AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami
Showing posts with label Polis. Show all posts
Showing posts with label Polis. Show all posts

24 August 2009

RM200 Juta Tawan Kedah & Selangor..!

Pada 15 Februari 2009, Raja Petra menulis tentang serangan BN terhadap Perak, Kedah dan Selangor. (disini). Lima ADUN Pakatan Rakyat di Kedah telah pun berjumpa dengan pemimpin tinggi Umno dan berjanji akan melompat keluar Pakatan Rakyat sebaik saja Barisan Nasional mempunyai jumlah yang cukup untuk mengambil alih kerajaan di Kedah. RM 100 juta telah diperuntukkan untuk ‘Projek Tawan Kedah” ini dan mereka yang melompat akan mendapat ganjaran yang lumayan.

Di Selangor, Hassan Ali telahpun dijanjikan jawatan Menteri Besar sekiranya dia dapat meyakinkan cukup ADUN untuk menyeberang. Tidak diketahui berapa juta pula yang telah dijanjikan. Setakat ini, dia mempunyai hanya dua dari Pas dan dua lagi dari PKR yang bersetuju menyertainya. Dan dia memerlukan beberapa ADUN lagi untuk menjayakan perancangannya.

Semua ini berkaitan dengan wang dan kuasa. Hasan Ali mahu menjadi Menteri Besar Selangor sejak tahun 1999 lagi. Masalahnya, pada tahun 1999, pembangkang tidak menang di Selangor. Dia masih mahu menjadi Menteri Besar dan kalau diperlukan menyeberang ke Barisan Nasional dengan penyokong yang cukup untuk menubuhkan kerajaan baru, dia akan melakukannya asalkan dia menjadi Menteri Besar.

Malah, Hee Yit Foong, ADUN Jelapang yang berada dalam DAP sejak 20 tahun lalu, melompat kerana wang. Setakat ini, dia telah menerima RM15 juta dari Vincent Tan. RM10 juta lagi akan dibayar apabila semuanya selesai. Dia memerlukan wang untuk membayar kembali hutang-hutang suaminya kerana judi.

Keadaan ini juga berlaku terhadap Lee Lam Thye yang dipaksa meninggalkan DAP supaya dia dapat melangsaikan hutang isterinya kerana judi. Barisan Nasional membantu membayar hutang isterinya, sebaik saja dia meninggalkan kem pembangkang dan mula menyokong kerajaan.

Apabila kami memberitahu Pakatan Rakyat Perak akan tumbang, mereka memberitahu bahawa keadaan terkawal. Sekarang kami memberitahu mereka bahawa Kedah dan Selangor juga berada dalam keadaan kritikal dan mereka perlu melakukan sesuatu. Jangan beritahu kami, bahawa semuanya dalam keadaan terkawal…kemudian dalam beberapa minggu kemudian, dua negeri ini jatuh seperti Perak.

Barisan Nasional telah memperuntukkan RM 200 juta untuk menawan kembali Kedah dan Selangor. Dan mereka akan berbuat apa saja..hatta melanggar undang-undang atau perlembagaan. “Kejayaan” mereka menawan kembali Perak dengan bantuan polis, mahkamah dan segala jentera kerajaan, menyebabkan mereka semakin ghairah untuk menawan Kedah dan Selangor.

Sekarang, Radhi sudah menjadi calon ADUN Bebas, Lim Soo Nee juga sudah hilang. Kalau Lim Soo Nee juga menjadi ADUN Bebas, BN hanya memerlukan tiga lagi untuk menumbangkan kerajaan PR Kedah. Adakah ini mustahil? Tidak.

Tiga ADUN tersebut sudahpun dikenalpasti. Kepimpinan Negeri pun dah tahu. Tetapi, kadang-kadang pemimpin tak mahu percaya. Tambahan pula kalau dikatakan ADUN Pas yang akan melompat, sudah pasti ramai orang Pas akan melompat mengatakan mereka sudah dididik sepenuhnya. Tak mungkin ADUN Pas akan melompat.

Artikel asal Oleh RPK, terjemahan oleh MSK

admin-kes froggy menular lagi sama seperti wabak H1N1....ada pemimpin umngok telah bersabda"tiada gunanya kita memerintah malaysia,jika kita tidak dapat tawan/memerintah Selangor..."Ye ker,Selangor begitu penting bagi umngok???Negeri Selangor banyak sumber kewangan,berprestij.Duit negeri akan mereka ratah/melapah seperti anjing lapar ketika dikuasai oleh mereka dan kroni mereka!Nak harap Melaka...hampeh!Dok nak perabih duit pusat adalah...sibuk dok beli ini,beli itu,nak buat ini,nak buat itu....hutang negeri melimpah-ruah mcm larva gunung berapi.Nak harap Pahang...dulu bolehlah sumber balak banyak...laa ni dah togel dan terang tanah di buatnya...10tahun lagi habih laa tu...Nak harap Trengganu,minyak pun tinggal ciput jer lagi....tu yg dok sibuk nak rampas Kelantan,minyak banyak lagi.Dok tipu rakyat Kelantan selama 35 tahun,tak bayar royalti minyak!Nak harap Johor,tanah dah banyak tergadai kat Singapura,sampai Pulau Batu Putih pun tergadai dan tidak dapat dipertahankan.Padahal sudah beratus tahun memang hak mutlak kerajaan Melayu Johor,inikan pula tanah besar!!!!Itulah pemimpin umngok yg rakus merompak hasil sumber negeri.Itu belum cerita pasal sumber Sabah/Serawak yg berpuluh-puluh tahun kaut untung sampai berbilion-bilion!

22 August 2009

Kit Siang Kepada SPRM: Mengapa Takut Siasat Muhyiddin?

Penasihat DAP Lim Kit Siang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjelaskan mengapa tiada siasatan dibuat terhadap Timbalan Presiden Umno Muhyiddn Yassin yang menyalahguna helikopter tentera untuk menghadiri acara Umno.

Sebuah helikopter Tentera Udara yang membawa Muhyiddin dilaporkan terpaksa mendarat cemas di Tuaran, Sabah. Muhyiddin dilaporkan mengguna helikopter itu untuk menghadiri mesyuarat Umno di Sabah.

Sehubungan itu, Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat memfailkan aduan ke SPRM Johor.

Di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat, SPRM mengadakan operasi besar-besaran menyiasat wakil-wakil rakyat PKR, PAS dan DAP, sehingga membawa kepada kematian seorang setiausaha politik Teoh Beng Hock.

Kit Siang berkata ketiadaan tindakan keatas Muhyiddin menunjukkan SPRM adalah alat Umno-BN dan mengamalkan sikap berat-sebelah dalam siasatan mereka.

Ahli politik veteran turut merujuk kepada kes bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Ramli Yusoff yang didakwa kerana menggunakan helikopter polis untuk tujuan bukan rasmi. Meskipun Ramli dibebaskan dari sebarang tuduhan, namun pihak pendakwararaya menunjukkan kesungguhan untuk mendakwa beliau dan memfailkan rayuan.

"Saya mahu tanya SPRM mengapa ia mengamalkan sikap berat-sebelah kerana belum lagi memulakan siasatan keatas dakwaan bahawa Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin telah menyalahguna kedudukannya dengan menggunakan helikopter tentera untuk merasmikan mesyuarat Umno di Sabah minggu lalu walhal ia tidak mempunyai kaitan dengan tugas-tugas rasmi beliau," kata Kit Siang.

"Jika Ramli didakwa kerana menyalahguna helikopter Cessna Caravan milik polis untuk tugas-tugas bukan rasmi, mengapa Muhyiddin tidak didakwa kerana menyalahguna helikopter tentera untuk tujuan yang tidak kena-mengena dengan tugasnya sebagai TPM mahupun Menteri Pendidikan. Apakah ada satu undang-undang untuk Menteri Kabinet Umno dan satu undang-undang untuk orang-orang kecil?" soal Kit Siang.

Sumber : tvantara

Gobala: Polis Semakin Melampau

Ahli Parliman Padang Serai N. Gobalakrishnan berkata polis semakin melampaui batas apabila menggunakan kekerasan ke atas seorang Ahli Parlimen sewaktu penamaan calon Dun N11 Permatang Pasir.

Gobala dalam sidang medianya berakata, beliau bukan sahaja dipukul polis malah badan berkuasa berkenaan memotong talipinggang yang dipakainya untuk melondehkan seluar beliau.

