AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami
Showing posts with label Gaduh. Show all posts
Showing posts with label Gaduh. Show all posts

19 August 2009

Tiong dedah sewa RM1 bagi 32 unit kampus KTAR

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing membuat satu lagi pendedahan, dengan mendakwa anak syarikatnya hanya mengenakan kadar sewa RM1 bagi kesemua 32 unit yang menempatkan kampus Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) milik MCA, di Penampang, Sabah.

Kesemua unit kedai terdiri daripada lapan blok bangunan empat tingkat milik Wawasan Development Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Dijaya Corporation. Ia disewa oleh KTAR sejak Februari 2007.

Sebelum ini, ketika ditemubual oleh akhbar berbahasa Cina, Tiong dilaporkan menyifatkan jumlah RM1 itu sebagai tanda simbolik sumbangannya kepada kolej dan parti berkenaan.

Pendedahan terbaru ini merupakan rentetan daripada pertelingkahan terbuka di antara Tiong dan presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat yang semakin serius - ekoran isu membabitkan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Tiong dalam satu temubual dengan Malaysiakini hari ini berkata kadar berkenaan kini tidak lagi sesuai memandangkan parti MCA yang merupakan pemilik kolej berkenaan didakwa mempunyai aset bernilai lebih RM2 billion.

Oleh itu, katanya, kadar sewa yang lebih setimpal patut dikenakan kepada Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) di Penampang, Sabah yang kini menduduki premis syarikat itu secara 'percuma.'

Tiong mahu tindakan tersebut diambil kerana berasa tertipu dengan saranan MCA supaya memberi sumbangan kepada parti itu bagi membantu komuniti Cina di negeri tersebut.

"Sebelum ini MCA datang kepada saya dan kata mereka tiada duit, kalau saya bantu akan kurangkan beban pelajar. Saya juga telah bayar RM200,000 untuk ubahsuai sebelum diserahkan kepada KTAR.

'Saya rasa tertipu'

"Sekarang saya rasa tertipu. Kalau parti itu sudah ada lebih daripada RM2 billion, kenapa ia masih perlu meminta bantuan daripada saya," kata Tiong yang juga setiausaha agung Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) itu.

"Sekarang saya perlu menilai semula kepimpinan di dalam MCA, sejauh mana efisiennya mereka dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat. Tapi kalau macam ini, lebih baik saya gunakan sumbangan itu untuk orang yang lebih memerlukan."

"Tapi siapa tahu, mungkin mereka masukkan juga kos sewa bangunan dalam yuran walaupun sewa percuma? Ini mungkinlah, saya tidak tahu," tambahnya.

Tiong juga mahu bersemuka dengan Ong yang didakwa telah menjalankan usaha untuk mencemarkan nama dan menghakimi peribadi pemimpin ahli parlimen Bintulu melalui media.

"Saya tidak peduli tentang persepsi orang ramai (terhadap saya). Hal ini adalah antara saya dengan Ong. Saya mahu bersemuka satu sama satu dengan dia. Tak perlu libatkan orang lain," katanya lagi.

Jelasnya lagi, beliau maklum dengan saranan daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya dihentikan pertelingkahan dengan Ong kerana menimbulkan persepsi negatif terhadap BNl.

Tambahnya, beliau juga harus berani berhadapan dengan cabaran-cabaran daripada pemimpin tersebut.

"Saya tidak peduli dengan persepsi orang. Dia berani cabar saya, saya juga berani cabar dia. Sekarang saya pula panggil dia gengster politik, macam mana?

"Biarlah orang nilai sendiri perwatakan dia. Dia pandai menjaga imej sebagai pemimpin yang bersih dan telus. Setiap hari dia akan tunjuk kepada orang dia macam ini. Dia boleh sebab dia orang besar, saya bukan."

"Dia kata saya ini gengster, saya ini hisap darah, apa ini? Tapi kalau saya kata saya bukan gengster orang tidak akan percaya kepada saya kerana saya bukanlah siapa-siapa. Saya bukan menteri yang orang kena percaya. Jadi saya mahu dia buktikan (dakwaan-dakwaan tersebut) kepada saya.".

Sumber : Malaysiakini

06 July 2009

Sofi jawab dakwaan Pemuda Umno

Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab menyuarakan rasa kesalnya dengan sikap Pemuda Umno yang didakwanya membuat kenyataan bohong berhubung insiden kekecohan dengan DAP dan PAS di pasar malam Taman Melaka Baru, semalam.

Sehubungan itu, Sofi menafikan tuduhan mereka bahawa PAS dan DAP membuat provokasi kepada Pemuda Umno sehingga terjadi pergaduhan semalam.

"Ini merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab kerana pihak kami langsung tidak membalas segala maki hamun yang dilakukan oleh (naib ketua Pemuda Umno bahagian), Mohd Jailani (Khamis) dan ahli-ahli pemuda Umno lain.

"Malah pemimpin-pemimpin dan penyokong PAS dan DAP hanya berdiam diri sahaja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini sebelum ini, Jailani bagaimanapun menafikan memaki Pemuda PAS dan polis.

Beliau bagaimanapun mengakui mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Pemuda DAP.

Menurut Sofi lagi, beliau juga ingin memperbetulkan kenyataan pemuda Umno "bahawa kami tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan kempen pendaftaran pemilih baru".

'Mereka cemburu'

"Beberapa ahli kami yang bertugas (kelmarin) dilantik oleh SPR (Suruhanjaya Pilihanraya) sebagai Penolong Pendaftar pemilih sementara mewakili parti-parti masing-masing.

