakyat itu merupakan strategi terbaru pembangkang selepas Pemuda PAS sendiri gagal berwacana ilmiah dengan Khairy dalam isu 'Benarkah Umno Memperjuangkan Islam' sebelum ini.

Tekad Pemuda Pakatan mengadakan debat terbuka itu dikatakan untuk memastikan 39 peratus pengundi muda kekal memberi undi kepada calon PAS Mohd Salleh Man 25 Ogos depan.

Bagi Pemuda Pakatan, rekod menang kesembilan-sembilan peti undi saluran muda saluran 5 (21-25), saluran 4 (26-40) dan saluran 3 (41-50) dalam pilihanraya umum ke-12 lalu tidak boleh disandarkan sepenuhnya bahawa PAS akan kekal di Permatang Pasir.

Pengundi muda merupakan masyarakat berfikir, membaca, aktif, akses internet serta tidak mudah terpengaruh oleh cakap-cakap kosong orang politik semata-mata.

Dalam kepercayaan Pemuda Pakatan, bukan sahaja isu 'Siapa Pengkhianat Melayu' patut dibincangkan, malah isu 'Siapa Pengkhianat Negara' juga perlu diperdebatkan, asalkan atas fakta dan rasional oleh semua pihak.

"Saya lihat isu itu (pengkhianat bangsa) diucapkan Umno dengan penuh emosi dan langsung tidak meningkatkan minda dan ilmu orang Melayu. Maka, setiap isu terutamanya berkaitan kepentingan negara perlu diperdebatkan secara ilmiah dan berfakta," jelas Badrul Hisham Shaharin.

Bercakap di depan Bangunan Umno Bahagian Permatang Pauh, Badrul berkata, jika Umno berani, mereka akan menyertai debat terbuka dan mempertahankan kenyataan Timbalan Presiden mereka Tan Sri Muhyiddin Yassin, Anwar Pengkhianat Bangsa, secara fakta dan ilmiah.

Jelasnya lagi, Ketua Pemuda Umno Mohd Khairy Jamaluddin sendiri pun tidak berupaya mempertahankan peribadi Muhyiddin yang dikatakan 'Pengkhianat Negara' ekoran menjual 51,170 hektar tanah Johor/negara kepada Singapura dengan harga RM350 juta sewaktu menjadi Menteri Besar Johor (1980).

Ahli Parlimen Jerai dari PAS, Mohd Firdaus Jaafar berharap Pemuda Umno dapat menyertai debat itu untuk menjernihkan kesangsian rakyat kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu.

"Isunya (siapa pengkhianat) sekarang bukan lagi ke atas bangsa Melayu, Cina, India dan sebagainya. Tetapi, melibatkan kepentingan negara."

Kelmarin, semua media melaporkan Muhyiddin menafikan pendedahan tersebut, dan mengganggapkan dakwaan itu sebagai fitnah.

"Saya ingin menjelaskan bahawa saya (semasa menjadi Menteri Besar Johor) tidak pernah menjual tanah walau seinci pun kepada Singapura dan ini adalah fitnah semata-mata." _

Sumber : Harakahdaily

Buku burukkan Anwar, MB S'gor

Dua buku yang menyerang kepimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim Ibrahim kini beredar di pelbagai tempat di negeri itu.

Nasib Melayu Selangor dan 50 Kemusykilan Tentang Manusia Bernama Anwar Ibrahim muncul setelah kelab penyokong kerajaan Selangor mendakwa wujud konspirasi Umno-BN bagi menjatuhkan Pakatan Rakyat.

Buku tanpa penulis dan penerbitnya berjaya dikutip oleh anggota Angkatan Muda PKR di beberapa tempat tumpuan ramai di Petaling Jaya, Subang dan Damansara, dua minggu lepas.

Edaran di tempat-tempat lain di negeri itu tidak dapat dipastikan.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, ketua angkatan itu Shamsul Iskandar Md Akin berkata, setelah menyedari buku itu, beliau mengerahkan anggota pergerakan itu kutip semua dan bawa balik ke pejabatnya.

Tentang kepimpinan Khalid, buku itu antaranya mempersoalkan tindakan Selangor menambah peruntukan tahunan untuk rumah ibadat bukan Islam, bantuan kepada sekolah Cina dan Tamil, dan cadangan mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Tiga keping foto seorang exconya Elizabeth Wong, yang dilanda kontroversi berhubung isu gambar intimnya Februari lalu, turut dimuatkan.

Sebuah lagi buku dikhaskan bagi menjawab kenyataan Anwar, antaranya, berhubung dakwaan berlakunya konspirasi berhubung kes liwat terhadap mantan timbalan perdana menteri itu.

Menjelaskan penemuan buku itu, Shamsul berkata, pihaknya berjaya mengutip kira-kira 600 naskhah kedua-dua buku itu yang dilonggokkan di perhentian-perhentian bas pada malam 10 Ogos lalu.

Tindakan pantas itu diambil setelah mendapat maklumat daripada anggota AMK setempat, tambahnya.

Ditanya keberkesanan tindakan AMK itu, Shamsul berkata: "Mungkin ada sebilangan kecil yang dapat buku itu. Kita harap tidak ada kesan terhadap orang awam."

Ditanya tindakan lanjut pergerakan itu, pengamal undang-undang itu berkata, mereka sedang mengumpulkan bukti dan bercadang mengambil tindakan saman terhadap pihak terbabit.

"Kita sedang kumpul bukti. Buku ini 'buku layang', tiada nama penulis dan tiada nama penerbitnya.

"Kita syak (pengedarannya) ada kaitan dengan usaha menjatuhkan kerajaan Selangor. Tetapi setakat ini bukti belum cukup," katanya.

