AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami
Showing posts with label Semasa. Show all posts
Showing posts with label Semasa. Show all posts

20 August 2009

Tiong: Saya bukan mesin ATM BN

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing dikenali sebagai 'Mesin ATM BN' kerana reputasinya yang dikenali amat murah hati untuk memberi bantuan kepada rakan-rakannya dalam BN.

Minggu lalu, pengerusi Jawatankuasa Penyokong Kerajaan (BBC) itu membuat pendedahan menggemparkan apabila mendakwa menyumbang RM10 juta kepada Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat untuk membiayai aktiviti parti tersebut.

Ong bagaimanapun menafikan dakwaan Tiong dan membuat laporan polis mengenainya minggu lalu. Beliau juga mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang Tiong.

Apabila dikecam oleh Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun, Tiong yang juga bendahara Parti Demokratik Progresif Sarawak(SPDP) mendakwa Chew juga turut menerima sumbangan daripadanya.

Semalam, Tiong mendedahkan kepada pihak media bahawa anak syarikatnya hanya mengenakan kadar sewa RM1 bagi kesemua 32 unit yang menempatkan kolej KTAR milik MCA di Penampang, Sabah.

Bagaimanapun, ketika ditemubual oleh Malaysiakini di pejabatnya di Petaling Jaya kelmarin, Tiong menolak tanggapan tersebut bahawa beliau menjadi 'mesin ATM BN"..

"Jangan cakap macam tu... kamu tahu tak berapa banyak sekolah Cina yang saya bantu? Mesin ATM apa?" kata Tiong.

Tiong berkata, sumbangan itu dibuat atas dasar solidariti bagi membantu komuniti Cina dan beliau tidak mengharapkan apa-apa balasan.

"Saya mahu lihat parti-parti Cina supaya kuat dan bersatu supaya kita dapat turun ke bawah untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Jelasnya lagi, sumbangan beliau bukan hanya terhad kepada parti Cina sahaja.

"Berapa banyak biasiswa sudah saya beri kepada pelajar? Berapa banyak orang yang sudah saya bantu? Awak boleh tanya Vicky (bekas ketua pemuda MIC kebangsaan S.A.Vikneswaran) Tanya dia adakah saya ada beri sokongan kepada dia? Dia pun sudah tidak ada (jawatan) sekarang."

(Ketika dihubungi kemudiannya, Vigneswaran berkata Tiong telah menyumbang RM1 juta kepada Universiti AIMST milik MIC beberapa tahun lalu. Beliau juga telah menyumbang kepada beberapa buah kuil).

"Adakah dengan memberi sumbangan, saya ini meminta ijazah kedoktoran (daripada Universiti Tunku Abdul Rahman?," soal Tiong lagi.

Jelasnya lagi, sumbangan tersebut adalah untuk mengekalkan kerjasama di antara parti komponen BN dan juga untuk meraih sokongan daripada pengundi.

"Ini penting untuk kekalkan kekuatan BN. Tidak ada maknanya jika kita kuat di Sabah dan Sarawak tapi yang lain tidak boleh mengekalkan (kekuatan) di Semenanjung.

"Kita mesti tunjukkan kepada rakyat bahawa kita sudah berubah, bukannya hanya tahu bercakap, mengorek isu-isu, dan menggorengnya di media untuk mendapat kepentingan politik seperti parti pembangkang. Itu salah," katanya lagi.

"Kalaulah kami terlebih membuat tuntutan sekalipun, ianya boleh 'di-adjust-kan' pada panel terakhir. Jadi apakah isu sebenarnya?," katanya merujuk kepada siasatan ke atas PKFZ.

Sumber : Malaysiakini

DNA boleh dipalsukan

WASHINGTON - Seorang penyelidik berjaya membuktikan bahawa asid deoxyribonucleic (DNA) boleh dipalsukan, demikian menurut kajian yang diterbitkan jurnal Forensic Science International: Genetics.

Sebuah akhbar semalam melaporkan, Dr. Dan Frumkin mendedahkan bahawa, penyelidik mampu memadamkan semua kesan DNA daripada sampel darah dan memasukkan bahan genetik individu lain di tempat kejadian jenayah.

Pertukaran sampel tersebut turut berjaya memperbodohkan saintis forensik yang menjalankan ujian pengesanan cap jari untuk pengesahan bukti DNA bagi kegunaan penyiasatan mahkamah di Amerika Syarikat (AS) sendiri.

Perkembangan terbaru itu mungkin mencetuskan senario sampel darah atau air liur yang lazim menjadi standard DNA diubah dengan individu tidak bersalah.

"Jika anda boleh memalsukan darah, air liur atau tisu lain, anda boleh menjadi jurutera kejadian jenayah. Pelajar biologi di universiti pun boleh melakukan perkara ini," katanya yang memiliki sebuah syarikat pengeluar kit pengesahan DNA asli.

Sampel material DNA mudah diambil daripada gelas kosong, puntung rokok, bulu rambut atau gula-gula getah. Syarikat milik Frumkin juga membangunkan 'kod bar' genetik daripada 20 tempat di tubuh manusia yang membentuk sebuah perpustakaan DNA.

Pakar forensik terkenal, Dr. Gill Tully dari Perkhidmatan Sains Forensik dibiayai kerajaan British ketika mengulas isu itu berkata, penjenayah yang hebat sekali pun sukar mencapai peringkat mengubah DNA. - Agensi

Sumber : Kosmo & Times Online

19 August 2009

'Anugerah Sasterawan Negara bukan untuk tutup mulut saya'

Datuk Dr Anwar Ridhwan menolak tanggapan bahawa pemilihannya sebagai Sasterawan Negara adalah bagi menutup mulutnya yang lantang menentang dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau adalah antara penentang utama dasar bahasa tersebut bersama-sama dengan seorang lagi Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Hassan Ahmad.

Malah, semua sasterawan yang masih hidup telah mengeluarkan kenyataan bersama menentang pelaksanaan PPSMI.

"Saya rasa kerajaan bersikap terbuka sejak akhir-akhir ini. Begitu juga dengan (Sasterawan Negara) Muhammad Haji Salleh yang lantang dalam ucapan-ucapannya.

"Dua orang inilah (Samad dan Muhamad) yang saya nampak lantang. Tetapi nampaknya kerajaan tidak memberi apa-apa tekanan ke atas mereka," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini hari ini.

Mengakui pengiktirafan yang diterimanya itu sebagai beban, dekan fakulti penulisan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu berkata, ia bukanlah halangan kepadanya untuk terus bersikap kritis.