“Polis menanggalkan seluar saya, bayangkan saya ahli parlimen dan polis menanggalkan seluar saya dan mengambil gambar. Ketika saya menjerit supaya mereka berhenti melakukannya tangan saya dipijak.

“Saya percaya mereka menggunakan pisau untuk memotongnya, apakah motif mereka melakukannya. Pada saya mereka menangkap gambar saya untuk digunakan dalam pilihanraya akan datang,” katanya.

Gobala menafikan sekeras-kerasnya dakwaan stesen televisyen pro kerajaan yang menyatakan bahawa beliau bersalah kerana meyerang polis.

“Apa yang berlaku pada saya adalah saya yang diserang, apa yang mereka tunjuk di televisyen seorang lelaki berdiri di belakang saya. Polis menahan saya dan berjalan bersama, terdapat seorang polis beruniform di belakang saya menendang saya dan saya mempertahankan diri,"katanya.

Gobala berkata, beliau kemudiannya dijatuhkan dan dipijak anggota polis di bahagian bahu dan belakang badan sebelum menggarinya.

Menurutnya, sekiranya beliau tidak diselamatkan oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor Ronnie Liu yang meredakan keadaan, beliau yakin akan menimpa nasib yang sama seperti Setiusaha Politik Kerajaan Negeri Selangor Teoh Beng Hock.

Menurutnya, kejadian di hari penamaan calon itu telah dirancang Ketua Polis Pulau Pinang Ayub Yaakob.

Menurutnya, laporan polis telah dibuat berhubung kejadian berkenaan namun tiada sebarang kenyataan diambil oleh polis.

Gobala mempertikaikan kenyataan Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Tun Hussein yang meminta Ketua Polis Negera mengambil tindakan terhadapnya kerana kononnya beliau bersalah sedang tiada sebarang siasatan dilakukan.

Beliau turut menempelak kenyataan Ayub yang menyatakan beliau sengaja mencari publisiti murahan.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku pada saya pada hari itu, disaksikan ribuan orang. Saya percaya semua perkara itu dirancang oleh polis Pulau Pinang di ketuai oleh Ketua Polis Pulau Pinang Ayub Yaakob.

“Saya telah ditahan lebih dari 25 kali, saya tidak perlu publisiti murahan. Tidak perlu memberikan 30 hingga 40 orang anggota polis menyerang, mencederakan saya dan menendang saya dan memalukan saya sehingga di masukkan ke wad selama empat hari,” katanya.

Menurutnya, walau apa pun cara dilakukan Umno-BN beliau dan Pakatan Rakyat tidak akan gentar dan tetap mempertahankan perjuangan mereka.

Sementara itu, peguamnya R.S.N Rayer berkata, pihaknya akan mengemukakan saman dalam tempoh terdekat kepada polis berhubung kejadian berkenaan.

Beliau menyifatkan tindakan polis ini sebagai berat sebelah kerana hanya menahan Ketua Pemuda MIC T Mohan tidak sampai sejam kerana menganjurkan perhimpunan haram sedangkan Gobala yang melaungkan reformasi ditahan, dilondehkan dan dipukul sehingga cedera.

Sumber : tvantara

Dun N11: Umno-BN Kian Terdesak Raih Sokongan Pengundi

Umno-BN semakin terdesak untuk mendapat kemenangan dalam pilihan raya kecil Dun N11 Permatang Pasir mula menggunakan taktik kotor bagi meraih sokongan rakyat di sini.

Ketua Wanita Parti Keadialan Rakyat Zuraida Kamaruddin berkata, Umno-BN mengedarkan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan kepada pengundi di sini.

“Kita dapati pengundi-pengundi di Permatang Pasir telah diugut dengan SMS yang menfitnah dan memburuk-burukkan Pakatan Rakyat terutamanya pemipin Pas iaitu Nik Aziz dan Abdul Hadi.

“SMS ini diterima dari nombor 63660 bermakna pihak lawan kita yang mendapat maklumat melaui pusat telefon dan menggunakan nombor ini untuk menghantar SMS yang mengugut, menfitnah dan memburuk-burukan Pakatan Rakyat khususnya Pas agar pengundi tidak menyokong calon Pas,” katanya pada siding media di Yayasan Aman hari ini.

Dalam perkembangan lain, Zuraida turut mendedahkan kejayaan jentera pilihan raya Wanita PKR Permatag Pasir menjejaki lima pengundi hantu di kawasan Dun N11.

Katanya, satu laporan polis telah dibuat berhubung perkata ini. Katanya, lebih banyak laporan akan dibuat sekiranya jentera berkenaan berjaya mengesan dan membuktikan kewujudan pengundi hantu.

“Dalam senarai pemilih yang kita dapat di alamat yang sama kita dapati ada lima lagi orang lain yang mana Teow Kheng Lam tidak pernah menyewakan bilik di rumahnya kepada nama-nama yang ditemui,” katanya.

Menurutnya, Kheng Lam yang telah mendiami rumah berkenaan di Taman Penanti mengakui tidak pernah ada kewujudan lima individu yang tertera dalam senarai Daftar Pengundi SPR.

Katanya, lebih banyak laporan polis akan dibuat dalam tempoh terdekat berikutan lebih banyak pengundi hantu di kesan di beberapa kawasan di Permatang Pasir.

Sementara itu, Zuiraida turut menafikan dakwaan bahawa Pakatan Rakyat bertanggungjawab terhadap pengedaran wang palsu kepada pengundi di kawasan Dun N11 yang tertulis nota ‘tolong bagi kita peluang sekali lagi’.

“Ini bukan kerja Pakatan Rakyat dan kita tidak pernah membuat kerja mencetak wang palsu dan mengedarkan kepada pengundi. Ini adalah satu fitnah perbuatan jahat untuk membuat pengundi-pengundi menyangka Pakatan Rakyat cuba mengedarkan wang kepada pengundi,” katanya.

Zuraida berkata, Wanita PKR akan menggunakan sepenuhnya keberkataan bulan Ramadhan untuk mendekati para pengundi wanita di Dun N11.

Zuraida turut menyatakan kekecewaan di atas sikap calon BN Rohaizat Othman yang dikatakan menafikan beliau mempunyai isteri kedua yang dikenali sebagai ‘Hafizah’.

Katanya, sekitanya benar, Rohaizat seharusnya tidak menganiaya isterinya dengan menafikan perkahwinan berkenaan.

Sumber : tvantara

Azmin Cabar Muhyiddin Dan Zahid Hamidi Berdebat

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Azmin Ali mencabar Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang Datok Zahid Hamidi untuk mengadakan debat terbuka.

Azmin dalam siri penerangan rakyat menawarkan diri untuk berdebat dengan kedua-dua pimpinan Umno-BN ini di Permatang Pasir dengan debat bertajuk Siapa Pengkhianat Melayu.

“Saya ada empat hari lagi, saya minta Muhyiddin dan Zahid jangan berselindung di sebalik Utusan Malaysia dan TV3, kalau kamu anak jantan, kalau kamu pejuang Melayu mari adakan debat terbuka di Permatang Pasir bertajuk Siapa Pengkhianat Melayu,” katanya.

Di hadapan hampir seribu hadirin di Kubang Semang, Azmin berkata jika dua pemimpin Umno itu enggan terima cabaran ini, rakyat diminta bangkit membawa prinsip perubahan dengan memberi sokongan kepada calon yang dikemukakan Pakatan Rakyat, Salleh Man Mat Aji.

Azmin dalam sesi penerangannya mengumumkan bahawa pengkhianat sebenar kepada orang Melayu adalah Umno-BN yang mengadaikan tanah milik orang Melayu di Johor.

Bagaimanapun Muhyiddin dikatakan bersikap defensif dengan menyalahkan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad di atas tindakan berkenaan.

Menurut Azmin, Muhyiddin dalam ceramahnya kepada rakyat di Permatang Pasir mengatakan Tun

Mahathir mengarahkan beliau berbuat demikian setelah diugut Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yu untuk melancarkan perang sekiranya tuntutan beliau ditolak.

Azmin berkata, pihaknya sedang bersiap sedia mengumpulkan segala dokumen bagi membongkarkan siapa sebenarnya pengkhianat Melayu.

