AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami
Showing posts with label sabah. Show all posts
Showing posts with label sabah. Show all posts

22 August 2009

Kit Siang Kepada SPRM: Mengapa Takut Siasat Muhyiddin?

Penasihat DAP Lim Kit Siang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjelaskan mengapa tiada siasatan dibuat terhadap Timbalan Presiden Umno Muhyiddn Yassin yang menyalahguna helikopter tentera untuk menghadiri acara Umno.

Sebuah helikopter Tentera Udara yang membawa Muhyiddin dilaporkan terpaksa mendarat cemas di Tuaran, Sabah. Muhyiddin dilaporkan mengguna helikopter itu untuk menghadiri mesyuarat Umno di Sabah.

Sehubungan itu, Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat memfailkan aduan ke SPRM Johor.

Di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat, SPRM mengadakan operasi besar-besaran menyiasat wakil-wakil rakyat PKR, PAS dan DAP, sehingga membawa kepada kematian seorang setiausaha politik Teoh Beng Hock.

Kit Siang berkata ketiadaan tindakan keatas Muhyiddin menunjukkan SPRM adalah alat Umno-BN dan mengamalkan sikap berat-sebelah dalam siasatan mereka.

Ahli politik veteran turut merujuk kepada kes bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Ramli Yusoff yang didakwa kerana menggunakan helikopter polis untuk tujuan bukan rasmi. Meskipun Ramli dibebaskan dari sebarang tuduhan, namun pihak pendakwararaya menunjukkan kesungguhan untuk mendakwa beliau dan memfailkan rayuan.

"Saya mahu tanya SPRM mengapa ia mengamalkan sikap berat-sebelah kerana belum lagi memulakan siasatan keatas dakwaan bahawa Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin telah menyalahguna kedudukannya dengan menggunakan helikopter tentera untuk merasmikan mesyuarat Umno di Sabah minggu lalu walhal ia tidak mempunyai kaitan dengan tugas-tugas rasmi beliau," kata Kit Siang.

"Jika Ramli didakwa kerana menyalahguna helikopter Cessna Caravan milik polis untuk tugas-tugas bukan rasmi, mengapa Muhyiddin tidak didakwa kerana menyalahguna helikopter tentera untuk tujuan yang tidak kena-mengena dengan tugasnya sebagai TPM mahupun Menteri Pendidikan. Apakah ada satu undang-undang untuk Menteri Kabinet Umno dan satu undang-undang untuk orang-orang kecil?" soal Kit Siang.

Sumber : tvantara

Pakatan Rakyat siapkan piagam gagasan

Pakatan Rakyat sedang bergerak cergas merangka sebuah piagam yang akan menjadi asas kepada segala dasar dan keputusan gagasan itu, kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim.

Piagam berkenaan akan siap digubal dalam kira-kira dua bulan dan akan diperinchi pada konvensyen kebangsaan pertama Pakatan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada Oktober atau November depan, kata beliau di Kota Kinabalu.

"Piagam ini akan menzahirkan asas-asas perjuangan yang di dokong oleh Pakatan Rakyat dan menjadi asas kepada segala dasar dan keputusan yang dibuat," kata Zaid. "kita sudah mula untuk menggubal piagam ini dan pucuk pimpinan telah memberikan dua bulan untuk menghasilkannya,' tambah beliau.

Zaid berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan buku yang mencakupi masalah pendatang tanpa izin di Sabah yang semakin serius akibat dasar-dasar Barisan Nasional.

Datuk Zaid berkata sebuah piagam yang didokong bersama oleh Keadilan, PAS dan DAP akan memantapkan lagi Pakatan Rakyat sebagai sebuah entiti politik disamping memberikan rakyat maklumat jelas mengenai perjuangan dan nilai-nilai gagasan itu.

Dalam ucapan kepada kira-kira 1,000 ahli dan penyokong Keadilan di Kota Kinabalu, Zaid berkata Pakatan Rakyat adalah kukuh dan semakin mantap. Beliau menggesa orang ramai "jangan baca akhbar Utusan" atau media suruhan Umno-BN lain yang sering menfitnah gagasan itu dan sengaja memperbesar-besarkan isu tertentu.

"Hakikat ialah Pakatan Rakyat dapat menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dengan cepat dan berkesan. Ia telah dilakukan di Kedah, di Selangor, di Pulau Pinang kerana ada kesepakatan antara pemimpin untuk berbincang secara terbuka dan ikhlas," tambah beliau.

Bekas Menteri Undang-Undang itu tidak menafikan Pakatan Rakyat masih terdedah kepada masalah tertentu tetapi berkata ia tidak serius dan adalah perkara biasa kerana gagasan itu baru ditubuhkan tahun lalu.