"Memang beban itu mula terasa. Tetapi pada saya, saya akan memberikan pandangan, kalau pada pandangan saya tidak sesuai, tidak secocok dengan sikap saya, saya rasa ia bukan halangan (untuk bersuara)," katanya.

Selain menentang PPSMI, beliau juga mengakui pernah menyuarakan perasaan tidak senangnya terhadap akta ISA dan isu-isu pendidikan, termasuk di dalam blognya www.1anwarridhwan.blogspot.com

"Walaupun tidak selari (dengan pandangan orang lain), saya akan beri pandangan. Tetapi (soalnya) bagaimana kita menzahirkan pandangan itu? Kita ada 1,001 cara untuk menzahirkan pandangan.

"Saya rasa ini bukan sikap penulis, sasterawan atau sasterawan negara saja. Saya rasa setiap daripada kita mempunyai hak untuk menzahirkan pandangan, terhadap sesuatu itu yang bertentangan dengan pendirian, prinsip dan idealisme kita," tegasnya.

Pada 11 Ogos lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemilihan Dr Anwar sebagai Sasterawan Negara ke-10 bagi mengiktiraf sumbangannya dalam perkembangan kesusasteraan tanahair melalui penulisan bermutu tinggi.

Anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu menerima hadiah wang tunai RM60,000 dan pelbagai kemudahan, termasuk untuk menerbit dan menterjemahkan karyanya.

Dr Anwar akan menerima anugerah berprestij itu dari Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 20 Oktober ini di Kuala Lumpur.

Sumber : Malaysiakini

13 August 2009

Kemelut nelayan belum selesai

TANJUNG DAHAN – Kemelut yang melanda kumpulan nelayan di sekitar Kampung Tanjung Dahan di Kuala Sungai Baru di sini, masih belum menunjukkan sebarang tanda penyelesaian walaupun sebelum ini perjumpaan melibatkan pihak kerajaan dan wakil rakyat telah diadakan.

Lebih membimbangkan, nelayan terbabit kini menghadapi kesukaran untuk keluar ke laut untuk menangkap ikan yang menjadi sumber rezeki utama mereka selama ini.

Hal ini berikutan kehadiran kapal kargo milik sebuah syarikat perkapalan tempatan yang berlabuh di perairan kampung berkenaan sejak empat bulan lalu.

Malah, penduduk mendakwa bilangan kapal yang berlabuh di situ saban hari kian bertambah, dari sebuah kini sudah bertambah kepada 16 buah. Keadaan itu telah menyukarkan nelayan pukat hanyut dan rawai untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan berkenaan.

Seorang nelayan, Tambi Chek Jalil berkata, kewujudan kapal kargo yang berlabuh di pesisir pantai Kampung Tanjung Dahan itu tidak dimaklumkan terlebih dahulu kepada nelayan di sini, sedangkan pihak berkenaan sewajarnya bertindak memberi surat pemberitahuan mengenainya.

Katanya, pada awalnya kapal berlabuh satu, dua hingga empat, tapi kini bilangannya sudah menjadi 16 buah.

“Sekurang-kurangnya pihak berkenaan termasuk pihak jabatan atau agensi Kerajaan Negeri yang terlibat memaklumkan kepada kira-kira 60 nelayan berdaftar di sini,” katanya selepas hadir Sesi Dialog bersama 11 agensi Kerajaan Negeri di Balai Nelayan Kampung Tanjung Dahan di sini, semalam.

Tambi Chek berkata, sejak kapal terbabit berlabuh di situ, nelayan kehilangan sumber pendapatan kerana sukar memperoleh ikan seperti sebelum ini.

Beliau berkata, masalah berkenaan telah dikemukakan kepada wakil rakyat, pihak persatuan nelayan dan jabatan atau agensi Kerajaan Negeri yang terlibat.

“Namun sehingga sekarang, masalah ini langsung tidak menampakkan penyelesaian sedangkan pihak Kerajaan Negeri sendiri sedia maklum bahawa rata-rata nelayan di sini merupakan nelayan sepenuh masa.

“Kami (nelayan) inginkan penjelasan lebih terperinci daripada pihak terlibat, terutama pemilik kapal-kapal berkenaan,” katanya.

Menurutnya, nelayan di sini bukan hendak membesarkan isu, tetapi ia terpaksa diketengahkan kerana membabitkan punca pendapatan utama mereka.

:Sementara itu, seorang lagi nelayan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Melaka Barat, Mazlan Bakar berkata, masalah kapal kargo di sini bukan perkara baru, malah sebelum ini nelayan turut berdepan insiden kehadiran kapal mengorek lombong bijih timah.

Menurutnya, perkara sebegini menjejaskan periuk nasi nelayan di sini, sekali gus pihak berkuasa perlu mengambil langkah tertentu bagi mengelak kejadian sama berulang.

Beliau berkata, perairan pantai Kampung Tanjung Dahan itu kecil berbanding perairan di Johor yang boleh menempatkan hampir 50 kapal dagang. Kehadiran kapal-kapal berkenaan benar-benar menjejaskan nelayan di sini.

“Kami (pihak) persatuan sendiri tidak menerima sebarang surat atau pemberitahuan mengenai kehadiran kapal-kapal berkenaan.

“Sebagai persatuan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan nelayan berdaftar di sini perlu bertindak bagi melindungi kepentingan kami,” katanya.

Menurut Mazlan, walaupun pihak kerajaan telah menyalurkan RM200 sebulan sebagai Elaun Sara Hidup, namun jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung kerugian yang terpaksa ditanggung ekoran tidak dapat melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan berkenaan.

Beliau berkata, pihak nelayan sangat berharap agar Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bersungguh-sungguh membantu mencari jalan penyelesaian masalah terbabit.

Sumber : Sinar Harian

Penduduk rayu MBMB segera bertindak

BACHANG - Penduduk yang tinggal di Jalan Tun Perak di sini sudah tidak tahan lagi dengan limpahan air longkang yang membanjiri halaman dan memasuki ruang rumah setiap kali berlakunya hujan lebat.

Mereka mendakwa, limpahan itu dipercayai berpunca dari sebuah loji kumbahan yang jaraknya kira-kira 100 meter daripada penempatan tersebut yang didiami kira-kira lima keluarga.

Penduduk, Mukelas Hasbullah, 48, berkata, bila hujan lebat, limpahan air kumbahan dari loji takungan akan mengalir ke parit sedia ada sehingga membanjiri halaman rumah.

Katanya, paling membimbangkan adalah air yang mengandungi lumpur dan berbau busuk itu akan memasuki ke dalam rumah sehingga menjejaskan kehidupannya sekeluarga.