“Bagaimana pemimpin Umno boleh buat keputusan gadai tanah Melayu kepada Singapura semata-mata kerana Lee Kuan Yu. Di mana maruah kita sebagai Melayu di mana kedaulatan kita sebagai rakyat Malaysia. Le Kuan Yu ugut tak bagi air aku isytihar perang, menggegar kepala lutut,” katanya.

“Saya beri amaran kepada Muhyiddin nak perang cakap nak perang kita akan londehkan siapa Muhyiddin sebenarnya dalam Umno,” katanya.

Dalam pada itu juga, Azmin mencabar polis untuk menyiasat pertemuan tertutup Menteri Pertahanan Datuk Zahid Hamidi bersama menteri Pertahanan Israel.

Beliau meminta Zahid memberikan jawapan apakah hak beliau untuk mengadakan pertemuan dengan penjajah bumi Palestin itu dan apakah agenda yang dibincangkan mereka.

“Orang ini kini menjadi Ketua Perhubungan Umno Pulau Pinang. Bagi saya ketua pengkhianat kepada umat Islam. Ketua pengkhianat kepada orang Melayu adalah yang bersekongkol dengan kerajaan Yahudi Israel,” katanya.

Azmin dalam ucapan beliau juga menyentuh serangan terancang Umno-BN terhadap kerajaan Pakatan Rakyat. Menurutnya, BN melampaui batas apabila rakyat biasa bukan sahaja mati dalam tahanan polis malahan kini mati dalam tahanan SPRM.

“Sudah melampau, sekarang mereka menggunakan SPRM untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan. Kalau dulu SPRM digunakan untuk perangi rasuah kini SPRM digunakan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat,” katanya.

Sumber : tvantara

Kes Teoh: Surat misteri Khir-SPRM dibawa ke balai

Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam hari ini membuat laporan di balai polis Brickfields berkaitan surat misteri yang muncul Rabu lalu di inkues kematian Teoh Beng Huat.

Manikavasagam berkata, beliau juga menerima salinan surat tersebut, yang mendakwa wujud perbuatan rasuah antara seorang pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

“Kandungan surat tersebut menyatakan terdapat unsur-unsur penyelewengan salahlaku dan kegiatan rasuah oleh pegawai atasan SPRM Selangor,” dakwanya dalam laporan polis berkenaan.

“Saya percaya surat ini ditulis oleh orang dalam SPRM kerana dia kelihatan mengetahui secara terperinci mengenai apa yang berlaku,” katanya kepada wartawan selepas membuat laporan berkenaan pagi ini.

Dakwaan dalam surat berkenaan antara lain mengaitkan seorang pegawai kanan SPRM terlibat dalam usaha memulakan siasatan ke atas pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat Selangor.

Surat yang ditulis dalam bahasa Malaysia itu juga menyebut, pegawai SPRM itu telah menyoal-siasat Teoh pada hari kematian pembantu politik berkenaan.

Manikavasagam juga berkata laporan polis hari ini dibuat atas kesedarannya sendiri tanpa menerima arahan daripada pemimpin-pemimpin PKR.

Surat tersebut dialamatkan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; dan salinanya dihantar kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Manikavasagam, setiausaha perhubungan PAS Selangor dan beberapa pihak lagi, termasuk akhbar Suara Keadilan dan Sinar Harian.

Dihubungi media

Apabila ditanya, beliau berkata tiada apa-apa perbincangan dibuat dengan mana-mana pihak yang dikatakan menerima surat berkenaan.

“Saya tidak bercakap dengan sesiapa mengenai surat ini. Saya tidak sebarkan surat ini, dan saya tidak tahu bagaimana surat ini sampai ke tangan media,” katanya lagi.

Beliau telah mengedarkan salinan surat bertarikh 5 Ogos itu kepada media hari ini.

Jelasnya lagi, beliau menerima surat sepanjang lima halaman itu pada 14 Ogos lalu di pusat perkhidmatannya di Kapar, Selangor.

Jelasnya, sebaik menerima surat berkenaan, beliau hanya membaca beberapa bahagian kandungannya tetapi mengenepikannya kerana khuatir ianya mungkin surat layang seperti yang pernah diterima olehnya sebelum ini berkaitan siasatan ke atas kematian VP Sujatha.

Manikavasagam juga berkata, pada awalnya beliau tidak membaca surat berkenaan sepenuhnya kerana ia dialamatkan kepada Khalid.

“Saya tidak baca kerana ia dialamatkan kepada menteri besar. Saya cuma baca sebahagian, kemudian saya simpan,” katanya.

Beliau bagaimanapun meneliti kembali kandungan surat berkenaan semalam apabila ditanya oleh beberapa orang wartawan, sama ada beliau menerima surat tersebut.

Jelasnya lagi, Malaysiakini, Malay Mail dan The Star telah menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan mengenai surat misteri itu.

“Tapi setelah saya baca kandungan surat ini (sepenuhnya, semalam), saya rasa perlu buat laporan polis kerana dakwaan ini serius,” katanya lagi.
Sumber : Malaysiakini

20 August 2009

Sikap SPRM Dan Polis Jadikan Malaysia seperti Afrika

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan pemerintah menggunakan agensi kerajaan menutup gejala rasuah di kalangan pemimpin Umno-BN menyebabkan Malaysia tidak ubah seperti negara dunia keempat benua Afrika.

Beliau mepersoalkan tindakan SPRM dan polis yang terang-terangan menutup sebelah mata terhadap jenayah rasuah yang dilakukan pimpinan kerajaan adalah amat menghampakan.

Menurutnya lagi, pelbagai kes yang dilakukan Umno-BN antaranya komisen RM400juta pembelian kapal selam Scorpene dan isu istana kraton jutaan ringgit milik mantan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Khir Toyo langsung tidak disiasat.

“Apa yang penting dan perlu diingat mengapa Malaysia di tahun 2009 jadi macam Afrika hulu? Mahu tangkap suka-suka, mahu tendang suka-suka, mereka ingat negeri ini negeri bapa mereka, ini negeri kita bukan negeri bapa mereka.

“Apa ini? Ia menjadi bahan ketawa polis berperangai seperti ini, SPRM seperti ini, ia jadi bahan ketawa. Berbilion ringgit dicuri tapi semuanya ditutup dan tidak perlu disiasat,” katanya pada Majlis Penerangan Rakyat di Permatang Pasir semalam.

Anwar berkata rahsia kepada pembentukan sebuah negara bersatu, harmoni dan berwibawa adalah urustadbir yang baik, mesra rakyat dan dipercayai mampu berubah dan bekerja dengan lebih baik.

Umno-BN sebalik berubah ganas dan menggunakan kekerasan bagi menghadapi kritikan. Menurut pemimpin reformasi itu lagi, Umno-BN menggelarnya pengkhianat Melayu kerana ia ketandusan alasan untuk mengalih perhatian rakyat dari kematian Setiausaha Politik Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock.

“Saya berjuang untuk Melayu, Cina, India dan seluruh rakyat Malaysia. Cara Umno sangat kotor buat poster saya anti Melayu supaya saya jadi seorang Melayu sebenar. Saya tidak perlu buktikan kepada Umno biar orang Melayu yang tentukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini jauh lebih baik berbanding kerajaan terdahulu kerana berjaya membantu golongan miskin tegar di Kepala Batas yang dahulunya merupakan kawasan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Anwar berkata kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dapat dijayakan sebagai kerajaan rakyat hanya sekiranya pengundi memilih wakil-wakil rakyat yang berwibawa, berani untuk tampil ke hadapan dan berhujah, serta yang terutama sekali berintegriti tinggi.

Sumber : tvantara

Tiong: Saya bukan mesin ATM BN

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing dikenali sebagai 'Mesin ATM BN' kerana reputasinya yang dikenali amat murah hati untuk memberi bantuan kepada rakan-rakannya dalam BN.

Minggu lalu, pengerusi Jawatankuasa Penyokong Kerajaan (BBC) itu membuat pendedahan menggemparkan apabila mendakwa menyumbang RM10 juta kepada Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat untuk membiayai aktiviti parti tersebut.

Ong bagaimanapun menafikan dakwaan Tiong dan membuat laporan polis mengenainya minggu lalu. Beliau juga mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang Tiong.

Apabila dikecam oleh Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun, Tiong yang juga bendahara Parti Demokratik Progresif Sarawak(SPDP) mendakwa Chew juga turut menerima sumbangan daripadanya.