"Parti-parti seperti Keadilan dan DAP tidak mempunyai pengalaman memerintah sebelum ini, tetapi dalam sedikit masa, mereka telah menunjukkan potensi yang amat baik dan kita harus bina atas prestasi ini supaya parti kita, Pakatan Rakyat lebih mantap dan kukuh," kata Zaid.

Zaid menegaskan bahawa gagasan itu sudah pun menempelak segala ramalan media arus perdana dan Umno-BN bahawa kononnya Pakatan Rakyat tidak dapat bertahan dan akan berpecah belah.

Menurut beliau, hakikat ialah "Umno-BN yang semakin tidak stabil dan menunjukkan tanpa-tanda akan retak dari dalam. Kita tahu masalah-masalah dalam Umno, krisis kepimpinan MCA dan MIC serta parti Gerakan yang tidak mempunyai sebarang gerakan," kata Zaid, disambut gela ketawa hadirin.

"Saya bercakap ini bukan kerana "over-confident atau terlalu yakin tetapi hakikat ialah BN mempunyai terlampau banyak masalah dan telah hilang iltizam untuk berbakti kepada rakyat. BN hari ini jauh berbeza dengan parti Perikatan yang kita kenali..tidak lagi wujud kesanggupan untuk duduk berbincang dan menyelesaikan masalah rakyat. Umno telah menjadi sebuah parti elitist yang mementingkan kuasa sahaja," kata Zaid.

Zaid berkata Umno akan terus meremehkan Keadilan dan Pakatan Rakyat kerana itulah cara dan tradisi mereka akibat terlampau angkuh setelah memegang kuasa begitu lama.

Apa yang penting ialah, bagi Keadilan dan Pakatan Rakyat mengambil iktibar daripada nasib Umno-BN untuk menzahirkan komitmen bagi membela rakyat semua kaum sebagaimana yang dijanjikan kepada mereka, kata beliau.

"Rakyat telah memberikan kepercayaan kepada Keadilan dan Pakatan pada pilihanraya umum yang lalu. Kita harus membina atas kepercayaan ini dengan berbakti kepada rakyat. Kita harus mengelak daripada berbuat sesuatu yang boleh menggugat kepercayaan ini kerana jika rakyat hilang kepercayaan, amat sukar untuk diraih kembali," tegas Zaid.

Sumber : tvantara

20 August 2009

Tiong: Saya bukan mesin ATM BN

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing dikenali sebagai 'Mesin ATM BN' kerana reputasinya yang dikenali amat murah hati untuk memberi bantuan kepada rakan-rakannya dalam BN.

Minggu lalu, pengerusi Jawatankuasa Penyokong Kerajaan (BBC) itu membuat pendedahan menggemparkan apabila mendakwa menyumbang RM10 juta kepada Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat untuk membiayai aktiviti parti tersebut.

Ong bagaimanapun menafikan dakwaan Tiong dan membuat laporan polis mengenainya minggu lalu. Beliau juga mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang Tiong.

Apabila dikecam oleh Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun, Tiong yang juga bendahara Parti Demokratik Progresif Sarawak(SPDP) mendakwa Chew juga turut menerima sumbangan daripadanya.

Semalam, Tiong mendedahkan kepada pihak media bahawa anak syarikatnya hanya mengenakan kadar sewa RM1 bagi kesemua 32 unit yang menempatkan kolej KTAR milik MCA di Penampang, Sabah.

Bagaimanapun, ketika ditemubual oleh Malaysiakini di pejabatnya di Petaling Jaya kelmarin, Tiong menolak tanggapan tersebut bahawa beliau menjadi 'mesin ATM BN"..

"Jangan cakap macam tu... kamu tahu tak berapa banyak sekolah Cina yang saya bantu? Mesin ATM apa?" kata Tiong.

Tiong berkata, sumbangan itu dibuat atas dasar solidariti bagi membantu komuniti Cina dan beliau tidak mengharapkan apa-apa balasan.

"Saya mahu lihat parti-parti Cina supaya kuat dan bersatu supaya kita dapat turun ke bawah untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Jelasnya lagi, sumbangan beliau bukan hanya terhad kepada parti Cina sahaja.

"Berapa banyak biasiswa sudah saya beri kepada pelajar? Berapa banyak orang yang sudah saya bantu? Awak boleh tanya Vicky (bekas ketua pemuda MIC kebangsaan S.A.Vikneswaran) Tanya dia adakah saya ada beri sokongan kepada dia? Dia pun sudah tidak ada (jawatan) sekarang."