“Sebelum ini kami hidup aman, tetapi keadaan sebaliknya sejak kira-kira tiga tahun lalu, apabila loji kumbahan itu yang menampung keperluan bangunan rumah kedai berhampiran siap.

“Saya sendiri sudah menghubungi Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan beliau sudah pun memberikan maklum balas supaya saya menghubungi Datuk Bandar. Datuk Bandar juga sudah saya hubungi dan berjanji akan menyelesaikan hal ini dengan seberapa segera,” katanya yang menghubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, dia berharap pihak terbabit melakukan langkah penyelesaian segera supaya mereka sekeluarga dan beberapa jiran lain tidak terus hidup terseksa di halaman sendiri.

“Sabtu lalu, ada wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama pegawai daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) datang melihat dan mereka berjanji akan datang sekali lagi Isnin lalu (kelmarin), tetapi hingga kini saya masih menunggu kehadiran mereka,” katanya.

Sementara itu, penduduk lain, Rosni Mahmod, 46 berkata, keadaan limpahan air yang kerap membanjiri halaman rumah mengakibatkan sebahagian besar daripada struktur tiang dan dinding rumahnya rosak dan reput.

“Saya tidak tahu dengan nasib rumah saya ini kerana jika keadaan sebegini berterusan, sudah pasti satu hari nanti rumah saya akan roboh. Sekarang ini pun kebanyakan tiang yang menyokong kekuatan binaan rumah saya sudah tergantung dan hanya dialas dengan batu.

“Cuma saya bergantung harap pada pihak JKKK kerana apa yang saya difahamkan, mereka sedang mengusahakan bantuan bagi membaiki keadaan rumah saya ini,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

09 August 2009

Isu arak...UBN dalam benci tapi suka...

Click to view full size image ==============


Click to view full size image ==============

yang tersurat.....
Demo UBN mengenai arak...semangat betol dorang ni...
yang tersirat..
ambik kau..siap ada resit lagi tu...tu yang 'TER'ada resit..yang tak ada resit...
ontah la..tak dapek den nak bayangkan..

[arak.jpg]


sumber http://sendiri-mau-ingatlah.blogspot.com/2009/08/kantoiiiireset-arak-ni-sapa-yang.html


admin-kata dulang paku serpih...kata orang awak yg lebih....umno jom yam seng!!!!

04 August 2009

Hampir setahun masalah belum selesai

ALAI – Penduduk, Zainal Majid, 60, meminta pihak berkenaan menurap semula Jalan Hj Majid di sini bagi kegunaan dan keselesaan pengguna.

Beliau mendakwa, masalah itu pernah diajukan menerusi surat rasmi kepada pemimpin kawasan itu sebelum ini.

“Saya tidak pasti sama ada surat itu sampai atau tidak kepada wakil rakyat kawasan, memandangkan sudah lama masalah ini dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan.

“Surat tersebut bertarikh 24 Oktober 2008 dan kini sudah hampir setahun berlalu,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Menurutnya, permasalahan itu sudah pun disampaikan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ketua Pemuda kawasan.

“Mereka pernah berkata akan membina jalan baru, tetapi sehingga kini saya masih tidak tahu bila ia akan dibina.

“Jalan ini sangat penting memandangkan semua penduduk menggunakannya, lebih-lebih lagi pelajar sekolah,” katanya.

Menurutnya, selain masalah jalan itu, limpahan air sering berlaku khususnya ketika hujan lebat.

“Kadangkala rumah saya dinaiki air memandangkan kawasan rumah lebih rendah.

“Justeru, saya mohon pihak yang berkenaan memberi perhatian akan masalah ini. Ia bukan sahaja untuk saya, sebaliknya pembinaan jalan baru pasti akan mendatangkan kebaikan kepada semua pihak,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Penduduk gusar rumah didiami retak, mendap

MELAKA- Beberapa penduduk di Taman Bachang Baru di sini, bimbang apabila rumah teres dua tingkat milik mereka bakal runtuh selepas berlaku beberapa keretakan serius pada rumah masing-masing.

Salah seorang penduduk, Phay Soon Siong, berkata, bahagian depan rumahnya sudah mendap. Malah bahagian lain di rumah berkenaan, termasuk lantai anjung, tembok dapur dan tiga bilik di tingkat atas mengalami keretakan.

Soon Siong berkata, dia mendiami rumah berkenaan pada pertengahan 2004 selepas membuat pengubahsuaian, dan kini rumahnya mengalami mengalami beberapa kesan keretakan.

“Kesan retakan di tembok dapur paling panjang. Rumah ini ibarat bukan lagi sebuah rumah kerana tidak selamat untuk didiami, namun saya tiada pilihan lain,” katanya yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Menurutnya, beberapa lagi rumah lain di kawasan itu turut mengalami masalah sama.

“Saya difahamkan beberapa lagi rumah penduduk di sini turut mengalami masalah keretakan,” katanya.

Katanya, aduan sudah dibuat kepada pemaju dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Selain Soon Siong, seorang lagi penduduk, Liew Chin Fong, 72, meluahkan rasa gusar terhadap masalah keretakan dan kebocoran siling yang berlaku di rumahnya.

“Dinding rumah retak dan siling pula bocor, apabila banjir berlaku di kawasan tersebut baru-baru ini, masalah keretakan bertambah ketara mungkin disebabkan tanah mendap,” katanya yang sudah lima tahun mendiami rumah terbabit.

Menurutnya, wakil pemaju perumahan ada datang ke rumahnya, namun Chin Fong berasa kesal kerana tiada tindakan diambil pihak terbabit.

“Saya berharap pihak pemaju perumahan dan MBMB dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah yang dialami beberapa penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan Perhubungan Negeri Melaka Parti Keadilan Rakyat (PKR), Freddie S.H. Lim berkata, beliau berasa kesal dengan kelewatan MBMB dalam menangani masalah penduduk di kawasan terbabit.

“Saya berasa kesal dengan MBMB khususnya Datuk Bandar Melaka Bersejarah, Yusof Jantan serta Kementerian Perumahan yang tidak mengambil tindakan segera terhadap masalah tersebut,” katanya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Melaka, Hairiz Nordin dan Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri Melaka PKR, Md Yusof Abddulah turut hadir melawat kawasan berkenaan.

Sementara itu, Md Yusof berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat setiap projek perumahan di atas tanah yang ditambak kerana dikhuatiri ada unsur-unsur yang tidak sihat sewaktu projek pembinaan dijalankan.