Semalam, Tiong mendedahkan kepada pihak media bahawa anak syarikatnya hanya mengenakan kadar sewa RM1 bagi kesemua 32 unit yang menempatkan kolej KTAR milik MCA di Penampang, Sabah.

Bagaimanapun, ketika ditemubual oleh Malaysiakini di pejabatnya di Petaling Jaya kelmarin, Tiong menolak tanggapan tersebut bahawa beliau menjadi 'mesin ATM BN"..

"Jangan cakap macam tu... kamu tahu tak berapa banyak sekolah Cina yang saya bantu? Mesin ATM apa?" kata Tiong.

Tiong berkata, sumbangan itu dibuat atas dasar solidariti bagi membantu komuniti Cina dan beliau tidak mengharapkan apa-apa balasan.

"Saya mahu lihat parti-parti Cina supaya kuat dan bersatu supaya kita dapat turun ke bawah untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Jelasnya lagi, sumbangan beliau bukan hanya terhad kepada parti Cina sahaja.

"Berapa banyak biasiswa sudah saya beri kepada pelajar? Berapa banyak orang yang sudah saya bantu? Awak boleh tanya Vicky (bekas ketua pemuda MIC kebangsaan S.A.Vikneswaran) Tanya dia adakah saya ada beri sokongan kepada dia? Dia pun sudah tidak ada (jawatan) sekarang."

(Ketika dihubungi kemudiannya, Vigneswaran berkata Tiong telah menyumbang RM1 juta kepada Universiti AIMST milik MIC beberapa tahun lalu. Beliau juga telah menyumbang kepada beberapa buah kuil).

"Adakah dengan memberi sumbangan, saya ini meminta ijazah kedoktoran (daripada Universiti Tunku Abdul Rahman?," soal Tiong lagi.

Jelasnya lagi, sumbangan tersebut adalah untuk mengekalkan kerjasama di antara parti komponen BN dan juga untuk meraih sokongan daripada pengundi.

"Ini penting untuk kekalkan kekuatan BN. Tidak ada maknanya jika kita kuat di Sabah dan Sarawak tapi yang lain tidak boleh mengekalkan (kekuatan) di Semenanjung.

"Kita mesti tunjukkan kepada rakyat bahawa kita sudah berubah, bukannya hanya tahu bercakap, mengorek isu-isu, dan menggorengnya di media untuk mendapat kepentingan politik seperti parti pembangkang. Itu salah," katanya lagi.

"Kalaulah kami terlebih membuat tuntutan sekalipun, ianya boleh 'di-adjust-kan' pada panel terakhir. Jadi apakah isu sebenarnya?," katanya merujuk kepada siasatan ke atas PKFZ.

Sumber : Malaysiakini

19 August 2009

Rakaman percakapan Teoh bakal dikemuka di mahkamah

Rakaman percakapan Teoh Beng Hock yang diambil pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal dikemukakan di Mahkamah Koroner bagi membantu siasatan berhubung kematian setiausaha politik itu Julai lalu.

Koroner Azmil Muntapha Abas yang mendengar prosiding inkues itu akan membacanya dahulu esok sebelum memutuskan sama ada ia relevan atau tidak untuk diserahkan kepada semua pihak yang turut membantunya mengendalikan kes itu.

Peguam yang mewakili kerajaan Malaysia Tan Hock Chuan sebelum itu mencadangkan supaya rakaman percakapan Teoh diserahkan kepada mahkamah dan cadangan itu disokong Pengarah Perundangan SPRM Datuk Abdul Razak Musa, lapor Bernama.

Abdul Razak berkata rakaman itu boleh menunjukkan bagaimana tahap pemikiran dan mental Teoh sepanjang siasatan tetapi peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh membantah kerana pada pendapatnya keterangan itu tidak banyak membantu dan ia tidak akan menunjukkan keadaan sebenar Teoh sebelum meninggal dunia.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salahguna wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Pada prosiding hari ini, Pemangku Penguasa Kanan SPRM Mohd Anuar Ismail, 32, memberitahu mahkamah bahawa rakaman percakapan Teoh dibuat pada 16 Julai lalu berhubung siasatan dakwaan salahguna peruntukan ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.

Mohd Anuar berkata rakaman itu dibuat antara pukul 1.30 pagi dan 3.30 pagi pada hari itu oleh pegawai SPRM Mohd Nadzri Ibrahim dan beliau sempat memerhatikan keadaan itu antara dua dan tiga minit.

Ketika ditanya Tan sama ada beliau perasan ada apa-apa masalah ketika rakaman dibuat, Mohd Anuar berkata: "Saya ada bertanya pada Mohd Nadzri dan Teoh jika terdapat apa-apa masalah yang timbul semasa rakam percakapan. Mohd Nadzri memaklumkan tiada apa-apa masalah manakala Teoh berdiam diri sahaja."

Mohd Anuar berkata sepanjang Teoh di pejabat SPRM, beliau langsung tidak digari dan rakaman percakapan itu juga dibuat dalam keadaan pintu bilik terbuka.

Katanya selepas menjenguk Teoh dan Nadzri, beliau ke tandas pada pukul 3.30 pagi dan membuat keputusan untuk tidur di bilik solat yang berdekatan dengan tandas sehingga pukul 5 pagi.

Semasa menceritakan mengenai pertemuannya dengan Teoh, Mohd Anuar berkata ia bermula dengan penyiasatannya berhubung dakwaan salahguna peruntukan itu dan Teoh merupakan orang yang bertanggungjawab menguruskan segala dokumen tuntutan Ean.

"Di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) saya dan empat anggota SPRM berjumpa dengan Teoh dan saya meminta beliau mengeluarkan dokumen tuntutan bagi ADUN Seri Kembangan untuk 2008 dan 2009. Beliau akur dengan permintaan saya dan dia letakkan dokumen di bilik mesyuarat.

"Kami membuat semakan di bilik mesyuarat. Setelah semak YB Ean hadir ke situ bersama dengan belasan wartawan. Saya maklumkan pada YB Ean yang saya tidak selesa dengan wartawan yang ramai dan apabila lihat keadaan yang tidak mengizinkan saya turun ke bawah," katanya.

Bagaimanapun kira-kira 25 minit kemudian beliau dan anggotanya naik semula ke pejabat Teoh dan memberitahunya untuk membuat semakan di dalam CPU dan komputer riba milik Teoh.

Katanya selepas Teoh, Ean dan peguam M. Manoharan yang mewakili Teoh berbincang, komputer riba dan CPU itu disita untuk di bawa ke pejabat SPRM. Ketika itu Teoh turut menyatakan persetujuannya untuk turut serta ke pejabat SPRM.

Mohd Anuar berkata beliau tiba di pejabat SPRM kira-kira pukul 6 petang pada hari yang sama (15 Julai) dan ketika berada di pejabat, beliau melihat Teoh berjalan di bahagian pentadbiran di dalam pejabat.

"Ketika saya bertanya Teoh apa yang saya boleh bantu, Teoh berkata kepada saya yang beliau ingin menghubungi Manoharan. Saya benarkannya menghubungi Manoharan dan saya lihat dia ada bercakap dengan seseorang dalam beberapa minit dengan berkata "kamu datang atau tidak". Itu sahaja," katanya.

Ketika ditanya sama ada Manoharan tiba selepas itu, Mohd Anuar berkata: "Tidak."

Selepas itu Mohd Anuar berkata telefon Teoh dimatikan dan beliau bersama Teoh ke bilik rehat pegawai SPRM dan di situ dua pegawai SPRM telah menemuduga Teoh tentang latar belakang keluarga dan kerjanya pada pukul 6.30 petang.

Mohd Anuar berkata selepas itu pada pukul 12 malam beliau keluar dari pejabat SPRM untuk urusan peribadi dan tiba semula ke pejabat antara pukul 12.30 hingga 1 pagi.

Sepanjang tempoh beliau keluar, tidak diketahuinya siapa bersama Teoh dan ketika sampai semula ke pejabat dia tidak bertembung dengan lelaki itu.

Bagaimanapun, beliau telah dimaklumkan pegawainya bahawa Teoh sedang ditemuduga oleh dua pegawai SPRM sebelum Teoh dirakam percakapannya kira-kira pukul 2 pagi oleh Mohd Nadzri.

