AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami
Showing posts with label Rasuah. Show all posts
Showing posts with label Rasuah. Show all posts

22 August 2009

Azmin Cabar Muhyiddin Dan Zahid Hamidi Berdebat

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Azmin Ali mencabar Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang Datok Zahid Hamidi untuk mengadakan debat terbuka.

Azmin dalam siri penerangan rakyat menawarkan diri untuk berdebat dengan kedua-dua pimpinan Umno-BN ini di Permatang Pasir dengan debat bertajuk Siapa Pengkhianat Melayu.

“Saya ada empat hari lagi, saya minta Muhyiddin dan Zahid jangan berselindung di sebalik Utusan Malaysia dan TV3, kalau kamu anak jantan, kalau kamu pejuang Melayu mari adakan debat terbuka di Permatang Pasir bertajuk Siapa Pengkhianat Melayu,” katanya.

Di hadapan hampir seribu hadirin di Kubang Semang, Azmin berkata jika dua pemimpin Umno itu enggan terima cabaran ini, rakyat diminta bangkit membawa prinsip perubahan dengan memberi sokongan kepada calon yang dikemukakan Pakatan Rakyat, Salleh Man Mat Aji.

Azmin dalam sesi penerangannya mengumumkan bahawa pengkhianat sebenar kepada orang Melayu adalah Umno-BN yang mengadaikan tanah milik orang Melayu di Johor.

Bagaimanapun Muhyiddin dikatakan bersikap defensif dengan menyalahkan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad di atas tindakan berkenaan.

Menurut Azmin, Muhyiddin dalam ceramahnya kepada rakyat di Permatang Pasir mengatakan Tun

Mahathir mengarahkan beliau berbuat demikian setelah diugut Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yu untuk melancarkan perang sekiranya tuntutan beliau ditolak.

Azmin berkata, pihaknya sedang bersiap sedia mengumpulkan segala dokumen bagi membongkarkan siapa sebenarnya pengkhianat Melayu.

“Bagaimana pemimpin Umno boleh buat keputusan gadai tanah Melayu kepada Singapura semata-mata kerana Lee Kuan Yu. Di mana maruah kita sebagai Melayu di mana kedaulatan kita sebagai rakyat Malaysia. Le Kuan Yu ugut tak bagi air aku isytihar perang, menggegar kepala lutut,” katanya.

“Saya beri amaran kepada Muhyiddin nak perang cakap nak perang kita akan londehkan siapa Muhyiddin sebenarnya dalam Umno,” katanya.

Dalam pada itu juga, Azmin mencabar polis untuk menyiasat pertemuan tertutup Menteri Pertahanan Datuk Zahid Hamidi bersama menteri Pertahanan Israel.

Beliau meminta Zahid memberikan jawapan apakah hak beliau untuk mengadakan pertemuan dengan penjajah bumi Palestin itu dan apakah agenda yang dibincangkan mereka.

“Orang ini kini menjadi Ketua Perhubungan Umno Pulau Pinang. Bagi saya ketua pengkhianat kepada umat Islam. Ketua pengkhianat kepada orang Melayu adalah yang bersekongkol dengan kerajaan Yahudi Israel,” katanya.

Azmin dalam ucapan beliau juga menyentuh serangan terancang Umno-BN terhadap kerajaan Pakatan Rakyat. Menurutnya, BN melampaui batas apabila rakyat biasa bukan sahaja mati dalam tahanan polis malahan kini mati dalam tahanan SPRM.

“Sudah melampau, sekarang mereka menggunakan SPRM untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan. Kalau dulu SPRM digunakan untuk perangi rasuah kini SPRM digunakan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat,” katanya.

Sumber : tvantara

Kes Teoh: Surat misteri Khir-SPRM dibawa ke balai

Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam hari ini membuat laporan di balai polis Brickfields berkaitan surat misteri yang muncul Rabu lalu di inkues kematian Teoh Beng Huat.

Manikavasagam berkata, beliau juga menerima salinan surat tersebut, yang mendakwa wujud perbuatan rasuah antara seorang pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

“Kandungan surat tersebut menyatakan terdapat unsur-unsur penyelewengan salahlaku dan kegiatan rasuah oleh pegawai atasan SPRM Selangor,” dakwanya dalam laporan polis berkenaan.

“Saya percaya surat ini ditulis oleh orang dalam SPRM kerana dia kelihatan mengetahui secara terperinci mengenai apa yang berlaku,” katanya kepada wartawan selepas membuat laporan berkenaan pagi ini.

Dakwaan dalam surat berkenaan antara lain mengaitkan seorang pegawai kanan SPRM terlibat dalam usaha memulakan siasatan ke atas pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat Selangor.

Surat yang ditulis dalam bahasa Malaysia itu juga menyebut, pegawai SPRM itu telah menyoal-siasat Teoh pada hari kematian pembantu politik berkenaan.

Manikavasagam juga berkata laporan polis hari ini dibuat atas kesedarannya sendiri tanpa menerima arahan daripada pemimpin-pemimpin PKR.

Surat tersebut dialamatkan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; dan salinanya dihantar kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Manikavasagam, setiausaha perhubungan PAS Selangor dan beberapa pihak lagi, termasuk akhbar Suara Keadilan dan Sinar Harian.

Dihubungi media

Apabila ditanya, beliau berkata tiada apa-apa perbincangan dibuat dengan mana-mana pihak yang dikatakan menerima surat berkenaan.

“Saya tidak bercakap dengan sesiapa mengenai surat ini. Saya tidak sebarkan surat ini, dan saya tidak tahu bagaimana surat ini sampai ke tangan media,” katanya lagi.

Beliau telah mengedarkan salinan surat bertarikh 5 Ogos itu kepada media hari ini.

Jelasnya lagi, beliau menerima surat sepanjang lima halaman itu pada 14 Ogos lalu di pusat perkhidmatannya di Kapar, Selangor.

Jelasnya, sebaik menerima surat berkenaan, beliau hanya membaca beberapa bahagian kandungannya tetapi mengenepikannya kerana khuatir ianya mungkin surat layang seperti yang pernah diterima olehnya sebelum ini berkaitan siasatan ke atas kematian VP Sujatha.

Manikavasagam juga berkata, pada awalnya beliau tidak membaca surat berkenaan sepenuhnya kerana ia dialamatkan kepada Khalid.

“Saya tidak baca kerana ia dialamatkan kepada menteri besar. Saya cuma baca sebahagian, kemudian saya simpan,” katanya.

Beliau bagaimanapun meneliti kembali kandungan surat berkenaan semalam apabila ditanya oleh beberapa orang wartawan, sama ada beliau menerima surat tersebut.

Jelasnya lagi, Malaysiakini, Malay Mail dan The Star telah menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan mengenai surat misteri itu.

“Tapi setelah saya baca kandungan surat ini (sepenuhnya, semalam), saya rasa perlu buat laporan polis kerana dakwaan ini serius,” katanya lagi.
Sumber : Malaysiakini

20 August 2009

Sikap SPRM Dan Polis Jadikan Malaysia seperti Afrika

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan pemerintah menggunakan agensi kerajaan menutup gejala rasuah di kalangan pemimpin Umno-BN menyebabkan Malaysia tidak ubah seperti negara dunia keempat benua Afrika.

Beliau mepersoalkan tindakan SPRM dan polis yang terang-terangan menutup sebelah mata terhadap jenayah rasuah yang dilakukan pimpinan kerajaan adalah amat menghampakan.

Menurutnya lagi, pelbagai kes yang dilakukan Umno-BN antaranya komisen RM400juta pembelian kapal selam Scorpene dan isu istana kraton jutaan ringgit milik mantan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Khir Toyo langsung tidak disiasat.

“Apa yang penting dan perlu diingat mengapa Malaysia di tahun 2009 jadi macam Afrika hulu? Mahu tangkap suka-suka, mahu tendang suka-suka, mereka ingat negeri ini negeri bapa mereka, ini negeri kita bukan negeri bapa mereka.