“Saya difahamkan banyak projek pembangunan di atas tanah tambak yang tanahnya masih belum cukup sesuai telah dibangunkan perumahan atau bangunan. Hal ini akan mendatangkan masalah pada satu masa kelak. Tanah yang ditambak memerlukan satu jangka masa yang sesuai, barulah kawasan itu boleh dimajukan,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

29 July 2009

Penutupan simpang sejak Februari jejas periuk nasi peniaga, sukarkan penduduk

MALIM JAYA – Beberapa penduduk dan peniaga Jalan Murni 2, Taman Malim Jaya meminta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) membuka semula simpang masuk ke Jalan Murni 7 dengan segera.

Seorang peniaga, K S Ng, 50, mendakwa, sejak jalan masuk itu ditutup, beberapa peniaga yang beroperasi di Jalan Murni 2 mengalami kerugian setiap hari.

“Perniagaan kami merosot sebanyak 30 hingga 50 peratus disebabkan jalan masuk tersebut ditutup pada Februari lalu. Di samping itu, kemalangan juga kerap berlaku di simpang tersebut kerana susur keluar yang agak sempit dan juga kecuaian pengguna kurang arif melalui jalan ini,” katanya yang sudah 10 tahun menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, lebih kurang 6,000 penduduk menggunakan jalan masuk tersebut setiap hari dan setelah ia di tutup, penduduk terpaksa melalui jalan yang agak jauh untuk keluar masuk.

“Setiap Jumaat, jalan tersebut akan bertambah sesak kerana adanya pasar malam. Kami mencadangkan kepada pihak terbabit supaya memasang lampu isyarat di simpang keluar masuk ke Jalan Murni 7,” katanya.

Difahamkan, peniaga di Jalan Murni 2 sudah menghantar dua surat kepada Datuk Bandar MBMB, Yusof Jantan, namun masih tiada sebarang tindakan diambil.

Penduduk dan peniaga di kawasan terbabit juga bercadang berjumpa Datuk Bandar dalam masa terdekat ini bagi membincangkan masalah dialami mereka.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bachang, Lim Jak Wong yang turun padang meninjau masalah berkenaan berkata, beliau akan cuba membawa masalah itu ke Mesyuarat Dewan Negeri.

“Saya akan cuba membawa masalah ini ke Mesyuarat Dewan Negeri. Pelbagai soalan timbul, antaranya siapa yang mencadangkan serta meluluskan penutupan simpang masuk ke Jalan Murni 7?

“Selain itu, saya turut mencadangkan tanda amaran kurangkan had laju dipasang di simpang tersebut. Garisan kuning di jalan utama juga perlu ditebalkan bagi mengurangkan kelajuan kenderaan,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

26 July 2009

Dakwaan Palsu Samy Vellu, Kata Subramaniam

SUNGAI PETANI - Bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S.Subramaniam menafikan bahawa beliau menawarkan untuk menarik balik injunksi terhadap Maika Holdings Bhd dengan syarat Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu bersikap berkecuali dalam pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden parti September ini.

"Dakwaan palsu ini merupakan contoh apa yang tidak betul dengan politik dalam MIC dan saya menjangkakan perkara ini dan banyak lagi daripada Presiden yang secara bersendirian berazam untuk menghalang sebuah pemilihan yang terbuka dan demokratik seperti yang dihasratkan oleh anggota pengasas MIC," katanya Sabtu.

Subramaniam memberitahu Bernama di sini, injunksi itu diperoleh oleh NESA, iaitu pemegang kepentingan dalam Maika, bagi mengelak kerugian Oriental Capital Assurance Berhad (OCAB).

"OCAB adalah satu-satunya syarikat insurans yang dimiliki oleh kaum India di Malaysia, jika bukan kerana injunksi itu, OCAB mungkin telah pun dijual kepada entiti bukan India tanpa terlebih dahulu dibuat penilaian tentang nilainya yang sebenar," katanya.

Beliau berkata Samy Vellu dan Maika mesti memperjelaskan kepada 60,000 pemegang saham berhubung sebab pengarah Maika begitu bertegas untuk menjual OCAB tanpa mendapatkan penilaian sewajarnya tentang nilainya yang sebenar.

Samy Vellu dipetik oleh sebuah akhbar tempatan sebagai berkata Subramaniam telah menawarkan untuk menarik balik injunksi terhadap Maika Holdings asalkan Samy bersikap berkecuali dalam pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden pada September ini.

Subramaniam berkata Pengarah Maika ketika itu tidak akan menafikan bahawa NESA telah menulis surat kepada mereka sebelum mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 31 Ogos 2007 yang menyatakan bahawa sungguhpun NESA tidak membantah penjualan itu, tetapi NESA mahu supaya pemegang saham Maika dimaklumkan mengenai nilai sebenar OCAB sebelum mendapat keizinan pemegang saham dalam AGM yang sama.

"Maika mencuba sedaya upaya untuk meyakinkan mahkamah bahawa permohonan NESA untuk injunksi itu adalah mainan politik oleh saya demi kepentingan diri. Tidak memeranjatkan, dakwaan seperti itu tidak mendapat perhatian mahkamah dan menyebabkan mahkamah membenarkan injunksi yang memihak kepada NESA.

"Jika Samy benar-benar prihatin, beliau sepatutnya bermula dengan memberi penjelasan kepada pemegang saham Maika kenapa Maika tidak mengadakan AGM sejak dua tahun lepas. AGM merupakan mesyuarat yang sangat penting bagi pemegang saham.

"Pemegang saham Maika mengharapkan untuk diberitahu mengenai cara Maika dikendalikan. Ketika AGM Maika berlangsunglah pemegang saham dapat bertanya kepada pengarah soalan berhubung hal ehwal Maika," katanya. . -- BERNAMA

Sumber : Sinar harian

17 July 2009

214 pekerja diberhenti, 36 tidak puas hati

AYER KEROH – “Adalah tidak adil untuk saya yang bersama syarikat ini dari awal, diberhentikan sedangkan mereka yang baru bekerja tidak diberhentikan.”

Demikian keluh Mazlina Ahmad, 40, yang mewakili sekumpulan 36 pekerja Cubic Electronics Sdn Bhd yang diberhentikan syarikat berkenaan menerusi surat bertarikh 15 Julai.

Menurut bekas Penyelia Kanan QA itu, dia berasa kecewa kerana setelah berkhidmat selama 15 tahun bersama syarikat, dia seharusnya menjadi antara orang terakhir yang harus diberhentikan.

“Syarikat nyata tidak mengamalkan prinsip ‘last in first out.’ Saya yang sudah berkhidmat 15 tahun diberhentikan sedangkan ada pekerja yang baru berkhidmat lima tahun lalu tidak diberhentikan,” katanya ketika ditemui selepas satu sesi dialog dengan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Md Yunos Husin di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia, Datuk Yaakub Md Amin; Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerja Raya dan Kemudahan Awam, Datuk Gan Tian Loo; Pengurus Besar Invest Melaka, Ramli Mohd Ali dan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka, S Tharumarajan.