Minggu lalu, sebuah akhbar berbahasa Cina turut melaporkan, ketua penerangan PKR Selangor, Datuk Paduka Dr Tan Yee Kew mendedahkan penyebaran dua buku itu dalam ceramahnya.

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo ketika dihubungi Malaysiakini semalam menafikan pihaknya terbabit menerbit dan mengedarkan buku tersebut.

"Tidak ada kot. Kalau ada, ini satu gerakan yang baik," katanya apabila ditanya sama ada beliau mengetahui penyebaran buku-buku berkenaan.

Nasib Melayu Selangor setebal 35 halaman dan 50 Kemusykilan Tentang Manusia Bernama Anwar Ibrahim pula 193 muka surat.

Sumber : Malaysiakini

20 August 2009

Laporan SPRM Berhubung Kes Gadai Tanah Oleh Tan Sri Muhyiddin

Angkatan Muda Keadilan menggesa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin menjelaskan isu penggadaian tanah seluas 51,170 hektar kepada Singapura pada tahun 1980 ketika beliau menjadi Menteri Besar Johor dahulu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin, mendakwa pengkhianat sebenar adalah Muhyiddin sendiri kerana telah menyalahgunakan harta kerajaan untuk kepentingan parti.

“Terdapat bagaimana Muhyiddin ketika menjadi Menteri Besar Johor telah menggadaikan 51,170 hektar tanah kepada kerajaan Singapura dengan pulangan wang sebanyak RM350 juta ringgit. Perkara ini telah didedahkan oleh bekas setiausaha UMNO, saudara Osman dan perkara ini telah disebut dan diumumkan dalam ceramah Ibrahim Ali bahkan perkara ini menjadi rahsia dan tidak diketahui oleh rakyat Johor ketika itu,” kata Shamsul.

Pendedahan Datuk Ibrahim Ali dalam satu ceramah di Kuala Nerus, Terengganu sekitar pada tahun 2006 itu telah menjadi tanda tanya kepada semua rakyat Malaysia ekoran penyalahgunaan kuasa tersebut sekali gus membayangkan kepada rakyat bahawa pengkhianat sebenar ialah Muhyiddin dan pimpinan UMNO Barisan Nasional.

Shamsul berkata pengakuan ini secara terang-terangan telah membuktikan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan dan ekoran itu AMK menggesa SPRM menyiasat kes tersebut dengan segera.

“Hal ini dilakukan bagi menjawap persoalan-persoalan yang dilaporkan bahawa beliau tidak amanah dan melakukan tindakan-tindakan menggugat negara ini, menyeleweng dan menyalahgunakan wang rakyat. Kali ini kita bukakan bukti-bukti dan kita membuat laporan secara rasmi untuk tujuan itu,” kata Shamsul.

Sumber : tvantara

19 August 2009

Ceramah Kutuk Anwar,PR: Lebih Banyak Kerusi Dari Orang Umno

Kempen kutukan anjuran Umno-BN tidak mendapat sambutan menggalakkan dari masyarakat setempat.

Bahkan, tinjauan mendapati lebih banyak kerusi kosong yang setia mendengar ucapan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berbanding ahli-ahli Umno.

Di Shah Alam, program anjuran Umno diwar-warkan dihadiri kira-kira 1000 orang tetapi ceramah mengutuk Anwar Ibrahim, Pas dan DAP itu nampaknya hanya berjaya mencatu 300 orang.

Mungkin kerana meluat, atau berasa jijik dengan kempen sebegini, ketidakhadiran orang-ramai di ceramah-ceramah panas membawa petanda tidak baik kepada Pemuda Umno.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan kegagalan program berkenaan berlaku kerana masih ramai di kalangan ahli Umno yang menyokong Anwar dan laungan 'Anwar Pengkhianat' hanyalah retorik Umno.

"Saya yakin sebahagian besar daripada penyokong Umno masih lagi dengan Datuk Seri Anwar. Oleh kerana slogan pengkhianat ini retorik Umno-BN dan diulang sebab itu saya yakin ia tidak mendapat sambutan kerana mereka tahu sebenarnya siapa yang mengkhianati Melayu, siapa pengkhianat. Kehadiran yang tidak ramai menunjukkan rakyat tidak bersama UMNO.

"Ini jelas menampakan Umno dan BN ketandusan idea dan idea mereka adalah idea lama yang tidak diterima masyarakat kerana merasakan idea ini biadab dan tidak bertamadun," katanya.

Di selatan tanahair, pemimpin kanan Umno sendiri 'mengkhianati' Umno dengan memulaukan perhimpunan mengutuk Anwar Ibrahim di Batu Pahat.

Hanya 400 orang dari sasaran 10,000 orang yang hadir ke perhimpunan kutuk-mengutuk itu.

Bahkan, ramai daripada mereka yang hadir menyisihkan diri daripada perhimpunan berkenaan apabila beberapa pemimpin UMNO memberi ucapan berbau perkauman dalam keghairahan menuduh Anwar sebagai pengkhianat bangsa.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melontarkan tuduhan pengkhianat terhadap Anwar dijadualkan hadir pada perhimpunan itu di Dataran Penggaram.

Namun pemimpin Umno Johor itu sendiri dikatakan menarik diri apabila diberitahu mengenai sambutan dingin terhadap perhimpunan itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Pusat Nasruddin Hassan Tantawi berkata, kebanyakan yang hadir ke program anjuran Umno adalah mereka yang telah dikerah oleh parti berkenaan dan sambutan dingin dari masyarakat merupakan isyarat penolakan rakyat kepada Umno.