“Apa ini? Ia menjadi bahan ketawa polis berperangai seperti ini, SPRM seperti ini, ia jadi bahan ketawa. Berbilion ringgit dicuri tapi semuanya ditutup dan tidak perlu disiasat,” katanya pada Majlis Penerangan Rakyat di Permatang Pasir semalam.

Anwar berkata rahsia kepada pembentukan sebuah negara bersatu, harmoni dan berwibawa adalah urustadbir yang baik, mesra rakyat dan dipercayai mampu berubah dan bekerja dengan lebih baik.

Umno-BN sebalik berubah ganas dan menggunakan kekerasan bagi menghadapi kritikan. Menurut pemimpin reformasi itu lagi, Umno-BN menggelarnya pengkhianat Melayu kerana ia ketandusan alasan untuk mengalih perhatian rakyat dari kematian Setiausaha Politik Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock.

“Saya berjuang untuk Melayu, Cina, India dan seluruh rakyat Malaysia. Cara Umno sangat kotor buat poster saya anti Melayu supaya saya jadi seorang Melayu sebenar. Saya tidak perlu buktikan kepada Umno biar orang Melayu yang tentukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini jauh lebih baik berbanding kerajaan terdahulu kerana berjaya membantu golongan miskin tegar di Kepala Batas yang dahulunya merupakan kawasan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Anwar berkata kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dapat dijayakan sebagai kerajaan rakyat hanya sekiranya pengundi memilih wakil-wakil rakyat yang berwibawa, berani untuk tampil ke hadapan dan berhujah, serta yang terutama sekali berintegriti tinggi.

Sumber : tvantara

Laporan SPRM Berhubung Kes Gadai Tanah Oleh Tan Sri Muhyiddin

Angkatan Muda Keadilan menggesa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin menjelaskan isu penggadaian tanah seluas 51,170 hektar kepada Singapura pada tahun 1980 ketika beliau menjadi Menteri Besar Johor dahulu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin, mendakwa pengkhianat sebenar adalah Muhyiddin sendiri kerana telah menyalahgunakan harta kerajaan untuk kepentingan parti.

“Terdapat bagaimana Muhyiddin ketika menjadi Menteri Besar Johor telah menggadaikan 51,170 hektar tanah kepada kerajaan Singapura dengan pulangan wang sebanyak RM350 juta ringgit. Perkara ini telah didedahkan oleh bekas setiausaha UMNO, saudara Osman dan perkara ini telah disebut dan diumumkan dalam ceramah Ibrahim Ali bahkan perkara ini menjadi rahsia dan tidak diketahui oleh rakyat Johor ketika itu,” kata Shamsul.

Pendedahan Datuk Ibrahim Ali dalam satu ceramah di Kuala Nerus, Terengganu sekitar pada tahun 2006 itu telah menjadi tanda tanya kepada semua rakyat Malaysia ekoran penyalahgunaan kuasa tersebut sekali gus membayangkan kepada rakyat bahawa pengkhianat sebenar ialah Muhyiddin dan pimpinan UMNO Barisan Nasional.

Shamsul berkata pengakuan ini secara terang-terangan telah membuktikan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan dan ekoran itu AMK menggesa SPRM menyiasat kes tersebut dengan segera.

“Hal ini dilakukan bagi menjawap persoalan-persoalan yang dilaporkan bahawa beliau tidak amanah dan melakukan tindakan-tindakan menggugat negara ini, menyeleweng dan menyalahgunakan wang rakyat. Kali ini kita bukakan bukti-bukti dan kita membuat laporan secara rasmi untuk tujuan itu,” kata Shamsul.

Sumber : tvantara

19 August 2009

Seorang Jaguh Kampung Bernama Khairy...

Khairy Jamaluddin adalah jaguh kampung, tidak lebih daripada itu. "Kampung Khairy" terletak di mana sahaja, asalkan beliau dapat berucap secara berapi-api, biarpun tanpa hujah bernas atau benar. Tidak apa jika jumlah penontonnya sedikit.

Yang penting, media arus perdana suruhan Umno-BN, harus hadir untuk menelan apa saja yang diluahkan oleh Khairy bagi "dimuntahkan" semula keesokan hari dalam akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian, RTM dan TV3.

Di "Kampung Khairy", tidak boleh ada perbahasan terbuka mengenai isu-isu bersabit rasuah dan kepentingan rakyat. Kerana isu-isu seperti itu akan menegakkan kebenaran dan mendedahkan siapa Khairy sebenarnya.

Hakikatnya ialah Khairy bukan sahaja pengkhianat kepada kebenaran tetapi beliau juga pengecut yang menarik diri dari perbahasan dengan Ketua Pemuda PAS atas topik yang amat penting: Rasuah dan masa depan Malaysia- di mana peranan pemimpin muda politik?

Setelah menyatakan kesanggupan untuk berdebat dengan Pemuda PAS atas topik yang relevan kepada kelangsungan kaum Melayu dan Islam, Khairy tiba-tiba menarik diri tanpa alasan bernas.

Namun, tidak ramai yang terkejut dengan tindakan itu. Sememangnya tidak banyak yang boleh diharapkan daripada Khairy bersabit isu rasuah.

Khairy sendiri didapati bersalah atas amalan politik wang oleh Lembaga Displin Umno pada pemilihan parti yang lalu. Yang lebih menjengkelkan ialah beliau dibenarkan bertanding dan menang, setelah menewaskan seorang lagi calon "bersih" Khir Toyo. Itulah tahap kepemimpinan dalam Pemuda Umno dan politik yang dibawa oleh parti mereka.

Setelah "lari" seperti cacing kepanasan apabila dicabar untuk berdepan dengan Pemuda PAS, apakah yang dilakukan oleh Khairy untuk menutup malunya: Beliau bertandang ke Shah Alam malam tadi untuk mencaci PAS dan Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat Melayu.

Beliau membawa segerombolan konco-konconya untuk memaki hamun Anwar dan PAS. Malah Ketua Pemuda Umno Selangor Suhaimi Ghazali berkata politik PAS mungkin berkesudahan dengan "babi dijual secara terbuka di Shah Alam."

Inilah contoh politik murahan yang dibawa oleh Pemuda Umno kononnya untuk menyatukan orang Melayu. Ini "mesej harapan" yang dijaja oleh Khairy dan Pemuda Umno kepada orang Melayu atas nama mempertahankan kesucian Islam.

Pada ceramah malam tadi, Khairy sendiri membuat pelbagai tuduhan melulu dan fitnah terhadap Anwar. Malah kain rentang dengan kata-kata kesat dan biadap anti Anwar dipaparkan untuk ditanda-tangani oleh Khairy dan konco-konconya.

Serangan peribadi tanpa batas ini hanya disaksikan oleh kira-kira 300 orang, sebilangan besarnya ahli Pemuda Umno sendiri. Hanya beberapa kerat sahaja merangkumi penduduk setempat di Seksyen 6 Shah Alam. Mereka tentunya menggeleng kepala melihat celoteh Khairy dan budak-budak suruhannya.

Segala sandiwara Pemuda Umno ini tidak membawa apa-apa makna. Khairy telah lama hilang kewibawaannya apabila disabit atas kesalahan rasuah politik oleh partinya sendiri. Beliau hilang kredibiliti sama sekali apabila tidak menepati janjinya untuk berbahas dengan kepemimpinan Pemuda PAS dalam usaha membina sebuah negara yang bersih daripada rasuah.

Sebaliknya, Khairy lebih ghairah meraih sokongan Muhyiddin Yassin (Timbalan Presiden Umno) dengan menganjurkan ceramah-ceramah untuk membidas dan menfitnah PAS serta Anwar.

Ini untuk menguatkan "saham"nya dengan Muhyiddin sebagai taktik untuk mengimbangi pengaruh kuat Hishamuddin Tun Hussein ke atas Perdana Menteri Najib Razak. Itu pertimbangan utama dalam segala rencana politik Khairy. Bukan sukar untuk membacanya.

Namun, politik fitnah sehingga menyerang keperibadian pemimpin seperti Anwar dan Nik Aziz yang dibawa Muhyiddin dan dijaja oleh Khairy sudah lama ditolak orang Melayu dan rakyat amnya.