Menurut Mazlina, walaupun beliau dan rakan-rakan menyedari kepayahan yang dialami syarikat akibat kegawatan ekonomi global, tetapi yang diminta cuma hak mereka.

Menurutnya, dia dan rakan-rakan berasa terkilan kerana pampasan yang dibayar syarikat tidak sama dengan apa yang diterima rakan-rakan lain yang diberhentikan pada bulan Disember lalu.

Beliau mendakwa, semasa pemberhentian bulan Disember lalu, pekerja terbabit telah menerima pampasan gaji 20 hari didarabkan dengan jumlah tahun mereka berkhidmat.

“Bagaimanapun, kami hanya diberi pampasan gaji tiga bulan berserta notis dua bulan,” katanya.

Mengikut Akta Pekerjaan 1955, mereka yang berkhidmat di bawah dua tahun akan dibayar gaji 10 hari didarabkan dengan jumlah tahun berkhidmat, antara dua dan lima tahun gaji 15 hari didarabkan dengan tahun berkhidmat dan lima tahun ke atas gaji 20 hari didarabkan dengan tahun berkhidmat.

Bagaimanapun, ketika mempengerusikan dialog dengan pekerja terbabit, Md Yunos berkata, cuma mereka yang berpendapatan di bawah RM1,500 akan dibayar pampasan mengikut tempoh perkhidmatan mereka.

Menurutnya, mereka yang berpangkat eksekutif, atau berpendapatan RM1,500 ke atas, tidak terikat pada syarat-syarat yang sedemikian.

“Pemberhentian 214 pekerja Cubic Electronic dan pembayaran pampasan yang dilakukan adalah mengikut undang-undang buruh sedia ada. Dalam erti kata lain, semua keperluan undang-undang telah dipatuhi.

“Bagaimanapun, kerajaan telah meminta Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Pengurus Besar Invest Melaka mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan syarikat bagi mengkaji faedah-faedah lain yang boleh diberi kepada pekerja terbabit,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

13 July 2009

Komen negatif Najib: Pengacara ntv7 kena tukar

Semuanya berpunca daripada kenyataan salah seorang tetamu jemputan dalam programnya - Point of View - di ntv7 yang memberi pemeringkatan 'C' atau 'D' terhadap prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi 100 hari pentadbirannya.

Ekoran itu, pengacaranya, Florence Looi menerima surat amaran dan terus ditukar ke meja berita stesen swasta tersebut.

Looi didakwa telah melanggar dasar redaksi pengarangnya, kata sumber-sumber ntv7.

Dua tetamu jemputan program tersebut - yang dipancarkan pada 5 Julai lalu - ialah penulis Syed Akhbar Ali dan editor perunding, Leslie Lau dari Malaysian Insider. Lau yang memberi pemeringkatan 'C' atau 'D' bagi pentadbiran Najib.

Sumber-sumber itu berkata, Looi selepas itu diberitahu secara lisan bahawa dia tidak seharusnya meminta mereka memberi pemeringkatan terhadap prestasi Najib,

Oleh kerana Looi merupakan pengacara yang juga penerbit program tersebut, maka hanya dia seorang sahaja yang diberi surat amaran tersebut.

Looi, yang merupakan editor tugasan, kemudiannya telah ditugaskan untuk membuat liputan berita, atas alasan kekurangan petugas di meja berita.

Insiden tersebut mungkin 'menguburkan' program 'Point of View', yang baru tamat musim keduanya. Sehingga ini, belum ada pengumuman sama ada program itu akan dilanjutkan ke musim ketiganya.

Bagaimanapun, sumber-sumber itu percaya, sekiranya program itu diteruskan, ia akan dikendalikan oleh pengaracara baru.

Ketika dihubungi, Looi enggan mengulas mengenainya dan usaha untuk menghubungi pihak pengurusannya juga belum berhasil.

Ntv7 adalah salah sebuah daripada empat stesen TV swasta milik syarikat gergasi media - Media Prima Bhd - yang ada kaitan dengan Umno. Tiga lagi stesen miliknya ialah TV3, 8TV dan tv9.

Begitu juga dengan berita mengenai banglo mewah milik bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo di Shah Alam di mana ianya hanya sempat disiarkan dalam berita Mandarin jam 5.30 petang di ntv7.

Selepas itu, berita itu tidak lagi disiarkan oleh buletin berita di stesen lain milik Media Prima.

'Hanya satu pandangan'

Sementara itu, pengarah eksekutif Pusat Kewartawan Bebas, V Gayathry membidas ntv7 kerana mengamalkan saringan kendiri.

“Komen oleh tetamu jemputan mengenai pretasi (Najib) bukanlah sesuatu yang kritikal, tetapi hanya satu pandangan,” katanya.

Menurutnya, Looi dihukum kerana bertanyakan satu soalan penting ketika semua orang lain membuat penilaian tentang prestasi Najib.

“Program tersebut telah memberi ruang yang baik untuk perbincangan (dan Looi menjalankan tugasnya dengan baik),” tegasnya.

Menurut Gayathry lagi, ketika Najib dilantik perdana menteri, Media Prima telah mengeluarkan arahan kepada empat stesen TV miliknya itu supaya tidak menyebut nama penganalisis politik - Abdul Razak Baginda - ketika melaporkan perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Razak merupakan teman karib Najib.

"Kita ingin bertanya sama ada menjadi dasar Najib di mana mereka yang ditempatkan di stesen TV, mengamalkan saringan kendiri,” tambah Gayathri.

Program 'Point of View' disiarkan jam 6 petang hari Ahad. Tetamu jemputannya membincangkan tajuk-tajuk panas seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dasar penukaran bahasa, pendidikan bahasa ibunda, tanggungjawab pihak polis dan yang terbaru, skandal PKFZ.

Sejak Najib mengambil alih kuasa, pegawan tinggi media yang ada kaitan dengan mantan perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah diganti.

Mereka yang berkhidmat sewaktu pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad telah dilantik semula menerajui media, sehingga mencetuskan persepsi akan mewujudkan suasana media yang lebih banyak sekatan.

Bekas pengarang kumpulan New Straits Times, Datuk Ahmad Talib kini dilantik sebagai pengarah eksekutif berita dan operasi jabatan pengarang di Media Prima, serta sebagai pengarah ksekutif (jabatan pengarang) di New Straits Times Press.