"Malah kami mempunyai kad kuasa yang diberikan SPR sendiri," tambahnya.

Sofi juga menafikan dakwaan setiausaha Pemuda Umno Bukit Katil, Safrie Abdullah yang mereka melancarkan kempen menambah keahlian parti.

"Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kempen tersebut bukannya untuk pendaftaran keahlian parti tetapi untuk pendaftaran pemilih baru.

"Tuduhan Safrie itu adalah berniat jahat dan tidak berasas sama sekali. Tidak ada sekeping pun borang keahlian parti yang kami bawa dalam program tersebut," katanya.

Sebaliknya, Sofi berkata beliau yakin tindakan pemuda Umno tersebut adalah kerana mereka cemburu dengan sambutan hangat rakyat yang datang mendaftar untuk menjadi pemilih berdaftar.

Menurutnya, dalam tempoh sebulan ini kira-kira 1,000 pengundi baru berjaya didaftarkan.

Sumber : Malaysiakini
Nota : Berita ini susulan dari berita ini dan ini

Pemuda Umno akui pecah meja DAP

Pemuda Umno Bukit Katil mengaku ahlinya telah bertindak memecahkan sebuah meja dalam kekecohan dengan DAP dan PAS di pasar malam Taman Melaka Baru, malam tadi.

Selain seorang wakil rakyat DAP didakwa mengalami luka-luka, seorang ahli Umno ditahan di balai polis Batu Berendam selama enam jam sejak 9 malam bagi membantu siasatan.

Setiausahanya Safrie Abdullah berkata, kejadian tersebut berlaku selepas pertikaman lidah antara kira-kira 40 ahli dan penyokong Pemuda Umno dengan kumpulan seangkatannya dalam DAP dan PAS.

Tambahnya, insiden ketegangan ini terjadi setelah kali ketiga Pemuda DAP membuka meja pendaftaran pemilih dan juga menambahkan keahlian parti di pasar malam itu.

“Dua kali sebelum ini, hanya Pemuda DAP yang datang berkempen, tetapi kali ini mereka ajak sama Pemuda PAS,” kata Safrie, yang tidak hadir di situ kerana turut bertugas di DUN Manek Urai yang menghadapi pilihanraya kecil, Isnin ini.

“Mereka bukan ahli Suruhanjaya pilihanraya (SPR) untuk melancarkan kempen tersebut. Saya juga dimaklumkan mereka tidak mendapat kebenaran dari pengerusi jawatankuasa taman dan persatuan penjaja.

"(Lagipun,) Pemuda Umno memberitahu mereka, kawasan ini untuk pasar malam dan bukannya untuk melancarkan kempen menambahkan keahlian parti."

Sementara Naib Ketua Pemuda Umno Bukit Katil, Jailani Khamis berkata beliau “tidak tahu” pihak mana yang memecahkan meja tersebut tetapi dimaklumkan ia memang dirosakkan.

Beliau juga menafikan memaki-hamun kepada pemimpin Pemuda PAS tetapi mengakui berbuat demikian kepada pemimpin Pemuda DAP.

“Saya beritahu pemimpin DAP, ini kawasan pasar malam mengapa buat ceramah politik dan berkempen menambah ahli menggunakan logo suruhanjaya pilihanraya (SPR),” kata Jailani ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau juga menafikan ahli-ahli Pemuda Umno memaki-hamun polis dan kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah seperti didakwa Ketua Penerangan PAS negeri Sofi Wahab hari ini.

Mengulas kecederaan ADUN Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong seperti didakwa PAS Melaka, Jailani berkata, ia berlaku kerana wakil rakyat berkenaan menyorok bawah meja kerana ketakutan ketika kekecohan itu berlaku.

Wakil rakyat DAP itu terluka akibat terkena batu di bawah meja itu, kata Jailani.

Mencerita lebih lanjut insiden tersebut, Jailani berkata, pada mulanya Pemuda Umno telah mengarahkan Pemuda PAS dan DAP supaya tidak meneruskan kempen tersebut yang bermula sejak petang.

Bagaimanapun, menurutnya, mereka enggan meninggalkan tempat itu dan membuat provokasi dan lantaran itu tercetuslah pertikaman lidah antara dua kumpulan tersebut.

“Tetapi ahli Pemuda DAP marah kepada Pemuda Umno, lalu kita mengeluarkan kata-kata kesat menyebabkan mereka (DAP) pula marah kepada kita. Kita pun marah mereka pula,” katanya.

Dihubungi dari Kelantan, Safrie berkata, beliau menerima pesanan melalui SMS daripada ahli Pemuda Umno yang berada di tempat kejadian sebelum Maghrib tentang kempen pendaftaran DAP dan PAS di situ.

Beliau kemudiannya meminta ahli pergerakan itu ke tempat berkenaan untuk memantau keadaan tetapi jangan mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang.

Menurutnya lagi, pemergian ahli Pemuda Umno itu bukan untuk bergaduh tetapi mahu menunjukkan kepada pembangkang bahawa “penyokong Pemuda Umno lebih ramai daripada mereka”.

"Saya beritahu kepada ahli-ahli Pemuda Umno supaya menghubungi pihak polis jika mereka memulakan kekacauan," katanya.

Akibat insiden ini, pemimpin-pemimpin DAP dan PAS membuat lapan aduan polis di balai Banda Kaba terhadap Pemuda Umno.

Sumber : Malaysiakini
Nota : Berita ini susulan dari berita ini

Designed by - AMK TANGGA BATU