Buktinya terserlah pada pilihanraya umum 2008 dan pada enam pilihanraya kecil di Semenanjung di mana Umno-BN tewas pada kesemua pemilihan itu. Dan ia akan terserlah sekali lagi di Permatang Pasir pada 25 Ogos ini.

Pengecut dan jaguh kampung yang angkuh tidak mungkin menyedari hakikat ini. Khairy Jamaluddin adalah kedua-duanya sekali.

Sumber : tvantara

16 August 2009

DSAI Bidas UMNO BN Perkuda Agensi Kerajaan

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah tindakan kerajaan UMNO Barisan Nasional menggunakan agensi polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mendera pimpinan yang tidak mempunyai sebarang kesalahan.
“Kita juga rasa pimpinan UMNO dan Barisan Nasional menggunakan polis dan juga SPRM untuk mengancam dan mendera pimpinan termasuk juga yang tiada sabit atau kes sama sekali. Paling terakhir terhadap YB Anthony Loke didakwa menghina Islam padahal tidak ada perkataan yang boleh dipertanggungjawabkan pada hal itu," kata Datuk Seri Anwar.

“Kita boleh keluarkan puluhan kenyataan pimpinan UMNO yang menghina agama dan menghukum agama tidak pun disiasat dan cuba difitnah kepada pimpinan lain dan digunakan isu perkauman soal Cina soal kononnya kita, saya dan Tengku Saadi seolah menyokong DAP dan fahaman Cina dan sebagainya,” kata Anwar.

Terdahulu Anthony Loke dituduh atas dakwaan bahawa beliau telah memburukkan Kesultanan Perak dan menghina Islam sedangkan beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang berbau hasutan atau menghina Islam.

Anwar turut mengatakan bahawa beliau percaya akhbar Utusan Malaysia akan mengeluarkan kenyataan bahawa dirinya merupakan pengkhianat lagi kerana menyokong Anthony Loke.

Sumber : tvantara

Derma RM10 juta: Muhyiddin didakwa takut ketelusan

Oleh Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Tindakan terdesak Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melarang Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berperang secara terbuka menerusi media mendedahkan lagi pekung yang selama ini disorok oleh Barisan Nasional (BN).

"Percubaan yang baik, Muhyiddin. Tetapi, setelah rakyat mendengar dakwaan Tiong bahawa beliau memberi RM10 juta kepada Ong, kini mereka hendak tahu pula siapa lagi yang mendapat habuan?

"Adakah pemimpin Umno juga dapat duit seperti itu? Adakah mereka mendapat habuan lebih besar?" kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.

Beliau juga menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu sebagai perisytiharan yang jelas bahawa kerajaan BN enggan mengamalkan ketelusan.

"Kalau ada dakwaan sebelum ini bahawa kerajaan BN kononnya mengamalkan ketelusan, kenyataan Muhyiddin itu dengan jelas membuktikan bahawa dakwaan tersebut adalah pembohongan besar.

"Mereka sebenarnya amat takut kepada ketelusan. Muhyiddin sendiri yang mendedahkan pekung itu," kata Mohamad.

Kedua-dua tokoh penting BN itu terbabit dalam perbalahan secara terbuka mengenai isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) apabila Tiong mendakwa Ong yang juga Presiden MCA, menerima RM10 juta daripadanya.

Tiong (gambar) ialah Ketua Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd, iaitu pemaju PKFZ.

Beliau mendakwa, wang tersebut dibayar secara tunai dalam tiga peringkat sewaktu pertemuan dengan presiden MCA itu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Timbalan Tiong dalam KDSB, Datuk Faizal Abdullah pula berkata Ong telah menggunakan jet peribadi milik syarikat tersebut sebanyak lima kali dan 'berhutang' kepada mereka sebanyak AS$40,000 bagi perkhidmatan tersebut.

Faizal juga ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian Kapar.

Ong membalas dakwaan itu dengan membuat laporan polis terhadap Tiong dan mengadakan sidang akhbar mengenai tindak balasnya itu.

Ong juga mahu menyaman Tiong jika bendahari Parti Demokratik Sarawak (SPDP) itu tidak menarik balik tuduhan tersebut.

Tidak gentar dengan tindakan Ong itu, Tiong berkeras tidak mahu menarik balik kenyataannya.

Beliau juga mengalu-alukan laporan polis yang dibuat oleh Ong.

"Beliau boleh teruskan dan saman saya," tegas Tiong yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC).

Beliau juga enggan memohon maaf kepada Ong.

"Kenapa saya harus memohon maaf?" soal beliau. "Atas alasan apa saya harus memohon maaf?"

Projek PKFZ mencetuskan kontroversi apabila timbulnya pendedahan bahawa kos pembangunannya melambung daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

Siasatan awal keatas projek PKFZ mendapati ia terpaksa diselamatkan dengan pinjaman dari kerajaan.

Selain itu juga, siasatan juga mengesahkan kerajaan melalui Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membeli 404 hektar tanah dari KDSB pada RM25 setiap kaki persegi walaupun harga sebenar dianggarkan RM10 sahaja setiap kaki persegi. KDSB juga dilantik sebagai pemaju PKFZ.

KDSB pula membeli tanah tersebut dari Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Bhd (KPPLB) pada harga RM1.9 hingga RM2.9 sekaki persegi. Pengerusi koperasi tersebut ketika transaksi itu ialah Adun Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil.

Beliau juga adalah ahli lembaga pengarah LPK dari 1997 sehingga 2003

Laporan audit yang dikeluarkan pada akhir Mei oleh PriceWaterhouseCoopers (PwC), syarikat yang dilantik LPK bagi tujuan itu, menyebut tentang pembabitan beberapa ahli politik dalam projek berkenaan, yang menurutnya, mungkin menimbulkan percanggahan kepentingan.

Sumber : Harakahdaily

15 August 2009

Khairy Pengecut, Tolak Tawaran Debat Terbuka

Kewibawaan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sekali lagi dipertikaikan. Setelah berkali- kali berdolak dalih untuk berdepan dengan Ketua Pemuda Pas, Ustaz Nasruddin Hassan At- Tantawi menerusi debat perdana anjuran Gerak, beliau akhirnya menaikkan bendera putih seraya membuka segala ruang kritikan terhadapnya.

Gerak sebelum ini merangcang mengaturkan satu debat perdana membabitkan kedua- dua tokoh politik muda negara berhubung isu Rasuah dan masa depan Malaysia- dimana peranan pemimpin muda politik ?

Namun usaha ini menemui kegagalan apabila hanya pemuda pas yang menyatakan kesediaan untuk berdebat. Ini bukan kali pertama pemuda UMNO menolak untuk berdebat secara terbuka bagi berhujah tentang isu- isu semasa.

Naib Presiden Pas, Sallehuddin Ayub menyifatkan Khairy telah mencerminkan sikap pemimpin UMNO yang tidak mempunyai jati diri yang kuat dan tidak mempunyai keyakinan untuk berhujah memperjuangkan apa yang lantang dilaungkan parti mereka.

"Satu sikap yang pada saya tidak wajar. Tidak bijak. Ajak debat pun tidak mahu, wacana pun tidak mahu. Jadi apa yang Pemuda UMNO boleh ? Itu pada saya tidak seperti yang di perjuangkan UMNO. Apa yang tinggal pada Pemuda UMNO ?," kata Sallehuddin.

Tv Antara juga menghubungi Ketua Pemuda Pas, Ustaz Nasruddin untuk mendapatkan reaksi beliau terhadap penolakan kali kedua pemimpin UMNO itu.

Nasruddin tidak dapat mengelak daripada menyifatkan Khairy sebagai pengecut untuk berdepan membahaskan isu rasuah, isu yang membarah dalam parti anutannya itu.

"Apa lagi yang boleh saya kata kalau tidak berani untuk tampil mengulas isu atau pun berdepan dengan realiti yang perlu kita tangani bersama. Musuh akan menganggap ini adalah satu tindakan yang penakut, atau tindakan yang tidak berani menyatakan kebenaran. Kita selalu dipesan oleh orang- orang tua kita, berani kerana benar, takut kerana salah," kata Nasruddin.