Bekas pengarang kumpulan Berita Harian, Datuk Manja Ismail dilantik sebagai pengarang kumpulan NTV7, 8TV, TV9 dan rangkaian radio, bagi membantu Ahmad.

Sumber : Malaysiakini

10 July 2009

Kontroversi tanah kubur ‘tergadai’

GHAZALE (dua dari kanan) meninjau Tanah Perkuburan Datuk Rambun di Kampung Limbongan, Melaka yang kini dituntut oleh seorang pembeli semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

MELAKA – Nasib kira-kira 200 kubur di Tanah Perkuburan Datuk Rambun, Limbongan di sini kini dalam keadaan tidak menentu apabila kawasan tanah wakaf tersebut dilaporkan ‘dijual’ kepada individu tertentu.

Kontroversi bermula apabila individu tersebut mendakwa membeli tanah itu tanpa mengetahui ia adalah sebuah tanah perkuburan.

Berikutan itu, pemilik tanah berkenaan kini menuntut supaya semua kubur di situ dipindahkan dan pihak jawatankuasa penduduk Kampung Limbongan pula sukar mempertahankan tanah berkenaan kerana ia diwakafkan tanpa dokumen yang sah.

Sidang Kampung Limbongan, Mohamad Abdullah (gambar), 60, ketika ditemui berkata, tanah perkuburan berusia lebih 100 tahun dengan keluasan 557 meter persegi itu adalah sebahagian daripada tanah beralamat Lot 469.

Menurutnya, dia diberitahu, tanah itu dibeli oleh seorang individu menerusi satu lelongan bank pada tahun 2002 setelah pemilik asal gagal menjelaskan pinjaman bank.

Sumber : Kosmo

26 June 2009

Kilang baik pulih jentera berat ganggu penduduk

KELEBANG - Seorang penduduk di Taman Klebang Kechil memohon pihak berkenaan memantau kerja-kerja membaik pulih jentera berat berhampiran rumahnya di sini.

Haroun Kidam, 63, berkata, masalah itu berlanjutan sejak 30 tahun lalu dan pernah disiarkan di sebuah akhbar tempatan tetapi masih tiada sebarang tindakan diambil pihak berkaitan.

“Bayangkan apabila jentera berat seperti jentolak dan treler memasuki kawasan sempit di celah-celah rumah di sini.

“Ia bukan sahaja membahayakan nyawa penduduk malahan menyebabkan jalan raya di sini berlubang dan rosak kerana berat kenderaan itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Menurutnya, sudah beberapa kali pagarnya dilanggar berikutan saiz kenderaan itu yang besar.

“Mereka membina jalan kecil bagi memudahkan kenderaan itu keluar masuk tetapi ia mendatangkan masalah kepada saya lebih-lebih lagi rumah saya terletak di bahagian tepi sekali.

“Saya tidak mahu kelak jentera berat itu melanggar rumah saya pula selepas ini kerana saya juga yang terpaksa menanggung kerugian dan masalah,” katanya.

Haroun juga meminta jasa baik pihak yang berkenaan berjumpa pemilik jentera itu supaya memindahkan lokasi membaik pulih kenderaan tersebut ke kawasan yang lebih sesuai.

“Jika tinjauan dibuat, saya pasti kawasan ini bukan kawasan yang strategik untuk dijadikan tempat membaik pulih jentera berat.

“Pelbagai masalah kami hadapi termasuklah bunyi bising dan ini benar-benar mengganggu konsentrasi saya,” katanya.

Sehubungan itu, Haroun berharap pihak yang berkenaan dapat mengatasi masalah ini secepat mungkin.

“Keselesaan rakyat perlu dijaga dan saya inginkan tindakan segera diambil bagi memastikan kehidupan saya tidak terancam,” katanya lagi.

Sumber : Sinar Harian

27 May 2009

Aksi Sepanjang Kejohanan AMK Melaka 2009

















Juara: AMK Tangga Batu Junior

Naib Juara: AMK Jasin

Ke-3: AMK Alor Gajah


Baru-baru ini AMK Negeri Melaka telah menganjurkan Kejohanan Futsal Antara Bahagian,dimana Saudara Shamsul Iskandar (Ketua AMK Malayasia) merangkap Ketua Bahagian Jasin elah merasmikan Kejohanan tersebut.Dengan semangat setiakawan antara kaum dan perhubungan yg erat kejohanan telah berlangsung dengan jayanyer.Diharap pada tahun hadapan akan mendapat sambutan yg lebih hangat lg....

21 April 2009

Dua minggu lagi Suhakam bakal turun taraf jika tidak memenuhi syarat Dasar Paris : Abu Talib

Oleh Anna Yusof

KUALA LUMPUR, 21 April (SK) : Jawatankuasa Penyelaras Antarabangsa Institusi bagi Mempromosikan dan Melindungi Hak Asasi Manusia (ICC) mahu kebebasan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) diperkukuhkan dengan menggariskan secara telus dan jelas berhubung proses perlantikan dan pemecatan dalam akta Suruhanjaya berkenaan.

Pengerusi Suhakam Abu Talib Othman berkata kerajaan hanya ada kurang dua minggu untuk memastikan Suruhanjaya itu memenuhi syarat Dasar Paris untuk mengelak dari diturun taraf.

Beliau juga merasa tidak berpuas hati dengan penambahbaikan Kerajaan terhadap Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) setakat ini kerana, jika penurunan taraf dikenakan terhadap Suhakam, maka ia akan dilucutkan keahlian pada Forum Asia-Pasifik dan kedudukannya jatuh ketahap ahli biasa tanpa hak mengundi bererti negara kita sama kedudukan dengan negara-negara ketiga lain.

Susulan dari surat tunjuk sebab yang di terima Suhakam daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengikut Dasar Paris pada bulan Jun tahun lalu jika tidak memenuhi syarat Hak Asasi Manusia diterimapakai mengikut Dasar Paris akan menurunkan dari taraf A ke taraf lebih rendah

Tahun lalu Suhakam telah menerima surat tunjuk sebab dari PBB supaya memenuhi syarat yang ditetapkan Dasar Paris dengan lebih peka dan teliti dalam menangani kes hak asasi manusia mengikut syarat yang ditetapkan.

Jawatankuasa kecil Akriditasi (ACC) yang dianggotai Jerman, Kanada, Maghribi dan Korea Selatan berpendapat bahawa pindaan Akta Suhakam 2009 yang diluluskan Dewan Rakyat sehari sebelum semakan Suhakam dibuat di Geneva pada 26 Mac lalu tidak memadai.

“Suhakam diperingatkan dengan susulan surat daripada ICC minggu lalu manyatakan badan itu hanya mempunyai 28 hari untuk mencabar pandangan jawatkuasa kecil terebut,” kata beliau.