Perbicaraan disambung esok.

Sumber : Malaysiakini

Inkues: Pemilik cap jari gagal dikesan, kata saksi

Walaupun terdapat banyak kesan cap jari pada tingkap di tempat yang dipercayai Teoh Beng Hock terjatuh, namun tiada satupun yang boleh disahkan pemiliknya, prosiding inkues diberitahu hari ini.

Saksi forensik polis C/Insp Mazli Jusoh, 31, berkata, kesemua cap jari yang kelihatan tidak mempunyai kesan yang lengkap dan tidak cukup sifat.

Mazli berkata beliau tidak melakukan sebarang dokumentasi iaitu tidak mencatat dan merakam sebarang gambar memandangkan tiada satupun yang memenuhi kriteria, lapor Bernama.

"Dalam kes ini memang ada kesan cap jari tetapi tidak cukup sifat dan ia menunjukkan pengesahan negatif kerana sifat. Ia memerlukan sekurang-kurangnya lapan sifat (untuk pengesahan)," katanya yang dipanggil semula untuk memberi keterangan.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Katanya dalam kes ini, terdapat lebih kurang lapan garisan yang boleh dilihat pada tingkap tersebut tetapi ia tidak cukup sifat sepertimana yang ditetapkan dalam prosedur.

Mazli sebelum itu menerangkan kepada mahkamah bagaimana prosedur yang diguna pakai untuk pengecaman cap jari, dan katanya ciri-ciri garisan pada jari adalah sama dengan tapak tangan.

Ketika ditanya peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh di bahagian manakah beliau melakukan pemeriksaan, Mazli berkata: "Saya siasat pada bahagian cermin, bingkai cermin serta bahagian bawahnya.

"Dalam kes ini tidak diambil kesan cap jari yang tidak lengkap itu kerana kawasan tersebut berdebu dan berhabuk, sebab apabila diambil, kadang-kadang sifatnya hanya 50-50. Di tempat berhabuk, jalur (garisan pada jari) tidak begitu timbul," katanya.

Beliau berkata sepanjang siasatan beliau tidak pernah berbincang dengan Pakar perunding kanan perubatan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang Dr Khairul Azman Ibrahim mengenai bagaimana Teoh terjatuh.

Bagaimanapun beliau mengakui tahu bahawa kawasan tingkap itu (tempat Teoh terjatuh) digunakan oleh anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merokok.

Sementara itu ketika soal balas, Mazli kelihatan berang dengan beberapa pertanyaan Gobind terutama mengenai ketiadaan laporan pengesahan cap jari.

Mazli sebelum itu menerangkan kepada mahkamah bahawa apabila tiada sebarang cap jari yang lengkap ditemui, beliau tidak akan melakukan dokumentasi dan tiada sebarang laporan akan dicatitkan.

Jawapan beliau itu ditempelak oleh Gobind dengan menyatakan "Jika begitu kamu boleh datang ke mahkamah dan cakap apa saja, yang kamu tidak boleh sahkan langsung cap jari".

Mazli menjawab "Jika tiada (cap jari), tiadalah."

Mengenai kesan air peluh yang tidak diambil dari tingkap itu, Mazli berkata jika spesimen peluh diambil dengan cara calitan ia akan merosakkan kesan jari.

Sumber : Malaysiakini

18 August 2009

Gobala dipukul dan dikejarkan ke hospital Bukit Mertajam


Polis menahan ahli parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan membantu siasatan kerana didakwa mencetuskan kekecohan di kawasan pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Bukit Mertajam pagi ini.

Menurut Ketua Polis Negeri Datuk Ayob Yaakob, dalam insiden jam 11.30 pagi itu, ahli Majlis Tertinggi PKR itu telah mencetuskan kekecohan apabila mengingkari arahan polis supaya tidak menggunakan alat pembesar suara untuk melaungkan kata-kata berunsur provokasi, lapor Bernama.

Katanya setelah Gobalakrishnan ingkar dengan amaran polis sebanyak dua kali, seorang anggota polis menahannya tetapi beliau dan penyokongnya kemudian melawan anggota polis dan menyebabkan berlaku kekecohan.

Kekecohan itu membabitkan kira-kira 50 penyokong pakatan pembangkang yang cuba merempuh kawalan polis di pusat penamaan calon itu.

"Bagaimanapun kekecohan dapat dikawal oleh pasukan polis dan Gobalakrishnan yang mendakwa tangan kirinya patah dalam pergelutan dengan polis itu dibawa ke Hospital Bukit Mertajam dengan sebuah ambulans," kata Ayob.

Katanya terdapat juga anggota polis yang cedera dan dihantar ke hospital.

Sementara itu, sehingga jam 1.37 tengahari ini, Gobalakrishnan masih berada di Hospital Bukit Mertajam.

Seorang pemimpin AMK Pulau Pinang (Amizudin Ahmat) yang menemani Gobalakrishnan, memberitahu Malaysiakini bahawa urusan x-ray telahpun selesai.

Menurutnya, terdapat sekurang-kurangnya tujuh anggota polis di situ.

Nantikan video Gobalakrisnan menyusul, saya sempat rakamkan di tempat penamaan calon dan di hospital. * KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *


Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

Sumber : Tranungkite
Video : Malaysiakini

16 August 2009

DSAI Bidas UMNO BN Perkuda Agensi Kerajaan

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah tindakan kerajaan UMNO Barisan Nasional menggunakan agensi polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mendera pimpinan yang tidak mempunyai sebarang kesalahan.
“Kita juga rasa pimpinan UMNO dan Barisan Nasional menggunakan polis dan juga SPRM untuk mengancam dan mendera pimpinan termasuk juga yang tiada sabit atau kes sama sekali. Paling terakhir terhadap YB Anthony Loke didakwa menghina Islam padahal tidak ada perkataan yang boleh dipertanggungjawabkan pada hal itu," kata Datuk Seri Anwar.

“Kita boleh keluarkan puluhan kenyataan pimpinan UMNO yang menghina agama dan menghukum agama tidak pun disiasat dan cuba difitnah kepada pimpinan lain dan digunakan isu perkauman soal Cina soal kononnya kita, saya dan Tengku Saadi seolah menyokong DAP dan fahaman Cina dan sebagainya,” kata Anwar.

Terdahulu Anthony Loke dituduh atas dakwaan bahawa beliau telah memburukkan Kesultanan Perak dan menghina Islam sedangkan beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang berbau hasutan atau menghina Islam.

Anwar turut mengatakan bahawa beliau percaya akhbar Utusan Malaysia akan mengeluarkan kenyataan bahawa dirinya merupakan pengkhianat lagi kerana menyokong Anthony Loke.

Sumber : tvantara

15 August 2009

Penyokong Anwar pula demo bantah Muhyidin

Oleh Ali Hashim

PERMATANG PAUH, 14 Ogos: Selepas para pengikut Umno berdemonstrasi menyokong kenyataan timbalan presiden mereka, Tan Sri Muhyidin Yasin, para penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berdemostrasi hari ini bagi membantah Muhyidin.

Mereka mengadakan demonstrasi secara aman itu di hadapan Masjid Kubang Semang, Permatang Pauh selepas solat Jumaat tadi.

Demonstrasi yang disertai para penyokong Pakatan Rakyat (PR) itu diadakan bagi membantah tindakan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan Umno yang menggelarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat.

Sepanduk dengan pelbagai luahan rasa oleh penyokong-penyokong PR seperti 'Siapa Pengkhianat', 'Siapa Yang Sebenarnya Mengkhianati Bangsa' dan juga laungan takbir turut memenuhi ruang.

Demonstrasi tersebut turut disertai oleh penyokong-penyokong bukan Melayu yang turut bersimpati dengan kenyataan yang tidak sepatutnya dihemburkan oleh seorang pemimpin negara.

Walau bagaimana pun demonstrasi aman ini tidak tercalar dan tiada berlakunya kekecohan kerana tiada anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) yang datang mengganggu dan menyebabkan kekecohan.