Sumber : tvantara

13 August 2009

Teoh 'mungkin diseret' sebelum mati

Saksi forensik polis dalam prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini tidak menolak kemungkinan mendiang diseret sebelum ditemui mati tertiarap di atas lantai tingkat lima Plaza Masalam, Julai lalu.

Pegawai penyiasat Cif Inspektor Mazli Jusoh (kiri), 31, dari cawangan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berkata demikian selepas ditunjukkan kesan geseran pada tapak kasut sebelah kanan mangsa yang ditemui di tempat kejadian.

"Setuju bahawa geseran bahagian tapak kasut ada implikasi yang penting?" tanya peguam pemerhati bagi kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar dan Mazli menjawab: "Setuju".

"Adakah kemungkinan si mati diseret?" tanya Malik Imtiaz lagi dan Mazli berkata:

"Tidak, kerana pada kebiasaannya kalau seseorang diseret, ia akan tidak kena pada tapak kasut, sebab kalau diseret dari belakang, dia akan tahan kaki dengan tumit."

"Tapi kalau diseret dari tepi? Ada kemungkinan?" soal Malik Imtiaz dan kali ini saksi itu menjawab: "Ada."

Mazli kemudian menjelaskan kepada koroner Azmil Muntapha Abas bahawa kesan geseran sehingga menampakkan lapisan kain yang melekat di atas tapak kasut itu bukanlah bahan asing, tetapi merupakan sebahagian daripada kasut itu sendiri.

"Bukan ia (lapisan kain itu) melekat pada kasut masa si mati jatuh?" soal koroner dan Mazli menjawab: "Tidak, kerana ia melekat di situ (atas tapak kasut) dan tidak boleh dicabut."

Bagaimanapun, saksi itu mengakui tidak membuat apa-apa pemeriksaan terhadap kesan tersebut dan berkata: "Untuk pastikan, perlu hantar balik ke kilang kasut.

"Tapi saya ada periksa kawasan kejadian dan tidak menjumpai apa-apa benda yang sepadan dengan bahan yang sama yang melekat pada kasut itu," jelasnya.

Ketika ditanya peguam pemerhati Richard Wee samada terdapat bahagian tajam di luar tingkap tingkat 14 bangunan itu yang boleh menyebabkan seluar mangsa tersangkut dan terkoyak, Mazli menjawab: "Tidak."

Mazli juga berkata beliau tidak pula menjumpai sebarang kesan gentian fabrik seluar pada bingkai tingkap di tingkat 14, yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Dalam keterangannya lagi, beliau berkata tingkap seluas hampir 0.6m, dengan ketinggian 0.9m dari aras lantai itu, boleh dilangkah keluar.

Bagaimanapun, beliau berkata hasil pemeriksaannya menunjukkan tiada kesan tapak kasut di bingkai dan cermin tingkap serta lantai di kawasan tersebut.

"Saya ada periksa kawasan itu, ia berhabuk, kalau berhabuk, dan dipijak mesti meninggalkan kesan (tapak kasut) tapi tiada kesan," katanya.

Beliau berkata hasil ujian cap jari pada bahagian tingkap itu menggunakan kaedah 'dusting' juga adalah negatif kerana keadaan tingkap yang kotor dan berhabuk.

Terdahulu pada prosiding itu, koroner ditunjukkan barang-barang kes yang diperiksa dan diambil pasukan forensik dari tempat kejadian termasuk seluar putih yang terkoyak di bahagian punggung dan berlumuran darah kering, kasut, tali jam dan empat calitan yang diambil di sofa dan tingkap di tingkat 14 pejabat SPRM.

Dalam keterangannya, Mazli memberitahu beliau telah memeriksa kawasan tempat kejadian pada 16 Julai dan menemui sebatang gigi berhampiran mayat mangsa, kesan lekukan atas lantai tempat mayat tertiarap, kesan lekukan pada bingkai tingkap serta kesan patah pada pemegang kunci tingkap di tingkat 14.

Teoh, 30, setiausaha politik pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di situ.

Sumber : Malaysiakini

Kredibiliti LPK dipertikaikan

SHAH ALAM - Exco Selangor, Dr A Xavier Jayakumar semalam membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuntutan tidak munasabah RM500 juta hingga RM1 bilion oleh syarikat pemaju utama Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB).

Katanya, pembaziran wang rakyat yang disebabkan oleh pelbagai tuntutan tidak munasabah oleh KDSB turut memperlihatkan kegagalan Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) untuk menguruskan pentadbiran zon bebas itu dengan mantap dan telus.

“Saya harap laporan yang dibuat terhadap SPRM semalam, perlu diambil tindakan segera tanpa sebarang birokrasi,” katanya kepada pada sidang media di pejabat SPRM di sini.

Beliau berkata, penyelewengan yang didedahkan Pasukan Petugas Khas itu menimbulkan persoalan hubungkait di antara kedua-dua pihak pemaju dan LPK apabila Ketua UMNO Bahagian Kapar merupakan Ahli Lembaga Pengarah LPK dari 1997 hingga 2003, dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kapar merupakan Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB).

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berharap SPRM dapat bertindak segera.

“SPRM bukan tempat untuk mempolitikkan isu, namun anggota berkecuali tanpa melibatkan mana-mana parti politik,” katanya.

Pengerusi LPK, Datuk Lee Hwa Beng pula membuat laporan polis terhadap Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan BTA Architect berhubung isu yang sama.

Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang, Jalan Gedung Raja Abdullah bersama-sama dengan peguamnya pada jam 10.15 pagi.

“Saya membuat laporan polis ini atas nasihat Lembaga Pengarah PKA,” katanya.

Selain itu, Hwa Beng menjelaskan bahawa Lembaga Pengarah PKA akan membuat laporan polis dan telah membuat banyak kenyataan terhadap isu terbabit.

“Jika saya cakap berlebihan, saya pula disaman kerana memfitnah,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Inkues: Pegawai SPRM tidak catat keterangan Teoh

Prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini dikejutkan dengan kenyataan seorang pegawai penyiasat polis yang menyatakan tiada sebarang catatan dibuat oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ketika menyoal siasat Teoh.

Inspektor Mohd Zulaimi Zubir (kanan), 29, dari cawangan jenayah ibupejabat polis daerah Shah Alam berkata perkara itu disedari selepas melakukan pemeriksaan ke atas 10 muka surat buku catatan harian rasmi milik pegawai SPRM Mohd Anuar Ismail yang dirampas 18 Julai lalu.

Peguam yang mewakili kerajaan Malaysia, Tan Hock Chuan mengesahkan Mohd Anuar bertanggungjawab menyoal siasat Teoh, lapor Bernama

"Hasil pemeriksaan saya dapati dalam buku bertarikh 8 Julai 2009 tercatat 'rumah/putrajaya/pejabat/tol RM' sahaja. Pada 15 dan 16 Julai tiada sebarang catatan dibuat," katanya.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Kepada soalan Tan iaitu dari 1 Julai hingga 18 Julai lalu, adakah hanya terdapat satu catatan sahaja yang beliau nampak, Mohd Zulaimi berkata: "Ya."

Sebelum itu Mohd Zulaimi berkata beliau hanya merampas buku harian milik Mohd Anuar dan buku yang lain dirampas oleh pegawai polis lain.

Dalam prosiding, buku asal itu tidak ditandakan eksibit memandangkan ia masih digunapakai dan hanya salinan dikemukakan tetapi ia telah disahkan oleh Timbalan Pengarah SPRM.

Mohd Zulaimi turut memberitahu beliau juga telah merampas cakera keras rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Masalam dan diarah menyiasat pergerakan Teoh, pegawai SPRM dan individu lain di plaza itu yang dipaparkan dalam rakaman CCTV itu.