Menurut Abu Talib, Akta Suhakam kini sedang menunggu perkenan Yang di Pertuan Agong Tuanku Mizan sebelum dapat diwartakan.

“Saya akan menulis surat rasmi kepada Perdana Menteri untuk memaklumkan perkara ini bagi mendapatkan pandangan beliau,” jelas Abu Talib lagi.

Dasar Paris menetapkan gabungan panduan yang diterimapakai PBB pada 1993 berhubung status dan operasi Institusi Hak Asasi Manusia Kebagsaan (HNRI) negara tertentu.

Sumber : Suara Keadilan

09 April 2009

KOMEN YB KULIM BANDAR BARU RE:KES ALTANTUYA:HUKUM GANTUNG

Subject: KES ALTANTUYA: HUKUM GANTUNG

Salam 2 all. Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Dato Md Zaki Yasin pagi ini Khamis 13 Rabi’ul Akhir 1430 bersamaan 9 April 2009 menyabitkan kesalahan membunuh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan keatas Cif Inspektor Azilah Hadri (32) dan Koperal Sirul Azhar Umar (36), dua anngota Unit Tindakan Khas atas dakwaan membunuh Altantuya Shaariibuu @ Aminah Shaariibuu (28 masa dibunuh).

YA Hakim menjatuhkan hukuman berikut:

“Kamu, Azilah bin Hadri & Sirul Azhar bin Umar adalah didapati bersalah membunuh dengan niat Altantuya Shaariibuu pada 19 Okt 2006 diantara jam 10mlm hingga jam 1 pagi 20 Okt 2006 di Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja, yang oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan membunuh dengan niat dibawah seksyen 302 Kanun Kesiksaan. Kamu adalah dengan ini dijatuhkan hukuman gantung sampai mati iaitu daripada Mahkamah ini kamu akan dibawa kesuatu tempat yang akan ditetapkan dimana kamu akan digantung di tali gantung sehinggalah kamu disahkan mati oleh pihak yang berwajib pada masa dan tarikh yang ditetapkan. Moga ALLAH mengampunkan kamu berdua”. Kes ini telah mencipta beberapa rekod termasuk hari perbicaraan yang paling panjang (159 hari) dengan 84 orang saksi Pendakwaraya. Azilah telah ditahan reman di Penjara Sg Buloh selama 891 manakala Sirul Azhar 895 hari.

Maka berakhirlah satu episod yang sangat menarik perhatian seluruh negara. Mereka berdua akan bertemu dengan Almarhum Altantuya tidak lama lagi.

Walau bagaimanapun. Mereka berdua masih ada peluang untuk membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan. Sekiranya gagal mereka boleh merayu ke Mahkamah Persekutuan sebagai Mahkamah terakhir. Selepas itu mereka boleh membuat permohonan pengampunan kepada Sultan Selangor (kerana kes berlaku di Puncak Alam, Shah Alam, Selangor).

Setelah semua proses itu selesai, barulah hukuman gantung itu akan dijalankan.
Di Malaysia, banduan hukuman gantung dipanggil banduan akhir. Mereka akan di tempatkan di bilik akhir dan tidak perlu pakai uniform penjara. Mereka juga tidak diberikan sebarang kerja. Mereka hanya akan duduk melepak menunggu hukuman dilaksanakan.

Sementara menunggu itu, mereka boleh dilawati oleh ahli keluarga pada bila-bila masa waktu pejabat.

Mereka juga boleh meminta untuk mendapatkan khidmat kaunselling dan bagi yang beragama Islam boleh mendapatkan khidmat melalui ustadz-ustadz. Apabila tiba hari yang ditetapkan untuk digantung, mereka akan dimaklumkan sehari sebelumnya. Ahli keluarga akan dibenarkan melawat buat kali terakhir.

Kemudian mereka akan dibawa ke bilik akhir, iaitu bilik sebelah tempat penggantungan. Disitu mereka dibenarkan membuat permintaan terakhir. Nak makan steak ke, ayam golek ke, tomyam ke apa saje akan ditunaikan. Tapi kebiasaannya tiada banduan yang nak makan pun.

Tiba masanya untuk digantung, (yang kebiasaannya di Malaysia dilaksanakan pada waktu sebelum subuh), banduan tersebut akan diiring ke tempat penggantungan. Pada masa inilah kita akan tengok macam-macam perangai. Ada yang terberak terkencing, ada yang lemah longlai langsung tak larat nak berjalan, ada yang menjerit tak mau mati dan macam-macam lagi.

Sampai ke platform penggantungan, mereka akan ditutp muka dengan satu hood. Kemudian tali gantung diikat kemas dileher mereka. Apabila Pengarah Penjara memberikan isyarat, maka lever akan ditarik dan tubuh banduan akan terjatuh kebawah dan disentak oleh taligantung tersebut.

Biasanya tubuh tersebut akan terkial-kial beberapa saat sebelum terkujur kaku. Sebaik sahaja kaku. Tubuh akan diturunkan dan diperiksa oleh Doktor. Setelah disahkan mati, maka mayat banduan akan segera di bungkus dan diselenggarakan. Kemudian mayat akan dibawa oleh pihak penjara ke lokasi pengebumian. Kalau ahli keluarga telah tetapkan tempat, maka banduan akan dikuburkan ditempat yang ditetapkan.

Moga ALLAH memberikan rahmat & keampunan kepada kita semua..ameen..

Zulkifli bin Noordin
Ahli Parlimen
Kulim Bandar Bharu

05 April 2009

Bukit Gantang@umno-nizar: Umno bikin malu Melayu Islam Saja...

Ahad, 2009 April 05
Oleh Isa


Gatal kepala aku walaupun tak gatal dan geli hati pun ada juga dengan sikap jahiliyah puaka rasuah ni, orang bukan Islam sebut dan ucapkan “Perkataan Arab” pun nak buat laporan polis, bodohnya…

Kenapa aku gunakan “Perkataan Arab”, sedangkan dalam laporan Osman Abu Bakar (BBPM) mendakwa Nga Kor Ming mempersendakan Islam dengan menyebut ayat al-Quran daripada Surah Al-A' raf untuk tujuan kempen dan menyebutkan secara tidak betul.

Sengaja jer aku gunakan “Perkataan Arab” daripada mengunakan sebutan “Ayat Al-Quran” supaya puak-puak ni boleh buat laporan polis lagi atas sebab mempersendakan Al-Quran. Dan aku mohon dan merayu sesangat dengan puak-puak ni supaya boleh buat banyak lagi laporan polis terhadap sesiapa saja yang mempergunakan Al-Quran dan salah sebutan ayat Al-Quran supaya disiasat.