"Saya tidak hairan kalau rakyat tidak beri sambutan, 400 dan 300 orang dikira sudah ramai. Mungkin kerana kerahan atau pembiyaian dibuat kepada mereka yang hadir. Biasanya dalam perhimpunan Umno mengikut pengalaman kita dihantar kenderaan, diberikan imbuhan. Kegagalan untuk mendapatkan sokongan itu merupakan isyarat dari rakyat yang UMNO perlu faham," katanya.

Hadirin juga kelihatan terkilan dengan ungkapan-ungkapan kesat dan biadap terhadap Anwar pada pemidang-pemidang Umno yang direntangkan.

Namun sambutan hambar adalah tamparan ke kiri dan kanan muka Muhyiddin dan Khairy Jamaluddin.

Ia juga bukti terbaru bahawa politik fitnah dan serangan peribadi yang dibawa oleh Muhyiddin ditolak oleh akar umbi parti.

Ketua Pemuda DAP, Look Siew Fook berkata, cara Umno menggunakan serangan peribadi merupakan faktor rakyat mula menolak parti berkenaan.

"Saya rasa masyarakat sudah muak dengan cara mereka yang membuat serangan peribadi, kalau mereka hanya bergantung kepada cara ini untuk menyerang keperibadian seseorang pemimpin untuk berkuasa seperti menggali lubang kubur sendiri," katanya.

Sumber : tvantara

18 August 2009

Gobala dipukul dan dikejarkan ke hospital Bukit Mertajam


Polis menahan ahli parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan membantu siasatan kerana didakwa mencetuskan kekecohan di kawasan pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Bukit Mertajam pagi ini.

Menurut Ketua Polis Negeri Datuk Ayob Yaakob, dalam insiden jam 11.30 pagi itu, ahli Majlis Tertinggi PKR itu telah mencetuskan kekecohan apabila mengingkari arahan polis supaya tidak menggunakan alat pembesar suara untuk melaungkan kata-kata berunsur provokasi, lapor Bernama.

Katanya setelah Gobalakrishnan ingkar dengan amaran polis sebanyak dua kali, seorang anggota polis menahannya tetapi beliau dan penyokongnya kemudian melawan anggota polis dan menyebabkan berlaku kekecohan.

Kekecohan itu membabitkan kira-kira 50 penyokong pakatan pembangkang yang cuba merempuh kawalan polis di pusat penamaan calon itu.

"Bagaimanapun kekecohan dapat dikawal oleh pasukan polis dan Gobalakrishnan yang mendakwa tangan kirinya patah dalam pergelutan dengan polis itu dibawa ke Hospital Bukit Mertajam dengan sebuah ambulans," kata Ayob.

Katanya terdapat juga anggota polis yang cedera dan dihantar ke hospital.

Sementara itu, sehingga jam 1.37 tengahari ini, Gobalakrishnan masih berada di Hospital Bukit Mertajam.

Seorang pemimpin AMK Pulau Pinang (Amizudin Ahmat) yang menemani Gobalakrishnan, memberitahu Malaysiakini bahawa urusan x-ray telahpun selesai.

Menurutnya, terdapat sekurang-kurangnya tujuh anggota polis di situ.

Nantikan video Gobalakrisnan menyusul, saya sempat rakamkan di tempat penamaan calon dan di hospital. * KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *


Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

Sumber : Tranungkite
Video : Malaysiakini

16 August 2009

Intergrasikan jentera 3 parti Pakatan - Lim Guan Eng

Oleh Dzulfikar Mashoor

PERMATANG PAUH, 16 Ogos: Semasa melancarkan jentera DAP di Permatang Pasir semalam, Ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mahu semua parti komponen Pakatan bersatu berkempen habis habisan memenangkan calon PAS, Ustaz Salleh Man.

Ini kerana kemenangan Pakatan Rakyat bagi kerusi DUN Permatang Pasir sangat penting bagi ketiga-tiga parti Pakatan samaada PAS, PKR atau DAP.

Selain untuk mengekalkan survival politik parti masing masing, keputusan pilihanraya Permatang Pasir ini juga penting kerana ianya bakal mencerminkan sejauh mana keutuhan dan muafakat yang terjalin antara ketiga tiga parti Pakatan setelah cuba dirobek dengan pelbagai cara oleh Umno Barisan Nasional.

Melihat kepada kesan besar itu, Lim Guan Eng mengharapkan pilihanraya kecil ini adalah medan pembuktian muafakat kesemua parti pakatan dengan menggunakan pendekatan mengintegrasikan kesemua jentera parti.

"Kita akan cuba integrasikan gerak kerja masing-masing di sini. Kita pernah guna strategi integrasi kempen semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding, semasa Dr. Mansor Othman bertanding dan sekarang kita perkasakan sekali lagi untuk calon kita, Salleh Man," ujarnya semalam.

Kesemua komponen parti Pakatan katanya mempunyai kelebihan masing-masing dan jika ianya digunakan secara strategik, ia mampu membuahkan kejayaan yang lebih besar dari apa yang pernah dicapai.

"Kita akan buat bersama dan juga mengikut aktiviti parti-parti. Kita perlu faham bahawa ada beberapa kerja-kerja perlu dilakukan bersama dan mengikut parti secara fleksibel," tambahnya lagi

Sementara itu Pengerusi DAP Negeri Chow Kon Yeow yang juga Exco Kerajaan Pulau Pinang berkata pendekatan kempen DAP pada Pilihanraya Umum yang lalu serta beberapa pilihanraya kecil di negeri itu akan digunakan sepenuhnya.