Mohd Zulaimi, saksi ke-11 berkata sebelum rampasan beliau telah melihat pergerakan di dalam rakaman CCTV itu dan mendapati terdapat pergerakan Teoh yang memasuki ruang lobi di tingkat 4 pada pukul 6.08 petang.

"Keesokan hari (selepas kejadian), saya diarahkan untuk mengenal pasti pukul berapa si mati masuk, pergerakan pegawai SPRM dan individu lain dalam banguanan dari jam 00:00 15 Julai hingga 7 pagi esoknya," katanya.

Beliau berkata rakaman CCTV itu kemudiannya diserahkan kepada jabatan forensik 18 Julai lalu untuk siasatan lanjut tetapi terdapat beberapa kesukaran untuk mengesan pergerakan kerana masalah teknikal.

Pergerakan Teoh hanya dilihat menerusi salinan yang dibuat melalui 'pen drive' tetapi ia tidak boleh dicetak dan Mohd Zulaimi berkata menerusi bantuan bahagian sekuriti di bahagian Plaza Masalam, sebanyak 47 imej orang keluar masuk pada 16 Julai dapat dikesan.

Katanya, rakaman itu dilihat pada 19 Julai lalu di pejabat keselamatan Plaza Masalam dan bukannya di jabatan forensik Bukit Aman.

Mohd Zulaimi berkata SPRM juga mengesahkan Teoh sebagai saksi mereka.

Katanya, pengecaman mayat Teoh itu dibuat oleh salah seorang pegawai SPRM yang berada di tempat kejadian iaitu di koridor tingkat 5 di bangunan itu yang turut menempatkan pejabat SPRM Selangor di tingkat 14 dan 15.

Bagaimanapun, saksi ke-11 itu berkata beliau tidak dapat memastikan pegawai yang membuat pengesahan itu kerana terlupa untuk mencatatnya.

"Mereka tahu si mati ialah saksi mereka setelah saya arahkan pihak polis membuka plastik yang menutup mayat Teoh. Ketika itu mereka, iaitu lebih kurang empat ke lima orang pegawai SPRM, berada dalam bangunan di kira-kira 10 hingga 20 meter dari kedudukan mayat.

"Walaupun mereka tidak berada berdekatan mayat, tetapi mereka dapat mengecam dan melihat dengan jelas muka si mati daripada cermin tingkap pejabat dalam bangunan itu," jelas Mohd Zulaimi.

Ketika ditanya peguam Gobind Singh Deo, bagi pihak keluarga Teoh sama ada beliau mengecam pegawai SPRM yang berada di situ, Mohd Zulaimi berkata: "Saya boleh ingat seorang sahaja, iaitu pegawai yang dikenali sebagai Azim. Yang lain saya tak boleh cam."

Beliau turut menolak cadangan peguam bahawa pihak SPRM yang sebenarnya meminta polis untuk membuka penutup plastik mayat Teoh bagi tujuan pengecaman.

Mohd Zulaimi juga berkata beliau tidak menjumpai dompet Teoh di tempat kejadian dan hanya diberikan nombor kad pengenalan mangsa oleh Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Noor Azam Jamaluddin.

Dalam keterangannya, Mohd Zulaimi memberitahu selepas membuat pengawasan di tempat kejadian, beliau kemudian naik ke tingkat 14 bangunan itu untuk melakukan sisatan lanjut.

"Di tingkat 14 saya terjumpa Azim sahaja. Pegawai SPRM yang berada di tingkat lima saya tidak nampak, tetapi pegawai-pegawai lain ada di pejabat itu," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa di pejabat SPRM itu, Ketua Polis Daerah telah membuat siasatan dan mengambil keterangan mengenai mangsa daripada pegawai di situ.

"Masa perbincangan di tingkat 14, ketua polis daerah ada bertanya berkaitan si mati dan mengambil butiran dirinya, dan seorang pegawai wanita SPRM mengesahkan bahawa Teoh ialah saksi mereka," kata Mohd Zulaimi.

Gobind: "Adakah kamu tanya bila kali terakhir si mati dilihat?"

Mohd Zulaimi: "Saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah bahawa si mati dilihat kali terakhir kira-kira pukul 6 pagi (16 Julai)."

Gobind: "Adakah kamu rasa terdapat kemungkinan dia (Teoh) jatuh ditolak atau tercampak dari tingkat 14?"

Mohd Zulaimi: "Pada permulaanya saya berpendapat begitu. Dan selepas itu pegawai penyiasat melakukan penyiasatan, dia (pegawai penyiasat) berkata berkemungkinan dia (Teoh) terjatuh atau ditolak dari salah satu tingkap di tingkat 14."

Ditanya sama Ada terdapat kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di semua pejabat di antara tingkat 5 hingga 14 bangunan Plaza Masalam, saksi itu menjawab: "Saya tidak membuat pemeriksaan."

Berhubung rakaman CCTV di lobi bangunan itu, Mohd Zulaimi berkata, Teoh dilihat berjalan masuk ke dalam bangunan tanpa membawa sebarang beg, sebaliknya memegang sebuah telefon bimbit.

Prosiding petang tadi turut mendengar keterangan saksi ke-12 iaitu penolong juruanalisis, seksyen jenayah komputer, makmal forensik Polis Diraja Malaysia, Inspektor Mohd Zaidi Abu Hassan.

Saksi itu memberitahu beliau telah diarahkan oleh ASP Ahmad Nazri Zainal untuk mengeluarkan semua maklumat yang ada dalam telefon bimbit jenama Sony Ericsson dan kad sim pada 21 Julai.

Ketika ditanya peguam Rajpal Singh, bagi pihak Badan Peguam Selangor, sama ada beliau masa dan tarikh yang tertera pada telefon bimbit itu adalah tepat, Mohd Zaidi berkata: "Ya, saya ada buat pemeriksaan dan mendapati masa dan tarikh pada telefon itu adalah betul."

Prosiding inkues bersambung esok

Sumber : Malaysiakini

12 August 2009

LPK Buat Laporan Penyelewengan PKFZ RM1 Bilion

Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datuk Lee Hwa Beng membuat laporan polis terhadap Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan BTA Architect berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

KDSB adalah kontraktor siap guna bagi projek PKFZ manakala BTA Architect adalah jururunding yang dilantik bagi projek berkenaan.

Beliau yang membuat laporan berkenaan atas arahan Lembaga Pengarah LPK yang bermesyuarat semalam, bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut laporan berkenaan kepada media atas nasihat peguamnya.

“Ada terlalu (banyak) butiran. Saya tidak boleh berkata lebih daripada ini, saya serahkannya kepada polis untuk menyiasat. Jika saya bercakap lebih, kemudian anda laporkan, anda (wartawan) dan saya akan disaman kerana menghina," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang jam 10.15 pagi tadi.

Lembaga Pengarah LPK sebelum ini membuat keputusan untuk membuat laporan terhadap KDSB berhubung dakwaan penyelewengan sehingga RM1 bilion.

Penyelewengan berkenaan dikesan pasukan petugas khas, yang terdiri daripada peguam, akauntan, perunding kos bangunan dari firma-firma profesional yang ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan dua bulan lepas berikutan laporan audit mengenai PKFZ oleh PricewaterhouseCoopers (PwC).

Laporan berkenaan diserahkan kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat di Putrajaya, semalam.

Lee berkata lembaga pengarah LPK yang akan bermesyuarat minggu hadapan akan berbincang sama ada perlu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga mengenai menstruktur semula pinjaman bagi projek PKFZ.

“Saya hanya diarahkan untuk membuat laporan polis. Tujuan utama adalah untuk mendapatkan semula sebanyak mungkin wang bagi LPK,” katanya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Selangor Dr Xavier Jayakumar dalam satu kenyataan medianya berkata, pendedahan Pasukan Petugas Khas berkenaan memperlihatkan kegagalan LPK untuk mengurus tadbir zon bebas berkenaan dengan mantap dan telus.

“Penyelewengan yang didedahkan oleh Pasukan Petugas Khas itu menimbulkan persoalan hubungkait di antara kedua-dua pihak pemaju dan LPK apabila Ketua Umno Bahagian Kapar, Datuk Abdul Rahman Palil sendiri merupakan ahli lembaga pengarah LPK dari 1997 hingga 2003, dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kapar Datuk Faizal Abdullah merupakan Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB).