Apakah mereka ingat Al-Quran tu hak milik mutlak orang Islam sajakah, atau hak mutlak orang melayu saja. Apa punya bingai la puak-puak ni. Korang pergi bagi syarahan dan tazkirah kepada semua ahli parti rasuah korang tu termasuk pemimpin korang sekali perkara-perkara wajib dalam Islam termasuklah asas Rukun Islam dan Rukun Iman, kalau nak contoh tak payah yang berat-berat punya, cukup sekadar tuntutan untuk menjaga AURAT baik lelaki mahupun wanitanya, jadi tak payah la nak sibuk dengan perkara remeh temeh ni… buat orang gelak je.

Aku ada kawan bukan Islam yang menggunakan Quran sebagai bahan rujukan untuk tesisnya… perlukah aku buat laporan polis. Para saintis seluruh dunia dan puak yahudi pun menggunakan Quran untuk tujuan rujukan kajian mereka, dan ada juga yang dah hafal keseluruhan isi kandungan Quran tu, agak-agak En. Osman Abu Bakar sebagai orang melayu dah boleh ke menghafal Quran macam orang Yahudi tu…

Sumber : malaysiakini , perunding

Isa: Kalau dah takda modal nak berkempen, janganlah sampai Al-Quran pun nak dijadikan isu…. banyak lagi modal lain bro….

Black Operation@Bukit Gantang (bhg 3)

P59 BUKIT GANTANG

NAMA CALUN : ISMAIL SAFIAN
WAKIL CALUN: USTAZ JAMA'I
PENCADANG : EN.KAMALULAILL
PENYOKONG: CIKGU SEE
PEGAWAI KHAS: ROSLI RAFAE
BENDAHARI KHAS: MOHD SULAIMAN
SMS/INFO: KETUA PUTERI


BAJET PERINGKAT AWAL

Bajet Jentera Bahagian 60,000.00
Bajet Pemuda/Puteri/Wanita 70,000.00
Bajet Bilik Gerakan Cawangan 106 + Bilik Berakan Sampingan 140,000.00
Bajet Komponen 60,000.00
Bajet khas 'cash inhand' Calun 100,00.00 - 430,000.00
Database SMS/Digital Info 160,000.00
Comando team Risik/Info/Counter attack 50,000.00
Blogger Counter 30,000.00 - 240,000.00
Transport 4wd/Lori 50,000.00
PASystem & Canopy 60,000.00
Poster/TShirt,Badge/Belon/Billboard (Selain dari HQ/BPerhubungan) 100,000.00 - 210,000.00

JUMLAH 880,000.00

Permasalahan: Sehingga Tarikh 16 Mac 2009,INSYAALLAH PULIH

  1. Calun tidak ada modal
  2. Calun tidak tahu kedudukan Bajet sebenar.
  3. Bajet yang diberikan kpd Bahagian di simpan untuk kegunaan pengangkutan semasa pilihanraya.
  4. Bajet dari negeri nampaknya belum turun dan calun tidak tahu langsung jumlahnya.
  5. Jentera Bahagian tidak tunjuk komitmen dan sering bertelagah.
  6. Jelas jentera Bahagian sangat tidak berpengalaman.
  7. Bahagian bergantung kpd Calun untuk membuat semua keputusan.
  8. Calun tidak mendapat sokongan padu serta bantuan peribadi dari kalangan pimpinan Bahagian,masing-masing cuba cari kepentingan peribadi.
  9. Calun memerlukan Kepakaran Jentera khusus dari Badan Perhubungan Negeri atau HQ bagi membantu penyelarasan Bilik Gerakan Utama.
  10. Calun memerlukan maklum balas dari kumpulan komando bebas dalam mendapat info terkini untuk serangan balas.
  11. Calun sangat memerlukan sistem sms dalam menjejaki pengundi,info,bahan counter attack.
  12. Calun memerlukan jentera yang berpengalaman dalam menangkis serangan lawan selain ceramah-ceramah biasa.
  13. Kebanyakan Penyokong(pekerja) Calun tidak mendapat kerjasama Bahagian.
  14. Jentera Bahagian hanya dapat membantu dari segi ceramah/taklimat buat masa ini.
  15. Penyokong Cina amat 'keras' perlu bantuan pimpinan pusat i.e MCA,Gerakan
  16. Penyokong India boleh digembeling dengan 'bantuan' dan janji-janji
  17. Calun memerlukan jentera yang agak kuat dan ramai dalam memerangi parti lawan khusus kerjasama Badan Perhubungan Negeri.

24 March 2009

Biodata Calon P059 Bukit Gantang..


BIODATA CALON

YAB Dato’ Seri Ir. Haji Mohammad Nizar bin Jamaluddin
(Sworn in as Menteri Besar of Perak on 17 March 2008)

Biodata :
- Date of Birth : 17 March 1957
- Place of Birth : Kampung Air Hitam Labu, Kampar, Perak.
- Father’s Name : Jamaluddin bin Ngah Ismail
- Mother’s Name : Hamidah binti Haji Zainal Abidin

Education :
- Anglo-Chinese School (Primary), Kampar, Perak.
- Anglo-Chinese School (Secondary), Kampar, Perak.
- Sekolah Menengah Teknik, Persiaran Brash, Ipoh Perak.

University :
- Advance A-Level, Norwich City College Of Arts & Technology, Norwich, Norkfolk, England.
- BSc. Mechanical Engineering, University of Aston, Birmingham, England.

Professional Career :
- Senior Manager, Daya Urus Sdn Bhd
- Managing Director, Pen Urus Harta Sdn Bhd (Subsidiary of Penang Development Corporation)
- Managing Director, Bakat Gemilang Sdn Bhd
- Partner, MEC’s Engineer - Engineering Consultant

Politics :
- Committee Member of PAS Kampar Division (1991 - 2001)
- Head of PAS Kampar Division (2001 - present)
- Treasurer of Perak PAS (2001 - 2006)
- Secretary of Perak PAS ( 2006- 2008)
- Deputy State Commissioner of Perak PAS (2008)

Community Activity :
- Chairman of GPAP (Gabungan Pengguna Air Perak) - NGO
- Coordinator of BERSIH Perak
- Chairman of GASRA (Gabungan Solidariti Rakyat Perak) - NGO

Language Proficiency :
- Malay
- English
- Chinese (speaks Mandarin, Cantonese & Hokkien)
- Arabic

State Assembly :
- State Assemblyman for Pasir Panjang Constituency 2008

Award :
- Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) 2008 which carries the title of “DATO’ SERI” lagi...

Designed by - AMK TANGGA BATU