Namun jelasnya, skuad pemantau isu yang ditubuhkan DAP akan mengkaji kesesuaian pendekatan baru yang akan diambil supaya selaras dengan pendekatan kempen PAS dan realiti pengundi setempat.

Petang ini juga, akan berlangsung pelancaran jentera pemuda Pakatan oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di bilik gerakan AMK di sini. Ianya akan disusuli dengan satu ceramah perdana malam ini yang akan turut disertai Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul hadi Awang.

Sumber : Harakahdaily

10 August 2009

Zambry ‘pengecut’: PKR

SHAH ALAM – Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai pemimpin ‘pengecut’ dan tidak menghormati hak rakyat kerana mempunyai pendirian berbeza dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan membenarkan sesuatu perhimpunan aman dilakukan di stadium.

Zambry dipetik sebagai berpendapat, perhimpunan menuntut pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal diadakan di Stadium Perak anjuran Dewan Pemuda Perak akan membuatkan rakyat hidup tidak tenteram dan untuk memenuhi keseronokan semata-mata, lapor sebuah portal berita online tempatan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, Zambry mengeluarkan ke�nyataan demikian kerana khuatir kedudukannya sebagai Menteri Besar Perak akan terjejas.

“Beliau tidak dapat menerima kenyataan akan menghadapi lebih ramai penyokong yang membantah pelantikannya sebagai Menteri Besar dan menyeru agar DUN Perak dibubarkan segera.

“Beliau juga menafikan hak demokrasi rakyat untuk berhimpun menyuarakan ketidakpuashatian terhadap sesuatu perkara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Katanya, Zambry mesti menghormati hak dan perasaan rakyat kerana apa jua tuntutan menggambarkan aspirasi yang mereka diingini.

Dalam pada itu, Pengarah Strategik PKR, Tian Chua berkata, cadangan Najib untuk membenarkan sesuatu perhimpunan aman dilakukan di stadium adalah sesuatu yang tidak ikhlas.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebenarnya takut berhadapan dengan rakyat yang lantang menyuarakan hak mereka. Pada hakikatnya mereka sebenarnya tidak mahu apa jua perhimpunan rakyat menentang sesuatu dilakukan.

“Mereka bimbang lebih banyak lagi penyokong yang turun dan kedudukan kerajaan akan terancam,” katanya.

Tian Chua berkata, tidak semua perhimpunan aman sesuai dilakukan di stadium sebagaimana yang dicadangkan oleh Perdana Menteri.

“Contohnya, jika rakyat hendak menghantar memorandum menolak keganasan Israel terhadap Palestin, demonstrasi lebih sesuai diadakan di hadapan bangunan kedutaan berkenaan,” katanya.

Sumber : Sinarharian

04 August 2009

Penduduk gusar rumah didiami retak, mendap

MELAKA- Beberapa penduduk di Taman Bachang Baru di sini, bimbang apabila rumah teres dua tingkat milik mereka bakal runtuh selepas berlaku beberapa keretakan serius pada rumah masing-masing.

Salah seorang penduduk, Phay Soon Siong, berkata, bahagian depan rumahnya sudah mendap. Malah bahagian lain di rumah berkenaan, termasuk lantai anjung, tembok dapur dan tiga bilik di tingkat atas mengalami keretakan.

Soon Siong berkata, dia mendiami rumah berkenaan pada pertengahan 2004 selepas membuat pengubahsuaian, dan kini rumahnya mengalami mengalami beberapa kesan keretakan.

“Kesan retakan di tembok dapur paling panjang. Rumah ini ibarat bukan lagi sebuah rumah kerana tidak selamat untuk didiami, namun saya tiada pilihan lain,” katanya yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Menurutnya, beberapa lagi rumah lain di kawasan itu turut mengalami masalah sama.

“Saya difahamkan beberapa lagi rumah penduduk di sini turut mengalami masalah keretakan,” katanya.

Katanya, aduan sudah dibuat kepada pemaju dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Selain Soon Siong, seorang lagi penduduk, Liew Chin Fong, 72, meluahkan rasa gusar terhadap masalah keretakan dan kebocoran siling yang berlaku di rumahnya.

“Dinding rumah retak dan siling pula bocor, apabila banjir berlaku di kawasan tersebut baru-baru ini, masalah keretakan bertambah ketara mungkin disebabkan tanah mendap,” katanya yang sudah lima tahun mendiami rumah terbabit.

Menurutnya, wakil pemaju perumahan ada datang ke rumahnya, namun Chin Fong berasa kesal kerana tiada tindakan diambil pihak terbabit.

“Saya berharap pihak pemaju perumahan dan MBMB dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah yang dialami beberapa penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan Perhubungan Negeri Melaka Parti Keadilan Rakyat (PKR), Freddie S.H. Lim berkata, beliau berasa kesal dengan kelewatan MBMB dalam menangani masalah penduduk di kawasan terbabit.

“Saya berasa kesal dengan MBMB khususnya Datuk Bandar Melaka Bersejarah, Yusof Jantan serta Kementerian Perumahan yang tidak mengambil tindakan segera terhadap masalah tersebut,” katanya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Melaka, Hairiz Nordin dan Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri Melaka PKR, Md Yusof Abddulah turut hadir melawat kawasan berkenaan.

Sementara itu, Md Yusof berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat setiap projek perumahan di atas tanah yang ditambak kerana dikhuatiri ada unsur-unsur yang tidak sihat sewaktu projek pembinaan dijalankan.