Penglibatan Umno Bahagian Kapar dalam LPK dan KDSB seterusnya menimbulkan isu pertindihan kepentingan(conflict of interest). Keadaan ini bertambah keruh apabila Lembaga Pengarah LPK dilantik daripada kalangan pimpinan komponen Barisan Nasional yang masing-masing berkepentingan sehingga mendorong kepada salah tadbir dan ketidaktelusan LPK,” katanya.

Menurutnya, kerajaan meminta LPK menerima perlantikan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ke dalam Lembaga Pengarah LPK agar usaha penambahbaikan dapat dilaksanakan bagi memperbesarkan Pelabuhan Klang supaya Negeri Selangor mendapat manfaat dengan perkongsian usahasama ini.

Sumber : tvantara

Teguran Anwar Kepada Muhyiddin: Cermin Diri Sebelum Tuding Jari

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menegur Timbalan Presiden Umno Muhyiddin Yassin dan juak-juaknya supaya bermuhasabah, sebelum menuduh orang-lain pengkhianat bangsa.

Bercakap di suatu ceramah di Kemaman malam semalam, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu meminta ahli Umno supaya melaburkan sedikit kuasa minda melihat siri laporan polis dan rasuah yang difailkan terhadap pimpinan parti perkauman itu.

Sejarah membuktikan, tegas Anwar, bahawa yang merampas tanah, yang merasuah, dan yang menyeleweng adalah dari kalangan mereka ini.

"Mereka boleh kata dan fitnah saya macam-macam. Saya cuma mahu ingatkan mereka, terutamanya Timbalan Presiden Muhyiddin Yassin, jangan kamu tuduh saya pengkhianat Melayu. Tanah orang Melayu mana saya ambil? Saham mana saya rampas? Projek mana saya raih? Tunjukkan pada saya. Saya mahu tanya pada mereka, apa Muhyiddin tidak ada akaun bank dalam dan luar negara? Saya mahu ingatkan pada beliau, jangan sampai saya isytihar perang nanti kamu terduduk tidak dapat jawab pendedahan-pendedahan saya," kata Anwar.

Pada malam itu, Anwar menyorot perhatian hadirin kepada tabiat pemerintah yang bercakap mengenai pembelaan hak melayu, namun dalam masa yang sama menjarah harta negara untuk diri dan kroni.

"Negara kita tidak ikut kedaulatan undang-undang. Apabila orang kecil curi motor, curi lembu, dia ditangkap bahkan dipukul. Kalau pemimpin Umno, MCA dan geng-geng mereka ambil wang juta-juta ringgit, polis dan SPRM buat-buat tidak nampak. Satu gunung Umno bagi pada taukey judi, dan hari ini mereka tuduh kita pula yang khianat," kata Anwar.

Pemimpin reformasi itu berkata Pakatan Rakyat tidak berminat dengan permainan politik Umno-BN, kerana agenda reformasi dan politik pembaharuan yang dibawa gagasan pembangkang jauh lebih besar manfaatnya untuk rakyat.

"Minda kita harus dibuka, jika tidak kita akan ditipu. Hasil minyak misalannya harus diserahkan kepada negeri yang mengeluarkannya dan rakyat negeri terbabit. Petronas telah diuruskan oleh anak-anak Melayu dengan baik sekali, tetapi yang kita pertikaikan adalah kemana duit-duit Petronas ini diambil dan dibelanjakan oleh kerajaan Pusat. Kemana pergi wang yang sepatutnya memperkaya rakyat? Sebaliknya yang kaya hanya dua tiga kerat orang," tegas Anwar.

Sumber : tvantara

Siapa pengkhianat sebenar bangsa, negara?

Oleh Mohd Khalil Abdullah

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Hrkh) - Siapa sebenarnya pengkhianat bangsa dan negara? Benarkah pengkhianat sedemikian wujud atau sekadar dongengan Umno-BN untuk meraih simpati murahan daripada rakyat?

Persoalan pengkhianat bangsa dan negara bukan kali pertama diutarakan. Malah jika dilihat,ungkapan sedemikian seringkali menjelma terutama dalam menghadapi detik-detik pilihan raya atau negara sedang dilanda pelbagai isu yang hangat.

"Rakyat tidak pernah lupa siapakah yang menggadai Genting Highlands, Pangkor Laut dan penyelewengan dana awam di atas nama komisen,"tegas Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam blog peribadinya.

Beliau yang mengulas isu khianat sebelum itu menjelaskan siri program yang dihadirinya semalam.

"Saya tiba sekitar jam 5.00 petang di Felda Neram Satu. Acara tersebut disusun khas bagi mendekati masyarakat Felda serta menerangkan keutuhan Permuafakatan Pakatan Rakyat dan khususnya jalur perjuangan Parti Keadilan Rakyat.

"Ditekankan keutamaan dasar yang dilakar demi kesejahteraan rakyat semua, dan bukannya hanya untuk memenuhi nafsu tembolok tauke-tauke kaya serta sesegelintir bangsawan politik semata.

"Turut disentuh kejayaan negeri-negeri pentadbiran Pakatan Rakyat yang berusaha bersungguh-sungguh membasmi kemiskinan dan memerangi rasuah kendati pun berhadapan serangan bertali arus aparat umno-BN,"jelasnya.

Beliau juga menerangkan bagaimana program menjamin kebajikan rakyat seumpama pemberian air percuma, tabung warisan anak Selangor, skim mesra usia emas yang dilaksanakan di Kelantan mahupun Selangor.

"Tidak ketinggalan, saya menegaskan pentadbiran di semua negeri Pakatan Rakyat yang berlandaskan kebolehan, pertanggungjawaban dan ketelusan. Semua dasar tersebut terbukti mesra pelabur, apatah lagi ketika mengalami kemurungan, mereka tentunya mahukan pengurusan ekonomi terbaik dan beramanah.

"Program seterusnya adalah ceramah bersama Dato' Chua Jui Meng di Bandar Chukai dan kemudiannya ceramah perdana di Kerteh bersama Saifuddin Nasution, Ustaz Harun Taib serta Abdul Rahman Yusuf. Lanjutan mengungkapkan dasar pemerintahan yang beramanah, saya lontarkan pula lawan dari makna amanah itu; perbuatan khianat.

"Sudah tentu isu khianat digembar gemburkan hanya dengan dengan satu tujuan, iaitu untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat dengan menjadikan saya sebagai sasaran. Sungguh tidak sangka jentera propaganda sanggup berbuat apa sahaja apabila terdesak hatta cuba memperbodohkan rakyat. Namun saya senantiasa yakin dengan kemampuan rakyat membuat penilaian dan pertimbangan.

"Rakyat sedar siapa yang sebenar-benarnya mengkhianati amanah nusa dan harapan rakyat negara ini. Mereka sudah tentu tidak lupa siapakah yang menggadai Genting Highlands, Pangkor Laut dan penyelewengan dana awam di atas nama komisen. Itu semua dilakukan hanya demi kepentingan sendiri,"tegasnya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) mendakwa ada individu-individu yang sanggup mengorbankan bangsanya sendiri demi memastikan cita-cita politik mereka tercapai.

"Menjadi tanggungjawab saya untuk menentang habis-habisan pihak yang sebegini. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan negara kalau kita (BN dan Umno) tidak berkuasa pada pilihan raya umum akan datang," katanya. - mks. _

Sumber : Harakahdaily

11 August 2009

Anwar: Rakyat Sarawak tidak mahu lagi jadi “penonton” kepada kerakusan Taib Mahmud

Rakyat Bumi Kenyalang yang dahagakan perubahan kini bagai bertemu fajar baru setelah hidup dibelenggui kemiskinan akibat rasuah politik dan penyelewengan kuasa di bawah kepimpinan Taib Mahmud untuk hampir tiga dekad.