(Ketika dihubungi kemudiannya, Vigneswaran berkata Tiong telah menyumbang RM1 juta kepada Universiti AIMST milik MIC beberapa tahun lalu. Beliau juga telah menyumbang kepada beberapa buah kuil).

"Adakah dengan memberi sumbangan, saya ini meminta ijazah kedoktoran (daripada Universiti Tunku Abdul Rahman?," soal Tiong lagi.

Jelasnya lagi, sumbangan tersebut adalah untuk mengekalkan kerjasama di antara parti komponen BN dan juga untuk meraih sokongan daripada pengundi.

"Ini penting untuk kekalkan kekuatan BN. Tidak ada maknanya jika kita kuat di Sabah dan Sarawak tapi yang lain tidak boleh mengekalkan (kekuatan) di Semenanjung.

"Kita mesti tunjukkan kepada rakyat bahawa kita sudah berubah, bukannya hanya tahu bercakap, mengorek isu-isu, dan menggorengnya di media untuk mendapat kepentingan politik seperti parti pembangkang. Itu salah," katanya lagi.

"Kalaulah kami terlebih membuat tuntutan sekalipun, ianya boleh 'di-adjust-kan' pada panel terakhir. Jadi apakah isu sebenarnya?," katanya merujuk kepada siasatan ke atas PKFZ.

Sumber : Malaysiakini

19 August 2009

Tiong dedah sewa RM1 bagi 32 unit kampus KTAR

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing membuat satu lagi pendedahan, dengan mendakwa anak syarikatnya hanya mengenakan kadar sewa RM1 bagi kesemua 32 unit yang menempatkan kampus Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) milik MCA, di Penampang, Sabah.

Kesemua unit kedai terdiri daripada lapan blok bangunan empat tingkat milik Wawasan Development Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Dijaya Corporation. Ia disewa oleh KTAR sejak Februari 2007.

Sebelum ini, ketika ditemubual oleh akhbar berbahasa Cina, Tiong dilaporkan menyifatkan jumlah RM1 itu sebagai tanda simbolik sumbangannya kepada kolej dan parti berkenaan.

Pendedahan terbaru ini merupakan rentetan daripada pertelingkahan terbuka di antara Tiong dan presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat yang semakin serius - ekoran isu membabitkan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Tiong dalam satu temubual dengan Malaysiakini hari ini berkata kadar berkenaan kini tidak lagi sesuai memandangkan parti MCA yang merupakan pemilik kolej berkenaan didakwa mempunyai aset bernilai lebih RM2 billion.

Oleh itu, katanya, kadar sewa yang lebih setimpal patut dikenakan kepada Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) di Penampang, Sabah yang kini menduduki premis syarikat itu secara 'percuma.'

Tiong mahu tindakan tersebut diambil kerana berasa tertipu dengan saranan MCA supaya memberi sumbangan kepada parti itu bagi membantu komuniti Cina di negeri tersebut.

"Sebelum ini MCA datang kepada saya dan kata mereka tiada duit, kalau saya bantu akan kurangkan beban pelajar. Saya juga telah bayar RM200,000 untuk ubahsuai sebelum diserahkan kepada KTAR.

'Saya rasa tertipu'

"Sekarang saya rasa tertipu. Kalau parti itu sudah ada lebih daripada RM2 billion, kenapa ia masih perlu meminta bantuan daripada saya," kata Tiong yang juga setiausaha agung Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) itu.

"Sekarang saya perlu menilai semula kepimpinan di dalam MCA, sejauh mana efisiennya mereka dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat. Tapi kalau macam ini, lebih baik saya gunakan sumbangan itu untuk orang yang lebih memerlukan."

"Tapi siapa tahu, mungkin mereka masukkan juga kos sewa bangunan dalam yuran walaupun sewa percuma? Ini mungkinlah, saya tidak tahu," tambahnya.

Tiong juga mahu bersemuka dengan Ong yang didakwa telah menjalankan usaha untuk mencemarkan nama dan menghakimi peribadi pemimpin ahli parlimen Bintulu melalui media.

"Saya tidak peduli tentang persepsi orang ramai (terhadap saya). Hal ini adalah antara saya dengan Ong. Saya mahu bersemuka satu sama satu dengan dia. Tak perlu libatkan orang lain," katanya lagi.

Jelasnya lagi, beliau maklum dengan saranan daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya dihentikan pertelingkahan dengan Ong kerana menimbulkan persepsi negatif terhadap BNl.

Tambahnya, beliau juga harus berani berhadapan dengan cabaran-cabaran daripada pemimpin tersebut.

"Saya tidak peduli dengan persepsi orang. Dia berani cabar saya, saya juga berani cabar dia. Sekarang saya pula panggil dia gengster politik, macam mana?