Terdapat juga suara-suara yang berkata sekiranya ada pasukan polis atau FRU yang hadir sudah pasti keadaan aman akan menjadi kelam-kabut dan dipenuhi dengan kacau bilau sepertimana yang berlaku dalam program ceramah Mansuhkan ISA di Taman Guar Perahu, Bukit Mertajam baru-baru ini. _

Sumber : Harakahdaily

Pakatan kukuh, sebulat suara kutuk Umno hina Islam

Oleh Zulfikar Mashoor

PETALING JAYA, 14 Ogos : Bengkel Memperkukuh Pakatan Rakyat di Tropicana Goft Resort petang semalam bukan sahaja berjaya mencapai kata sepakat berhubung isu arak di Selangor, malah sebulat suara mengutuk berpuluh tindakan Umno menghina Islam sebelum ini.

Menurut Dato' Seri Anwar Ibrahim, telah banyak laporan polis dibuat berhubung kenyataan Umno menghina Islam dan sensitiviti kaum Cina di Malaysia sebelum ini,tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil ke atas pemimpin-pemimpinparti terbabit

Beliau yang juga Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR turut mempersoal tindakan Polis menyerahkan beberapa isu tersebut kepada pemimpin atasan Umno sendiri untuk tindakan susualan dan 'arahan' seterusnya.

Jelas Anwar lagi, masalah arak di Selangor, dakwaan Anthony Loke (DAP) menghina Islam serta gelaran 'pengkhianat' yang dilabelkan ke atas dirinya itu hanya sandiwara arus perdana semata mata; demi menutup salah laku Umno menghina Islam dan kaum Cina.

"Kepimpinan Umno yang hina Islam tidak pernah disiasat, sebaliknya digunakan isu perkauman, soal Cina dan saya (serta) Ustaz Hadi dilaporkan seolah-olah menyokong DAP (dan) Cina hina Islam.

Bercakap dalam sidang media yang sama Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersependapat dengan Anwar dan menyifatkan slogan 'Satu Malaysia'yang dialung-laungkan parti-parti pemerintah sekadar menutup permusuhan dalaman masing-masing dari diketahui umum.

"Apa guna kita (Pakatan Rakyat) dikatakan bersama, tetapi tidak bersatu. Itu (Masalah) Barisan Nasional yang sudah dikenali retak.

"Mereka saling bermusuhan walau pun mereka terpaksa melaungkan slogan 'Satu Malaysia'," katanya.

Penasihat DAP Lim Kit Siang turut menegaskan bahawa bengkel tersebut berjaya menyatukan suara dalam Pakatan Rakyat demi memastikan agenda perubahan terus digerakkan.

Pakatan Rakyat juga bersetuju menubuhkan beberapa sekretariat di pelbagai peringkat untuk memastikan muafakat masing-masing kian kukuh.

Peringkat Penggubalan Dasar akan diketuai bersama Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden PKR Azmin Ali dan Timbalan Pengerusi DAP Dr. Tan Sing Giaw yang mana masing-masing adalah Ketua Whip di Parlimen.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Ketua DAPSY Anthony Loke dan MKT PKR Dato' Zaid Ibrahim dipertanggungjawabkan memperkukuh Sekretariat Pakatan Rakyat di peringkat negeri dan Pusat.

Bengkel itu sebulat suara bersetuju menggunakan saluran yang betul di peringkat pusat dan negeri seandainya berlaku lagi sebarang perselisihan pendapat.

Jika satu-satu perselisihan gagal diselesaikan, maka ianya akan dirujuk terus pula pada Panel tatatertib yang dipersetujui bersama.

Terdahulu, Dato' Dr. Hasaan Ali Exco Kerajaan Negeri yang juga Pesuruhjaya Selangor berselisih faham dengan Ronnie Liu Exco Kerajaan Negeri yang juga pemimpin DAP negeri hatta diperbesar oleh media arus perdana. -azm _

Sumber : Harakahdaily

14 August 2009

Ahli Parlimen PKR terima SMS ugutan

SHAH ALAM – Ancaman bunuh dalam dunia politik kini dilihat menjadi-jadi, terbaru Gwo Burne Loh menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan daripada individu yang tidak dikenali.

Ahli Parlimen Kelana Jaya itu menerima SMS tersebut pada hari Ahad lalu ketika berada di Sri Hartamas.

“SMS itu dihantar oleh individu yang tidak saya kenali dan antara kandungannya ialah agar saya tidak ‘bermain dengan api’.

“Selain itu, individu itu turut mengaitkan beberapa pemimpin dan bekas pemimpin seperti mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Gwo Burne berkata, SMS itu turut mengecam beberapa pihak lain seperti Majlis Peguam serta pihak polis yang tidak dapat mengesannya sekiranya dibunuh.

Menurutnya, dia tidak akan tunduk dengan ugutan SMS tersebut dan akan terus menjalankan tugasnya sebagai Ahli Parlimen.

“SMS itu turut mengatakan kematian Teoh Beng Hock yang sehingga kini masih lagi belum diketahui sebab kematiannya,” katanya.

Berikutan ugutan SMS berkenaan, Gwo Burne telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Bagaimanapun, saya diminta membuat laporan polis di Balai Polis Travers berikutan saya menerima ugutan itu ketika berada di Sri Hartamas,” katanya.

Gwo Burne berkata, polis telah menerima laporannya dan akan mengambil tindakan.

Sumber : Sinar Harian

Saksi tidak periksa kesan kasut bawah tingkap

SHAH ALAM – Saksi ke-14, Deputi Superintendan, Sharul Othman Mansur, pegawai makmal forensik Bukit Aman memberitahu inkues, beliau menemui kesan seperti tapak kasut pada bahagian bawah tingkap di Tingkat 14, tempat dipercayai mendiang Teoh Beng Hock terjatuh.

“Di bahagian bawah (tingkap, gambar 50) ada kelihatan seperti kesan tapak kasut....tapi tak jelas.

“Saya arahkan pegawai ambil gambar. Ukurannya lebih kurang sembilan inci,” katanya pada prosiding hari kelapan inkues siasatan kematian Beng Hock di Mahkamah Koroner di sini, semalam.

Menurut Sharul, selepas tiga hari kejadian itu, kira-kira jam 5 petang, beliau bersama pasukan kumpulan forensik Bukit Aman ke pejabat SPRM di tingkat 14, Plaza Masalam untuk membuat pemeriksaan lanjut ke atas bilik di mana si mati tersebut memberi keterangan, disoal dan memeriksa satu tingkap di situ.

“Pemeriksaan awal dibuat pada pintu utama masuk. Kemudian bilik di mana mangsa (Beng Hock) disoal yang juga bilik mesyuarat utama SPRM,” kata Sharul.

Beliau memaklumkan Beng Hock disiasat di bilik berkenaan diberitahu kepadanya oleh seorang pegawai penyiasat SPRM, Mohd Anuar Ismail.

Sharul kemudian menjelaskan, selain bilik tersebut, beliau turut membuat pemeriksaan ke kawasan sofa di mana Beng Hock dikatakan berehat dan diberi makanan.

Selepas itu melakukan pemeriksaan di bilik percakapan mangsa dirakam tetapi tidak menemui sebarang bahan bukti.

“Saya kemudian memeriksa tingkap untuk mencari bahan bukti. Saya dapati tingkap (tingkat 14) tidak berkunci kerana pengunci tingkap telah patah dan yang tinggal hanya tapaknya,” kata Sharul.

Pada masa sama beliau menyatakan, hasil pemeriksaan itu juga beliau tidak menemui terdapat kerosakan atau calar-calar pada dinding tingkap tanda berlaku pergelutan.

Beliau menjawab satu persatu soalan Peguam Kerajaan, Tan Hock Chuan tentang hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan beliau di pejabat tersebut selepas pakar forensik melakukan siasatan awal.

Malah beliau memberitahu, tidak mengambil sebarang kesan cap jari pada kawasan tingkap berikutan telah dimaklumkan oleh pegawai penyiasat tentang pemeriksaan awal tersebut oleh pakar forensik.

Berkenaan kesan tapak kasut di bahagian bawah tingkap itu, beliau mengaku tidak memeriksa dan tidak tahu kesan tapak kasut itu milik siapa.

“Ada kamu periksa dan tahu siapa punya kesan tapak kasut itu,” Soal Hock Chuan.

“Tidak,” jawab Sharul yang turut memaklumkan kereta milik si mati dalam keadaan kemas sewaktu diperiksa pada hari yang sama.