Harapan baru itu dibawa oleh kesedaran yang semakin menebal bahawa rakyat tidak lagi mahu menjadi “penonton” kepada kerakusan Taib Mahmud dan kroni membolot kekayaan Sarawak termasuk tanah adat dan sumber asli.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim menggesa rakyat Sarawak mengukuhkan iltizam untuk melakukan perubahan apabila beliau sekali lagi melakukan lawatan ke negeri Kuching untuk bertemu dengan rakyat negeri ini.

Taib Mahmud dijangka membubarkan Dewan Undangan Negeri dan mengadakan pilihanraya tidak lama lagi.

"Sarawak sebuah negeri yang kaya, rakyatnya juga harus kaya". kata Anwar kepada kira 3, 000 hadirin di Kelab Sukan dan Rekreasi di Kampung Sudoh, Singai iaitu sebuah perkampungan di Bau, Sarawak.

Anwar berkata rakyat Sarawak matang dan boleh menilai apa yang berlaku di Sarawak di bawah pemerintahan Taib Mahmud.

Sarawak antara negeri terkaya di Malaysia tetapi sebilangan besar rakyatnya dibelit kemiskinan tegar. dan tetap terpinggir walaupun Taib telah memerintah Sarawak begitu lama.

Ketika pemimpin BN negeri itu dan keluarga bersama kroni hidup senang-lenang, rakyat di negeri itu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Negeri Sarawak yang kaya dengan sumber aslinya seperti minyak dan balak dijadikan lubuk emas untuk pemimpin di negeri itu meraih keuntungan peribadi manakala puluhan ribuan rakyat masih hidup tanpa bekalan air bersih atau elektrik.

“Prinsip Taib, yang kaya akan terus menjadi kaya dan yang miskin akan terus menjadi miskin,” kata Anwar. “ Adakah ini yang dikata, Rakyat didahulukan, Pencapaian di Utamakan?,kata Anwar disambut tepukan gemuruh hadirin.

Anwar berkata Keadilan bersama rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat berjanji untuk memberi tumpuan khusus kepada menangani masalah rasuah yang telah lama menjadi budaya BN, baik di Sarawak, Sabah mahupun Semenanjung.

Penyelewengan kuasa yang membawa kepada projek mega dan kontrak awam diberikan kepada keluarga dan kroni pemerintah akan dihentikan. Kekayaan Sarawak akan dipulangkan kepada rakyat negeri itu.

Anwar berkata angin perubahan yang dibawa oleh Keadilan dan Pakatan jauh lebih besar maknanya bagi mereka yang tinggal di pedalaman Sarawak.

Kehidupan masyarakat Bidayuh yang tinggal di kawasan pedalam di Bau misalnya, akan mendapat perhatian parti itu. Mereka yang tinggal di bandar namun mempunyai berpendapatan rendah, juga akan dibela, kata Anwar.


“Malang bagi Barisan Nasional, masa untuk mereka mengaut keuntungan di Sarawak sudah menghampiri titik noktahnya,” kata Anwar. “Angin perubahan bertiup kencang di bumi bertuah Sarawak…..Melayu, Bidayuh, Dayak atau Melanau, Cina mahu pun India, rakyat di Sarawak sudah serik dengan pentadbiran Taib dan mahukan perubahan,” tambah beliau..

Anwar berkata rakyat Sarawak tidak sanggup lagi menjadi “tukang tonton kepada kayu-kayu balak yang diangkut keluar dari bumi mereka. Rakyat tidak lagi mahu sekadar berbangga sahaja tinggal di bumi yang kaya dengan petroleum dan berbangga sahaja, tidak lebih dari itu.”

Anwar menggesa rakyat Sarawak untuk bangkit pada pilihan raya negeri (PRN-10) dengan iltizam untuk menegakkan kuasa rakyat bagi membawa perubahan yang di inginkan.

Beliau berkata barisan pemimpin dan seluruh jentera Parti Keadilan Rakyat juga siap sedia berjuang untuk membawa perubahan untuk rakyat Sarawak.

Dalam ucapannya Anwar merujuk kepada pemerintahan kerajaan negeri Pakatan Rakyat pimpinan Keadilan di Selangor.

Dalam tempoh setahun, kerajaan negeri itu telah berjaya melancarkan pelbagai program termasuk bekalan air percuma, tabung untuk kelahiran baru serta bantuan ekonomi untuk rakyat miskin dari semua kaum.

Selain berucap kepada ribuan rakyat di Bau, Anwar turut merasmikan Pejabat Parti Keadilan Rakyat Cabang Mas Gading, Bau di samping hadir pada makan malam bersama penduduk Kampung Sudoh, Bau.

Beliau turut berjumpa dengan masyarakat Tionghua dan penduduk lain di Ibu Pejabat Keadilan Sarawak di Kuching.

Anwar turut melancarkan akhbar Suara Keadilan edisi Sarawak sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Sumber : tvantara

Umno nak ajar Afrika perangi rasuah?

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru baru ini pergi ke Afrika. Maka disana bertemulah dia dengan pemimpin beberapa Negara benua itu.

Menurut laporan media suruhan BN, Muhyiddin mendakwa pemimpin Afrika mahu tahu bagaimana kerajaan Malaysia ( maknanya BN lahtu) memerangi rasuah di Malaysia.Mereka kagum sehingga mahu belajar daripada kerajaan Malaysia. Itu kata Muhyiddin seperti yang dilapor media suruhan BN.

Laporan itu trut disiar dalam alam siber menerusi laman web dan blog.Dan ramai lah rakyat Malaysia yang respon dengan mengulas dan memberi komen. Rata rata negatif. Dan menurut seorang responden ,beliau “hampir jatuh daripada kerusi ”apabila membaca laporan itu ”.Tentunya umum boleh faham mengapa beliau berkata demikian.

Umno sendiri yang menjadi tunjang BN mengalami masalah rasuah yang cukup serius. Orang Umno guna istilah “politik wang”.Rasuah lah tu.Istilah lain makna sama.

Itu sindrom penafian dalam Umno,Tapi tiap kali ada pemilihan parti mereka mengakui “politik wang’ bermaharajalela. Daripada dulu hingga lah sekarang.Semua pemimpin Umno bercakap mengenai gejala itu.

Yang hebatnya ada yang mengutuk dan membidas rusuah , mereka sendiri pun melakukan politik wang.Hulur wang untuk mendapat sokongan dan “membunuh” karier politik rakan separti.Tun Mahathir Mohamad sendiri mendakwa beliau sendiri menjadi mangsa politik wang apabila gagal memenangi pemilihan Umno bahagian Kubang Pasu. Mahathir mendakwa perwakilan dibayar RM200 seorang supaya jangan mengundinya.

Itu zaman beliau bukan lagi PM dan presiden Umno.Masa Mahathir jadi presiden Umno,beliau mendakwa telah “berusaha” membasmi rasuah dalam Umno tetapi gagal.

“ Saya telah marah, rayu, menanggis, berdoa , tetapi tak berjaya juga”. Kata kata Mahathir itu kerap kita baca dalam akhbar suruhan Umno/BN. Hakikatnya rasuah sudah menjadi amalan Umno.

Sekarang Umno sedang meminda perlembagaan parti dan menggubal peraturan baru kononnya untuk “berubah” kerana menurut pemimpin Umno sendiri “politik wang sudah menjadi budaya dalam Umno”.

Ini semua sudah tahu. Orang Malaysia tahu, orang Afrika pun tahu.Orang Malaysia tahu kerana melihat sendiri apa yang berlaku.Orang luar tahu kerana berita rasuah Umno telah tersebar seantero dunia.

Zaman dunia tanpa sempadan informasi diperolehi dengan mudah.Orang Afrika turut melayari Internet.Mereka tahu apa yang berlaku di Malaysia.Mereka tahu politik wang budaya Umno. Tentunya mereka tahu ramai dalam Umno menggalakkan amalan buruk itu walaupun memberi gambaran mereka benci rasuah. Jadi mengapa pemimpin Afrika mahu belajar dariapda kerajaan Malaysia cara memerangi rasuah ? Seperti yang didakwa Muhyiddin ?