“Saya difahamkan banyak projek pembangunan di atas tanah tambak yang tanahnya masih belum cukup sesuai telah dibangunkan perumahan atau bangunan. Hal ini akan mendatangkan masalah pada satu masa kelak. Tanah yang ditambak memerlukan satu jangka masa yang sesuai, barulah kawasan itu boleh dimajukan,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

BN nafikan hak rakyat: AMK

SHAH ALAM – Keadaan huru–hara pada Perhimpunan Gerakan Mansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di sekitar Kuala Lumpur, Sabtu lalu berpunca daripada tindakan pihak polis untuk mematahkan tuntutan rakyat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, keadaan menjadi kecoh akibat sikap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak mahu melunaskan hak rakyat untuk berhimpun secara aman menyampaikan suara mereka.

“Adakah dengan rakyat berkumpul beramai-ramai, melaungkan meminta mansuh ISA, membentangkan kain rentang dikatakan ganas dan berbahaya? Tindakan ganas sebenarnya berpunca daripada pihak polis.

“Ribuan rakyat yang berhimpun terutamanya anak muda menjadi saksi mata bagaimana pihak polis atas arahan BN telah menjadikan Kuala Lumpur pada 1 Ogos lalu medan rakyat dibelasah dan dinafikan hak mereka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

AMK turut mengutuk keras laporan dan pandangan pimpinan BN yang melabelkan perhimpunan anti-ISA yang dihadiri lebih 20,000 rakyat sebagai perhimpunan ganas.

“Bagi kami pandangan tersebut hanyalah untuk menutup tuntutan rakyat agar akta drakonian seperti ISA yang menghalalkan mangsa ditahan tanpa perbicaraan dihapuskan.

“Kesesakan lalu lintas sememangnya diciptakan oleh pihak kerajaan BN melalui sekatan sejak 31 Julai lagi di beberapa pintu masuk Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, peniaga di sekitar Kuala Lumpur pula terpaksa menutup premis perniagaan mereka apabila pihak polis mula melepaskan tembakan gas pemedih mata dan semburan air asid.

AMK turut menyangkal dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Tun Hussien yang mengaitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) sebagai dalang dan mempolitikkan penganjuran perhimpunan tersebut.

“Sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat dan memahami perasaan rakyat, kami turut menyokong tindakan menggesa mansuh akta ISA tersebut,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Arahan PM Najib dan tindakan Polis Di Raja Malaysia ZALIM !

Angkatan Muda Keadilan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan ganas pihak polis menyerang, mengganasi dan menangkap rakyat Malaysia yang melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman di Kuala Lumpur hari ini, menuntut pemansuhan akta zalim ISA.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia mengutuk tindakan ganas polis yang sama sekali tidak perlu. Ia adalah di luar batasan amalan demokrasi dan hak asasi rakyat Malaysia untuk menyerahkan memorandum ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Malah pihak polis tidak menghormati Baginda kerana temujanji untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil Baginda telah ditetapkan pada hari ini.

Keganasan hari ini yang menindas dan menekan suara rakyat Malaysia ternyata mendedahkan omongan kosong ‘1 Malaysia’ yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia menggesa Dato’ Seri Najib Razak untuk membuktikan bahawa pentadbiran beliau bukan hanya berasaskan slogan-sloganan semata-mata dengan membuka ruang demokrasi dan bersuara kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sebagai langkah pertama, hampir 500 orang rakyat yang ditahan hari ini ketika melaksanakan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan, mesti segera dibebaskan. Ketua Polis Negara dan pegawai-pegawai utama polis yang mengarahkan keganasan hari ini, mencabul hak perlembagaan rakyat dan bertindak biadap terhadap Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong; perlu digantung tugas dan siasatan bebas dilaksanakan terhadap mereka.

Najib perlu bersedia membuktikan bahawa beliau berhasrat untuk benar-benar menjadi Perdana Menteri kepada semua rakyat Malaysia dengan segera mengambil langkah-langkah perlu untuk menentukan kehendak sebenar rakyat mengenai ISA dengan mengadakan pungutan suara (referendum) bebas.

Tatacara pengendalian pihak polis terhadap rakyat yang berhimpun mesti dikaji semula bagi memastikan mereka mengawal keselamatan dan bukan bertindak liar mengganasi rakyat. Sudah sampai masanya tindakan pemerintah memperalatkan polis untuk kepentingan sempit mereka dihentikan dan polis seharusnya menjaga keselamatan rakyat dan bukan mengganasi mereka.

Sekiranya Najib enggan melaksanakan perubahan-perubahan ini, ternyata beliau mengemukakan gagasan ‘1 Malaysia’ hanya sekadar untuk mengabui mata rakyat dan memperdayakan Malaysia bahawa kerajaan hari ini sudah berubah.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia


Sumber : Angkatanmuda

KETUA POLIS NEGARA PERLU MELETAKKAN JAWATAN ATAS TINDAKAN GANAS TERHADAP PERHIMPUNAN MANSUH ISA

Lee Khai Loon, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, merangkap Naib Ketua AMK Negeri Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan ganas pihak polis yang menghalang perhimpunan Mansuhkan ISA yang aman pada Sabtu lalu. Pihak polis telah menangkap 589 orang termasuk 40 wanita dan 44 remaja. Tindakan polis bukan sahaja tidak memainkan peranan yang memberikan perlindungan kepada rakyat jelata malah bercanggah dengan kebebasan berhimpun yang termaktub dalam Perlembagan Persekutuan.

“Pihak polis tidak professional serta tidak mengetahui menjaga ketenteraman awam. Jika bilangan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang begitu ramai, water canon yang disediakan serta penutupan jalanraya utama, mengapakah pihak polis tidak berusaha serta berunding dengan pihak penganjur untuk menjaga ketenteraman awam dengan berkesan?