Sharul kemudiannya yang disoal balas peguam Sreekant Pillai memaklumkan, beliau melakukan pemeriksaan secara mata kasar sahaja di bilik rakaman percakapan juga tidak menggunakan sebarang alat ketika memeriksa tingkap berikutan pemeriksaan awal yang telah dilakukan pakar forensik itu.

“Saya datang selepas tiga hari kes berlaku. Saya percaya telah berlaku pencemaran di kawasan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan tidak membuat sebarang cetakan ke atas urusan keluar masuk di pejabat SPRM pada 15 dan 16 Julai 2009.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung pagi ini.

Sumber : Sinar Harian

13 August 2009

Teoh 'mungkin diseret' sebelum mati

Saksi forensik polis dalam prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini tidak menolak kemungkinan mendiang diseret sebelum ditemui mati tertiarap di atas lantai tingkat lima Plaza Masalam, Julai lalu.

Pegawai penyiasat Cif Inspektor Mazli Jusoh (kiri), 31, dari cawangan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berkata demikian selepas ditunjukkan kesan geseran pada tapak kasut sebelah kanan mangsa yang ditemui di tempat kejadian.

"Setuju bahawa geseran bahagian tapak kasut ada implikasi yang penting?" tanya peguam pemerhati bagi kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar dan Mazli menjawab: "Setuju".

"Adakah kemungkinan si mati diseret?" tanya Malik Imtiaz lagi dan Mazli berkata:

"Tidak, kerana pada kebiasaannya kalau seseorang diseret, ia akan tidak kena pada tapak kasut, sebab kalau diseret dari belakang, dia akan tahan kaki dengan tumit."

"Tapi kalau diseret dari tepi? Ada kemungkinan?" soal Malik Imtiaz dan kali ini saksi itu menjawab: "Ada."

Mazli kemudian menjelaskan kepada koroner Azmil Muntapha Abas bahawa kesan geseran sehingga menampakkan lapisan kain yang melekat di atas tapak kasut itu bukanlah bahan asing, tetapi merupakan sebahagian daripada kasut itu sendiri.

"Bukan ia (lapisan kain itu) melekat pada kasut masa si mati jatuh?" soal koroner dan Mazli menjawab: "Tidak, kerana ia melekat di situ (atas tapak kasut) dan tidak boleh dicabut."

Bagaimanapun, saksi itu mengakui tidak membuat apa-apa pemeriksaan terhadap kesan tersebut dan berkata: "Untuk pastikan, perlu hantar balik ke kilang kasut.

"Tapi saya ada periksa kawasan kejadian dan tidak menjumpai apa-apa benda yang sepadan dengan bahan yang sama yang melekat pada kasut itu," jelasnya.

Ketika ditanya peguam pemerhati Richard Wee samada terdapat bahagian tajam di luar tingkap tingkat 14 bangunan itu yang boleh menyebabkan seluar mangsa tersangkut dan terkoyak, Mazli menjawab: "Tidak."

Mazli juga berkata beliau tidak pula menjumpai sebarang kesan gentian fabrik seluar pada bingkai tingkap di tingkat 14, yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Dalam keterangannya lagi, beliau berkata tingkap seluas hampir 0.6m, dengan ketinggian 0.9m dari aras lantai itu, boleh dilangkah keluar.

Bagaimanapun, beliau berkata hasil pemeriksaannya menunjukkan tiada kesan tapak kasut di bingkai dan cermin tingkap serta lantai di kawasan tersebut.

"Saya ada periksa kawasan itu, ia berhabuk, kalau berhabuk, dan dipijak mesti meninggalkan kesan (tapak kasut) tapi tiada kesan," katanya.

Beliau berkata hasil ujian cap jari pada bahagian tingkap itu menggunakan kaedah 'dusting' juga adalah negatif kerana keadaan tingkap yang kotor dan berhabuk.

Terdahulu pada prosiding itu, koroner ditunjukkan barang-barang kes yang diperiksa dan diambil pasukan forensik dari tempat kejadian termasuk seluar putih yang terkoyak di bahagian punggung dan berlumuran darah kering, kasut, tali jam dan empat calitan yang diambil di sofa dan tingkap di tingkat 14 pejabat SPRM.

Dalam keterangannya, Mazli memberitahu beliau telah memeriksa kawasan tempat kejadian pada 16 Julai dan menemui sebatang gigi berhampiran mayat mangsa, kesan lekukan atas lantai tempat mayat tertiarap, kesan lekukan pada bingkai tingkap serta kesan patah pada pemegang kunci tingkap di tingkat 14.

Teoh, 30, setiausaha politik pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di situ.

Sumber : Malaysiakini

Lagi siswa kes 'puaka' UM ditahan

Seorang lagi pelajar Universiti Malaya yang dikehendaki polis berhubung siasatan kes menconteng perkataan "bini puaka" di dewan kampus itu berjaya ditahan semalam.

Muhammad Aizat Roslan, pelajar jurusan syariah Akademi Pengajian Islam (API), ditangkap di sebuah kafeteria akademi kira-kira 1 tengah hari semalam.

Sekurang-kurangnya tiga anggota polis berpakaian biasa - dipercayai dari ibu pejabat polis daerah Brickfields - kelihatan menahan, dan kemudian menggari, mahasiswa tahun dua itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Zulhazmi Shariff – peguam Muhammad Aizat – mengesahkan bahawa pelajar API itu ditahan reman selama dua hari.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

"Selalunya mengikut proses undang-undang, ia bermula pada hari tangkapan. Sepatutnya esok beliau akan dibebaskan," katanya, sambil menambah ibu bapa Muhammad Aizat turut hadir di mahkamah itu pagi tadi.

Zulhazmi berkata, anak guamnya ditahan mengikut Seksyen 427 dan 436 Kanun Keseksaan seperti dua tertuduh sebelum ini.

Menurutnya lagi, polis mengemukakan enam alasan dalam permohonan perintah reman, antaranya untuk membantu siasatan kes contengan tersebut dan untuk mendapat maklumat lanjut mengenai seorang lagi suspek yang masih lagi bebas, Muhammad Saufi Jelani.

Selain itu, kata peguam itu, kegagalan Muhammad Aizat menunjukkan kad pengenalan sewaktu ditahan juga menjadi alasan polis untuk mendapatkan perintah reman pagi tadi.

"Mereka hendak pastikan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sama ada dia rakyat Malaysia, kerana tidak ada IC sewaktu ditahan," katanya.

Muhammad Aizat ditahan reman di lokap ibu pejabat polis Brickfields.

Pelajar jurusan Syariah itu, yang berasal dari Gombak, antara tiga yang dikehendaki polis berhubung beberapa pertuduhan, termasuk cubaan membakar di dewan kuliah utama API menjelang satu program yang dihadiri isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Shazni Munir Mohd Ithnin, presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM, ditahan 17 Julai lalu berhubung insiden awal pagi 24 Jun lepas.

Sementara dua lagi - Mohd Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli - dihadapkan ke mahkamah pada 30 Jun lalu.

Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyan 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan dan akan dibicarakan 7 Disember depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sumber : Malaysiakini

Kredibiliti LPK dipertikaikan

SHAH ALAM - Exco Selangor, Dr A Xavier Jayakumar semalam membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuntutan tidak munasabah RM500 juta hingga RM1 bilion oleh syarikat pemaju utama Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB).

Katanya, pembaziran wang rakyat yang disebabkan oleh pelbagai tuntutan tidak munasabah oleh KDSB turut memperlihatkan kegagalan Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) untuk menguruskan pentadbiran zon bebas itu dengan mantap dan telus.

“Saya harap laporan yang dibuat terhadap SPRM semalam, perlu diambil tindakan segera tanpa sebarang birokrasi,” katanya kepada pada sidang media di pejabat SPRM di sini.

Beliau berkata, penyelewengan yang didedahkan Pasukan Petugas Khas itu menimbulkan persoalan hubungkait di antara kedua-dua pihak pemaju dan LPK apabila Ketua UMNO Bahagian Kapar merupakan Ahli Lembaga Pengarah LPK dari 1997 hingga 2003, dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kapar merupakan Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB).

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berharap SPRM dapat bertindak segera.

“SPRM bukan tempat untuk mempolitikkan isu, namun anggota berkecuali tanpa melibatkan mana-mana parti politik,” katanya.

Pengerusi LPK, Datuk Lee Hwa Beng pula membuat laporan polis terhadap Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan BTA Architect berhubung isu yang sama.

Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang, Jalan Gedung Raja Abdullah bersama-sama dengan peguamnya pada jam 10.15 pagi.

“Saya membuat laporan polis ini atas nasihat Lembaga Pengarah PKA,” katanya.

Selain itu, Hwa Beng menjelaskan bahawa Lembaga Pengarah PKA akan membuat laporan polis dan telah membuat banyak kenyataan terhadap isu terbabit.

“Jika saya cakap berlebihan, saya pula disaman kerana memfitnah,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Inkues: Pegawai SPRM tidak catat keterangan Teoh

Prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini dikejutkan dengan kenyataan seorang pegawai penyiasat polis yang menyatakan tiada sebarang catatan dibuat oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ketika menyoal siasat Teoh.

Inspektor Mohd Zulaimi Zubir (kanan), 29, dari cawangan jenayah ibupejabat polis daerah Shah Alam berkata perkara itu disedari selepas melakukan pemeriksaan ke atas 10 muka surat buku catatan harian rasmi milik pegawai SPRM Mohd Anuar Ismail yang dirampas 18 Julai lalu.

Peguam yang mewakili kerajaan Malaysia, Tan Hock Chuan mengesahkan Mohd Anuar bertanggungjawab menyoal siasat Teoh, lapor Bernama

"Hasil pemeriksaan saya dapati dalam buku bertarikh 8 Julai 2009 tercatat 'rumah/putrajaya/pejabat/tol RM' sahaja. Pada 15 dan 16 Julai tiada sebarang catatan dibuat," katanya.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Kepada soalan Tan iaitu dari 1 Julai hingga 18 Julai lalu, adakah hanya terdapat satu catatan sahaja yang beliau nampak, Mohd Zulaimi berkata: "Ya."

Sebelum itu Mohd Zulaimi berkata beliau hanya merampas buku harian milik Mohd Anuar dan buku yang lain dirampas oleh pegawai polis lain.

Dalam prosiding, buku asal itu tidak ditandakan eksibit memandangkan ia masih digunapakai dan hanya salinan dikemukakan tetapi ia telah disahkan oleh Timbalan Pengarah SPRM.

Mohd Zulaimi turut memberitahu beliau juga telah merampas cakera keras rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Masalam dan diarah menyiasat pergerakan Teoh, pegawai SPRM dan individu lain di plaza itu yang dipaparkan dalam rakaman CCTV itu.

Mohd Zulaimi, saksi ke-11 berkata sebelum rampasan beliau telah melihat pergerakan di dalam rakaman CCTV itu dan mendapati terdapat pergerakan Teoh yang memasuki ruang lobi di tingkat 4 pada pukul 6.08 petang.

"Keesokan hari (selepas kejadian), saya diarahkan untuk mengenal pasti pukul berapa si mati masuk, pergerakan pegawai SPRM dan individu lain dalam banguanan dari jam 00:00 15 Julai hingga 7 pagi esoknya," katanya.

Beliau berkata rakaman CCTV itu kemudiannya diserahkan kepada jabatan forensik 18 Julai lalu untuk siasatan lanjut tetapi terdapat beberapa kesukaran untuk mengesan pergerakan kerana masalah teknikal.

Pergerakan Teoh hanya dilihat menerusi salinan yang dibuat melalui 'pen drive' tetapi ia tidak boleh dicetak dan Mohd Zulaimi berkata menerusi bantuan bahagian sekuriti di bahagian Plaza Masalam, sebanyak 47 imej orang keluar masuk pada 16 Julai dapat dikesan.

Katanya, rakaman itu dilihat pada 19 Julai lalu di pejabat keselamatan Plaza Masalam dan bukannya di jabatan forensik Bukit Aman.

Mohd Zulaimi berkata SPRM juga mengesahkan Teoh sebagai saksi mereka.

Katanya, pengecaman mayat Teoh itu dibuat oleh salah seorang pegawai SPRM yang berada di tempat kejadian iaitu di koridor tingkat 5 di bangunan itu yang turut menempatkan pejabat SPRM Selangor di tingkat 14 dan 15.

Bagaimanapun, saksi ke-11 itu berkata beliau tidak dapat memastikan pegawai yang membuat pengesahan itu kerana terlupa untuk mencatatnya.

"Mereka tahu si mati ialah saksi mereka setelah saya arahkan pihak polis membuka plastik yang menutup mayat Teoh. Ketika itu mereka, iaitu lebih kurang empat ke lima orang pegawai SPRM, berada dalam bangunan di kira-kira 10 hingga 20 meter dari kedudukan mayat.

"Walaupun mereka tidak berada berdekatan mayat, tetapi mereka dapat mengecam dan melihat dengan jelas muka si mati daripada cermin tingkap pejabat dalam bangunan itu," jelas Mohd Zulaimi.

Ketika ditanya peguam Gobind Singh Deo, bagi pihak keluarga Teoh sama ada beliau mengecam pegawai SPRM yang berada di situ, Mohd Zulaimi berkata: "Saya boleh ingat seorang sahaja, iaitu pegawai yang dikenali sebagai Azim. Yang lain saya tak boleh cam."

Beliau turut menolak cadangan peguam bahawa pihak SPRM yang sebenarnya meminta polis untuk membuka penutup plastik mayat Teoh bagi tujuan pengecaman.

Mohd Zulaimi juga berkata beliau tidak menjumpai dompet Teoh di tempat kejadian dan hanya diberikan nombor kad pengenalan mangsa oleh Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Noor Azam Jamaluddin.

Dalam keterangannya, Mohd Zulaimi memberitahu selepas membuat pengawasan di tempat kejadian, beliau kemudian naik ke tingkat 14 bangunan itu untuk melakukan sisatan lanjut.

"Di tingkat 14 saya terjumpa Azim sahaja. Pegawai SPRM yang berada di tingkat lima saya tidak nampak, tetapi pegawai-pegawai lain ada di pejabat itu," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa di pejabat SPRM itu, Ketua Polis Daerah telah membuat siasatan dan mengambil keterangan mengenai mangsa daripada pegawai di situ.

"Masa perbincangan di tingkat 14, ketua polis daerah ada bertanya berkaitan si mati dan mengambil butiran dirinya, dan seorang pegawai wanita SPRM mengesahkan bahawa Teoh ialah saksi mereka," kata Mohd Zulaimi.

Gobind: "Adakah kamu tanya bila kali terakhir si mati dilihat?"

Mohd Zulaimi: "Saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah bahawa si mati dilihat kali terakhir kira-kira pukul 6 pagi (16 Julai)."

Gobind: "Adakah kamu rasa terdapat kemungkinan dia (Teoh) jatuh ditolak atau tercampak dari tingkat 14?"

Mohd Zulaimi: "Pada permulaanya saya berpendapat begitu. Dan selepas itu pegawai penyiasat melakukan penyiasatan, dia (pegawai penyiasat) berkata berkemungkinan dia (Teoh) terjatuh atau ditolak dari salah satu tingkap di tingkat 14."

Ditanya sama Ada terdapat kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di semua pejabat di antara tingkat 5 hingga 14 bangunan Plaza Masalam, saksi itu menjawab: "Saya tidak membuat pemeriksaan."

Berhubung rakaman CCTV di lobi bangunan itu, Mohd Zulaimi berkata, Teoh dilihat berjalan masuk ke dalam bangunan tanpa membawa sebarang beg, sebaliknya memegang sebuah telefon bimbit.

Prosiding petang tadi turut mendengar keterangan saksi ke-12 iaitu penolong juruanalisis, seksyen jenayah komputer, makmal forensik Polis Diraja Malaysia, Inspektor Mohd Zaidi Abu Hassan.

Saksi itu memberitahu beliau telah diarahkan oleh ASP Ahmad Nazri Zainal untuk mengeluarkan semua maklumat yang ada dalam telefon bimbit jenama Sony Ericsson dan kad sim pada 21 Julai.

Ketika ditanya peguam Rajpal Singh, bagi pihak Badan Peguam Selangor, sama ada beliau masa dan tarikh yang tertera pada telefon bimbit itu adalah tepat, Mohd Zaidi berkata: "Ya, saya ada buat pemeriksaan dan mendapati masa dan tarikh pada telefon itu adalah betul."

Prosiding inkues bersambung esok

Sumber : Malaysiakini

Designed by - AMK TANGGA BATU