Sepatutunya mereka memberi tahu Muhyiddin “ parti sendiri pun tak boleh kawal nak ajar kami pulak?”. Tapi mereka tidak berkata demikian.Mungkin kerana untuk menjaga hati Muhyiddin.Maklumlah,.kan Muhyiddin tetamu mereka ? Jadi mereka kata mahu belajar daripada kerajaan Malaysia .Bak kata Inggeris “good PR.” Orang berbudi kita berbahasa .Takkan Muhyiddin tak tahu itu semua ?

Sumber : tvantara

10 August 2009

Ali Rustam Perlu Cermin Diri Dulu - Khalid Samad

Cerminlah dulu diri sendiri sebelum membuat sebarang kenyataan!

Begitulah teguran Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kepada Ketua Menteri Melaka, Dato Seri Ali Rustam yang menggesa PAS keluar daripada Pakatan Rakyat berhubung isu arak.

“Saya menegesyorkan kepada ketua menteri Melaka yang dulu telah di halang untuk bertanding dalam pemilihan umno kerana didapati bersalah atas rasuah politik, mencerminkan dirinya dulu sebelum nak komen orang lain”.

Khalid berkata demikian selepas menyampaian Hadiah Pertandingan Marhaban dan Berzanji Selangor 2009 di Auditorium MBSA, petang tadi.

Katanya, Ali Rustam seharusnya mencontohi tindakan kerjaan Selangor dalam menangani isu arak yang menyumbang kepada gejala sosial yang semakin serius melanda masyarakat negara ini.

“Dan negeri Melaka pun patut berusaha untuk mencontohi,dimana kita nak tingkatkan kesedaran di kalangan masyarakat berhubung dengan keburukan dan kerosakan hasil daripada budaya minuman keras,yang selama ini telah menjadi satu perkara yang biasa.so saya rasa dia punya cabaran tu tak kena tempat la”, tambah Khalid lagi.

Isu pengharaman penjualan minuman keras di Selangor telah mencetuskan kontroversi daripada pelbagai pihak.

Khalid berkata setakat in 10 daripada 17 rangkaian 7eleven telah menghentikan penjualan arak di premis perniagaan mereka. Manakala 7 lagi telah memperketatkan penjualan minuman keras kepada orang ramai.

Menurut Khalid lagi, PAS memandang pengharaman ini sebagai satu langkah membendung umat Islam daripada terlibat dengan arak, selain membantu mengurangkan masalah sosial yang berlaku disebabkan pengaruh alcohol.

Sumber : GreenBox

04 August 2009

Penduduk gusar rumah didiami retak, mendap

MELAKA- Beberapa penduduk di Taman Bachang Baru di sini, bimbang apabila rumah teres dua tingkat milik mereka bakal runtuh selepas berlaku beberapa keretakan serius pada rumah masing-masing.

Salah seorang penduduk, Phay Soon Siong, berkata, bahagian depan rumahnya sudah mendap. Malah bahagian lain di rumah berkenaan, termasuk lantai anjung, tembok dapur dan tiga bilik di tingkat atas mengalami keretakan.

Soon Siong berkata, dia mendiami rumah berkenaan pada pertengahan 2004 selepas membuat pengubahsuaian, dan kini rumahnya mengalami mengalami beberapa kesan keretakan.

“Kesan retakan di tembok dapur paling panjang. Rumah ini ibarat bukan lagi sebuah rumah kerana tidak selamat untuk didiami, namun saya tiada pilihan lain,” katanya yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Menurutnya, beberapa lagi rumah lain di kawasan itu turut mengalami masalah sama.

“Saya difahamkan beberapa lagi rumah penduduk di sini turut mengalami masalah keretakan,” katanya.

Katanya, aduan sudah dibuat kepada pemaju dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Selain Soon Siong, seorang lagi penduduk, Liew Chin Fong, 72, meluahkan rasa gusar terhadap masalah keretakan dan kebocoran siling yang berlaku di rumahnya.

“Dinding rumah retak dan siling pula bocor, apabila banjir berlaku di kawasan tersebut baru-baru ini, masalah keretakan bertambah ketara mungkin disebabkan tanah mendap,” katanya yang sudah lima tahun mendiami rumah terbabit.

Menurutnya, wakil pemaju perumahan ada datang ke rumahnya, namun Chin Fong berasa kesal kerana tiada tindakan diambil pihak terbabit.

“Saya berharap pihak pemaju perumahan dan MBMB dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah yang dialami beberapa penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan Perhubungan Negeri Melaka Parti Keadilan Rakyat (PKR), Freddie S.H. Lim berkata, beliau berasa kesal dengan kelewatan MBMB dalam menangani masalah penduduk di kawasan terbabit.

“Saya berasa kesal dengan MBMB khususnya Datuk Bandar Melaka Bersejarah, Yusof Jantan serta Kementerian Perumahan yang tidak mengambil tindakan segera terhadap masalah tersebut,” katanya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Melaka, Hairiz Nordin dan Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri Melaka PKR, Md Yusof Abddulah turut hadir melawat kawasan berkenaan.

Sementara itu, Md Yusof berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat setiap projek perumahan di atas tanah yang ditambak kerana dikhuatiri ada unsur-unsur yang tidak sihat sewaktu projek pembinaan dijalankan.

“Saya difahamkan banyak projek pembangunan di atas tanah tambak yang tanahnya masih belum cukup sesuai telah dibangunkan perumahan atau bangunan. Hal ini akan mendatangkan masalah pada satu masa kelak. Tanah yang ditambak memerlukan satu jangka masa yang sesuai, barulah kawasan itu boleh dimajukan,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

ADUN terima rasuah ditahan reman lima hari

KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN): Barisan Nasional (BN) Terengganu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM20,000 ditahan reman selama lima hari.

Perkara itu disahkan pihak pendaftar Mahkamah Majistret Kemaman semalam sambil memberitahu bahawa ADUN berkenaan kemudian dibawa ke pejabat SPRM daerah ini untuk tujuan soal siasat.

Usaha wartawan Sinar Harian yang bergegas ke pejabat SPRM Kemaman bagi mendapatkan pengesahan perkara itu menemui jalan buntu, apabila pegawai terbabit enggan memberi sebarang ulasan.

Bagaimanapun, difahamkan ADUN tersebut kemungkinan akan ditahan reman di lokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Chukai, sebaik sahaja sesi soal siasat selesai.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang ADUN BN Terengganu ditahan bersama seorang rakannya setelah dipercayai menerima wang suapan bagi membolehkan sebuah syarikat mendapat projek landskap di Kuala Lumpur.

Semasa ditahan kira-kira jam 9.30 pagi di Kijal, Kemaman, SPRM telah menemui wang tunai RM5,000 pada ADUN tersebut, sebelum beliau bersama rakannya telah dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ketika memberi maklum balas ringkas melalui Setiausaha Akhbarnya, Rosli Zakaria berkata, beliau menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada SPRM bagi melakukan siasatan.

“Biarkan SPRM menjalankan siasatan tersebut,” katanya ringkas tetapi enggan mengulas lanjut ketika Wartawan Sinar Harian menghubunginya, semalam.

Sinar Harian juga gagal menghubungi Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull bagi mengulas perkembangan terkini berhubung siasatan kes berkenaan.

Sumber : Sinar Harian

03 August 2009

Rasuah: SPRM tahan ADUN Terengganu

KUALA TERENGGANU - Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu semalam ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM20,000.

ADUN berkenaan dipercayai menerima wang suapan terbabit bagi membolehkan sebuah syarikat mendapat projek lanskap di Kuala Lumpur.

Difahamkan, semasa ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi di Kijal, dekat Kemaman, Terengganu, SPRM telah menemui wang tunai RM5,000 pada ADUN berkenaan.

Ketika ditahan, ADUN berkenaan berada bersama rakannya dan difahamkan beliau telah dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull, ketika dihubungi, mengesahkan mengenai penahanan ADUN terbabit tetapi enggan mengulas lanjut.

Sumber : Sinar Harian

Designed by - AMK TANGGA BATU