“Kebanyakkan perhimpunan atau demonstrasi yang dijalankan di luar negara boleh diadakan dalam keadaan yang aman dan tenteram, mengapakah pihak polis hanya tahu melepaskan banyak tembakan pemedih mata dan tembakan meriam air yang mengandungi bahan kimia asid terhadap rakyat?”

Lee juga menyatakan bahawa pihak polis telah kehilangan integriti untuk menjalankan tugas mereka. Mereka sepatutnya tumpu dalam menjaga keselamatan masyarakat yang kian bahaya dan bukannya menindas rakyat yang mengambil bahagian dalam himpunan! Pihak polis seharusnya neutral dalam tidak melibatkan diri dalam kepartian.

Angkatan Muda KEADILAN Malaysia merakamkan terima kasih dan perhargaan kepada semua rakyat yang hadir perhimpunan itu. Walaupun kerajaan Barisan Nasional dan pihak polis menggunakan pelbagai cara untuk menghalang rakyat menyertai Himpunan tersebut, tetapi Himpunan Mansuhkan ISA telah berjaya mengumpulkan puluhan ribu rakyat untuk menghantarkan hasrat rakyat kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong

Pehimpunan tersebut amat menyentuh hati kerana saling membantu di kalangan orang ramai yang tidak mengambil kira kaum apabila diserang oleh tembakan pemedih mata dan meriam air. Rakyat telah menujukkan kematangan dan rasional dalam menyampaikan mesej mereka.

Akhir sekali, AMK menggesa Ketua Polis Negara, Musa Hassan patut bertanggungjawab atas tindakan ganas terhadap perhimpunan tersebut. Beliau juga harus memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia serta meletakkan jawatan beliau supaya kredibiliti Polis Di Raja Malaysia boleh diperbaiki.

Lee Khai Loon
Ketua Penerangan
Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Sumber : Angkatanmuda

31 July 2009

Perkara berkaitan penjajah perlu dimansuh

AYER KEROH - Pemansuhan perkara-perkara yang berkaitan dengan penjajahan, termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), perlu dimansuhkan bagi menjadikan kemerdekaan negara lebih bermakna.

Ketua Pembangkang Melaka, Goh Leong San berkata, akta berkenaan merupakan satu peninggalan penjajah British dan sebagai sebuah negara merdeka, Malaysia perlulah memansuhkannya.

Katanya, selain aspek berkenaan, penggunaan akta berkenaan juga boleh dilihat sebagai satu pencabulan kepada hak asasi manusia, di mana seseorang boleh ditahan tanpa dihadapkan ke mahkamah.

“Perhimpunan itu (Gerakan Mansuhkan ISA) tidak boleh dilihat sebagai tidak menghormati Bulan Kemerdekaan negara. Sekiranya kita sayang dan hormatkan negara, maka sesuatu mestilah dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai perhimpunan GMI yang dijadualkan akan diadakan di ibu negara Sabtu ini.

Sehubungan keputusan mengadakan perhimpunan itu, beberapa pihak menyelar tindakan terbabit yang dilihat sebagai tidak menghormati Bulan Kemerdekaan.

Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka, turut sependapat dengan Leong San mengenai isu itu.

Timbalan Ketuanya, Hairiz Nordin berkata, sebagai satu legasi penjajah, ISA yang dikenali sebagai Ordinan Darurat suatu ketika dulu perlu dimansuhkan bagi membuatkan kemerdekaan negara lebih bermakna.

Katanya, kemerdekaan tidak hanya bermakna bebas daripada penjajah, tetapi juga bebas dari segi politik, ekonomi dan sebagainya.

“Sebagai golongan muda, saya merasakan perlu adanya perubahan. Akta ini telah diperkenalkan penjajah, maka kenapa kita perlu meneruskannya? Justeru, saya berasakan ia perlu dimansuhkan,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

25 July 2009

AMK sokong Kit Siang

AYER KEROH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka sependapat dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, bahawa punca kematian Teoh Beng Hock perlu disiasat sebuah Suruhanjaya Diraja.

Timbalan Ketuanya, Hairiz Nordin berkata, sebuah suruhanjaya yang bebas mempunyai lebih kuasa untuk menjalankan siasatan dan seterusnya melaporkan terus ke Parlimen.

Menurutnya, siasatan ini perlu dijalankan dengan segera kerana ia membabitkan kematian seorang saksi yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan.

“Isu yang berlaku ini adalah serius kerana ia membabitkan kematian seorang saksi. Dari pandangan AMK, sebuah Suruhanjaya Diraja adalah jalan terbaik menyiasat kejadian ini kerana pada ini kita nampak seolah-olah tiada sebarang perkembangan dalam siasatan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian kerana diminta mengulas kenyataan Kit Siang kelmarin yang menolak pembentukan sebuah Suruhanjaya Diraja bagi mengkaji peraturan berkaitan soal siasat SPRM serta sebuah inkues untuk menyiasat punca kematian Beng Hock.

Dalam kenyataannya, Kit Siang turut mendesak kerajaan supaya memperluaskan skop suruhanjaya itu bagi turut menyiasat punca kematian bekas Setiausaha Politik kepada Exco Selangor itu.

Menurut Hairiz, insiden kematian Beng Hock itu akan turut mempengaruhi pandangan orang ramai mengenai SPRM.

“Sehingga kini SPRM masih membisu dan enggan mengeluarkan sebarang kenyataan dan ini akan menunjukkan ketidakwibawaan SPRM di mata rakyat,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

12 July 2009

Gambar : Wacana/Dialog Strategi Tawan Melaka





06 July 2009

Penubuhan Gerakan Rakyat Tolak Konspirasi Jahat Terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim (KEJAM)

Keputusan Mahkamah Rayuan untuk mengekalkan perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi secara jelas dan terang menggambarkan usaha berterusan Umno-BN untuk memastikan kemaraan rakyat di bawah Pakatan Rakyat terhalang.

Setelah pelbagai usaha jahat dan kotor untuk mengganggu gugat kestabilan Pakatan Rakyat menemui jalan buntu, maka klimaks kepada usaha ini terlihat melalui perbicaraan mahkamah ke atas konspirasi kedua yang dipalitkan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pembuktian bagaimana usaha terancang yang melibatkan Peguam Negara dan Ketua Polis Negara – ironinya keduanya adalah institusi besar di dalam perjalanan kes ini – sebermula konspirasi tahun 1998 dahulu, ditolak mentah oleh Mahkamah Rayuan.

Justeru hari ini, Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), secara rasminya melancarkan Gerakan Rakyat Tolak Konspirasi Jahat Terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim (KEJAM).

KEJAM tidak ditubuhkan semata-mata berasaskan sentimen politik, tetapi bersandarkan kepada fakta perundangan yang bersifat imperikal yang secara langsung membuktikan bahawa konspirasi kes liwat kedua ini adalah satu usaha politik kotor dan terdesak oleh Umno-BN.

Pembuktian demi pembuktian telahpun dikemuka dan diperoleh, namun perencanaan jahat ini kelihatan berupaya menghasilkan keputusan yang memenangkan mereka dengan kerjasama daripada institusi perundangan dan polis yang telahpun membuktikan profesionalisme yang mencurigakan sepanjang proses penyiasataan dan perbicaraan awal kes ini berjalan.

KEJAM akan menggerakkan usaha menyatakan solidariti ke atas Datuk Seri Anwar, dan akan menyebarluas fakta-fakta dan bukti-bukti alibi yang sekaligus membuktikan bahawa konspirasi ini tidak lain hanyalah satu usaha mengekang kemaraan rakyat yang semakin hari semakin menolak Umno-BN.

AMK yakin dan percaya bahawa usaha kotor ini akan menemui kegagalan di tangan rakyat, malah impaknya akan lebih memberi kesan kepada Umno-BN, selagi mana mereka terus dijangkiti sindrom penafian bahawa rakyat semakin muak dan jelak ke atas konspirasi jahat ini.

Rakyat semakin celik dengan kebenaran, dan rakyat akan terus jelek untuk menelan ‘operasi pembodohan’ yang dijalankan Umno-BN secara berterusan.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia


Sumber : Shamsul Iskandar

Pemuda PKR lancar kempen Kejam sempena kes liwat Anwar

Oleh G. MANIMARAN

SHAH ALAM: Angkatan Muda Keadilan (AMK) merancang untuk menggerakan 5,000 penyokongnya di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur Rabu ini sempena perbicaraan kes liwat kedua Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, AMK petang ini melancarkan Gerakan Rakyat Tolak Konspirasi Jahat Terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim (Kejam).

"Kejam akan menggerakkan usaha menyatakan solidariti ke atas Datuk Seri Anwar dan akan menyebar luas fakta-fakta dan bukti-bukti alibi yang sekali gus membuktikan bahawa konspirasi ini tidak lain hanyalah satu usaha mengekang kemaraan rakyat," kata Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd. Akin pada sidang media selepas pelancaran kempen Kejam di sini.

"Kejam tidak ditubuhkan semata-mata berasaskan sentimen politik, tetapi bersandarkan kepada fakta perundangan yang bersifat impirikal yang secara langsung membuktikan bahawa konspirasi kes liwat kedua ini adalah satu usaha politik kotor dan terdesak oleh Umno-BN.

"Pembuktian demi pembuktian telah pun dikemuka dan diperoleh, namun perencanaan jahat ini kelihatan berupaya menghasilkan keputusan yang memenangkan mereka dengan kerjasama daripada institusi perundangan dan polis yang telah pun membuktikan profesionalisme yang mencurigakan sepanjang proses penyiasataan dan perbicaraan awal kes ini berjalan," katanya.

Ketika ditanya bukankah gerakan Rabu ini satu perhimpunan haram, Shamsul Iskandar, kes Anwar adalah perbicaraan terbuka yang semua orang boleh hadir.

"Kami hendak berhimpun di kawasan mahkamah secara aman, saya tidak ajak untuk mencetuskan huru-hara, kita hendak ajak rakyat menyatakan sokongan kepada Anwar.

"Saya yakin polis tidak akan membuat sebarang tangkapan, perhimpunan kami ini bukan haram tapi halal," katanya.

Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun lepas.

Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan mulai 8 Julai ini di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Sumber : mStar

27 June 2009

Pemuda PR hantar memo minta gugur kes Anwar

PUTRAJAYA – Pemuda Pakatan Rakyat telah menghantar satu memorandum kepada Jabatan Peguam Negara untuk meminta pihak pendakwaan menggugurkan kes tuduhan liwat terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin berkata, tuduhan liwat oleh bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan tidak berasas kerana tiada bukti yang menunjukkan Saiful telah diliwat.

Menurutnya, pihak pembelaan telah mendapatkan pengesahan laporan perubatan dari Hospital Pusrawi dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang menunjukkan tiada tusukan berlaku ke dubur pengadu.

“Hari ini kita telah pun menghantar satu memorandum untuk diserahkan kepada Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin peguam yang mengetuai pihak pendakwaan dalam kes liwat kedua Anwar untuk menggugurkan kes terbabit.

“Laporan Hospital Pusrawi dan pakar dari HKL adalah penting dalam menentukan sejauh mana kebenaran tuduhan liwat ini,” katanya kepada wartawan selepas menghantar memorandum kepada Jabatan Peguam Negara, semalam.

Shamsul berkata, respons yang diberikan oleh pihak pendakwaan terhadap memorandum ini adalah baik dan beliau berharap sebarang keputusan akan diketahui tujuh hari kemudian.

“Kita juga mahu tahu prinsip beliau (Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin) mengenai bukti-bukti yang kita kemukakan ini,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda PR akan kembali bermesyuarat pada Isnin ini untuk susulan sekiranya tindakan menghantar memorandum ini tidak berkesan.

“Kita akan bermesyuarat Isnin ini kalau tindakan kita menghantar memo hari ini (semalam) tidak berjaya menggugurkan kes ini, saya akan maklumkan nanti tindakan susulan kami Pemuda Pakatan," katanya.

Menurutnya, tuduhan ini merupakan konspirasi politik terhadap Anwar yang kedua selepas tuduhan pada 1998 dan beliau mendesak supaya pihak pendakwaan menimbang semula kes ini.

“Kami percaya jika kes ini tetap diteruskan di mahkamah, sudah pasti mereka tidak akan mencapai kemenangan dan akan timbul guna kuasa untuk kepentingan politik pihak tertentu,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

26 June 2009

Mohd Ali digesa ‘berehat’, beri laluan SPRM siasat

AYER KEROH – Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, digesa supaya ‘berehat’ seketika daripada menjalankan tugasnya bagi memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.

Ketika membuat gesaan ini, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka, Hairiz Nordin, berkata, tindakan itu penting bagi meyakinkan rakyat mengenai integriti SPRM dalam usaha menangani gejala rasuah.

Menurutnya, ini berikutan keyakinan rakyat terhadap suruhanjaya itu sudah sedikit sebanyak terhakis apabila ia dikatakan lambat mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang terlibat dalam gejala itu.

“Kita sendiri telah lihat bagaimana selama ini banyak kes membabitkan pemimpin BN dan UMNO sering tertangguh, sedangkan apabila membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR), tindakan begitu pantas diambil.

“Sehubungan itu, AMK Melaka ingin menyarankan supaya Mohd Ali berehat seketika untuk memberi ruang kepada SPRM menjalankan siasatan. Langkah ini juga sejajar dengan saranan beliau kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, ketika disiasat SPRM tempoh hari,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, bahawa SPRM sedang memperhalusi siasatan berhubung dakwaan politik wang bagi pencalonan Mohd Ali untuk jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Goh Leong San berharap proses siasatan SPRM itu akan dibincangkan di Dewan Rakyat bagi membolehkan semua wakil rakyat mengetahui lebih mendalam mengenainya.

Menurutnya, apa yang dinyatakan Mohamed Nazri kelmarin masih meninggalkan banyak persoalan mengenai siasatan berkenaan.

“Perbincangan dan penjelasan terbuka itu perlu bagi memberi keyakinan kepada rakyat yang sudah semakin hilang keyakinan terhadap integriti SPRM. Ketelusan di Dewan Rakyat adalah perlu untuk memberi keyakinan kepada rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Goh turut mengulangi pendiriannya bahawa Mohd Ali perlu meletak jawatan sebagai Ketua Menteri.“Saya berharap beliau akan meletak jawatan dan digantikan dengan seorang pemimpin yang lebih berwibawa. Hanya dengan cara inilah keyakinan rakyat terhadap pemimpin dapat dikembalikan,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

23 June 2009

Penduduk marah rezab sekolah jadi milik individu

BANDARAYA MELAKA – Penduduk Taman Sri Krubong terkejut apabila mendapati sebidang tanah yang direzabkan untuk pembinaan sebuah sekolah rendah telah dipindah milik menjadi tanah persendirian.

Pendedahan mengejutkan kira-kira dua tahun lalu itu terjadi apabila sekolah rendah yang sedia ada kian padat dan memerlukan sebuah sekolah baru dibina di kawasan berkenaan.

Ketua PKR Cawangan Krubong, Sham Kamat, berkata, penduduk kampung berasa terkejut apabila mendapati tanah berkenaan telah ditukar milik menjadi tanah persendirian walaupun ia telah direzabkan untuk pembinaan sebuah sekolah.

Beliau mendakwa pertukaran status itu telah dilakukan tanpa pengetahuan wakil rakyat kawasan terbabit serta penduduk kampung.

“Pada asalnya, tanah itu telah direzabkan oleh pemaju perumahan, Jen Jaya Sdn Bhd, kepada penduduk Taman Sri Krubong untuk pembinaan sekolah rendah atau untuk kegunaan awam.

“Kini kami mendapati tanah terbabit telah dipecahkan menjadi enam lot dan setiap satunya telah menjadi hak peribadi.

“Apa yang menjadi persoalan kami adalah, bagaimana semua ini boleh berlaku. Saya yakin berlaku salah guna kuasa dalam perkara ini,” katanya kepada media di pekarangan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka di sini semalam.

Turut serta membuat laporan kepada SPRM Melaka adalah Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka, Hairiz Nordin, Timbalan Ketua Penerangan Perhubungan PKR Negeri Melaka, Freddie S.H Lim dan Tahar Ahmad.

Menurut Sham, dalam laporannya kepada SPRM, beliau telah meminta badan itu membuat siasatan segera mengenai kemungkinan berlaku salah guna kuasa sehingga menyebabkan tanah terbabit ditukar daripada kegunaan awam menjadi hak peribadi.

“Saya berharap SPRM akan menjalankan siasatan dengan telus demi menegakkan keadilan untuk semua pihak,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Designed by - AMK TANGGA BATU