"Biarlah orang nilai sendiri perwatakan dia. Dia pandai menjaga imej sebagai pemimpin yang bersih dan telus. Setiap hari dia akan tunjuk kepada orang dia macam ini. Dia boleh sebab dia orang besar, saya bukan."

"Dia kata saya ini gengster, saya ini hisap darah, apa ini? Tapi kalau saya kata saya bukan gengster orang tidak akan percaya kepada saya kerana saya bukanlah siapa-siapa. Saya bukan menteri yang orang kena percaya. Jadi saya mahu dia buktikan (dakwaan-dakwaan tersebut) kepada saya.".

Sumber : Malaysiakini

11 August 2009

Anwar: Rakyat Sarawak tidak mahu lagi jadi “penonton” kepada kerakusan Taib Mahmud

Rakyat Bumi Kenyalang yang dahagakan perubahan kini bagai bertemu fajar baru setelah hidup dibelenggui kemiskinan akibat rasuah politik dan penyelewengan kuasa di bawah kepimpinan Taib Mahmud untuk hampir tiga dekad.

Harapan baru itu dibawa oleh kesedaran yang semakin menebal bahawa rakyat tidak lagi mahu menjadi “penonton” kepada kerakusan Taib Mahmud dan kroni membolot kekayaan Sarawak termasuk tanah adat dan sumber asli.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim menggesa rakyat Sarawak mengukuhkan iltizam untuk melakukan perubahan apabila beliau sekali lagi melakukan lawatan ke negeri Kuching untuk bertemu dengan rakyat negeri ini.

Taib Mahmud dijangka membubarkan Dewan Undangan Negeri dan mengadakan pilihanraya tidak lama lagi.

"Sarawak sebuah negeri yang kaya, rakyatnya juga harus kaya". kata Anwar kepada kira 3, 000 hadirin di Kelab Sukan dan Rekreasi di Kampung Sudoh, Singai iaitu sebuah perkampungan di Bau, Sarawak.

Anwar berkata rakyat Sarawak matang dan boleh menilai apa yang berlaku di Sarawak di bawah pemerintahan Taib Mahmud.

Sarawak antara negeri terkaya di Malaysia tetapi sebilangan besar rakyatnya dibelit kemiskinan tegar. dan tetap terpinggir walaupun Taib telah memerintah Sarawak begitu lama.

Ketika pemimpin BN negeri itu dan keluarga bersama kroni hidup senang-lenang, rakyat di negeri itu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Negeri Sarawak yang kaya dengan sumber aslinya seperti minyak dan balak dijadikan lubuk emas untuk pemimpin di negeri itu meraih keuntungan peribadi manakala puluhan ribuan rakyat masih hidup tanpa bekalan air bersih atau elektrik.

“Prinsip Taib, yang kaya akan terus menjadi kaya dan yang miskin akan terus menjadi miskin,” kata Anwar. “ Adakah ini yang dikata, Rakyat didahulukan, Pencapaian di Utamakan?,kata Anwar disambut tepukan gemuruh hadirin.

Anwar berkata Keadilan bersama rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat berjanji untuk memberi tumpuan khusus kepada menangani masalah rasuah yang telah lama menjadi budaya BN, baik di Sarawak, Sabah mahupun Semenanjung.

Penyelewengan kuasa yang membawa kepada projek mega dan kontrak awam diberikan kepada keluarga dan kroni pemerintah akan dihentikan. Kekayaan Sarawak akan dipulangkan kepada rakyat negeri itu.

Anwar berkata angin perubahan yang dibawa oleh Keadilan dan Pakatan jauh lebih besar maknanya bagi mereka yang tinggal di pedalaman Sarawak.

Kehidupan masyarakat Bidayuh yang tinggal di kawasan pedalam di Bau misalnya, akan mendapat perhatian parti itu. Mereka yang tinggal di bandar namun mempunyai berpendapatan rendah, juga akan dibela, kata Anwar.


“Malang bagi Barisan Nasional, masa untuk mereka mengaut keuntungan di Sarawak sudah menghampiri titik noktahnya,” kata Anwar. “Angin perubahan bertiup kencang di bumi bertuah Sarawak…..Melayu, Bidayuh, Dayak atau Melanau, Cina mahu pun India, rakyat di Sarawak sudah serik dengan pentadbiran Taib dan mahukan perubahan,” tambah beliau..

Anwar berkata rakyat Sarawak tidak sanggup lagi menjadi “tukang tonton kepada kayu-kayu balak yang diangkut keluar dari bumi mereka. Rakyat tidak lagi mahu sekadar berbangga sahaja tinggal di bumi yang kaya dengan petroleum dan berbangga sahaja, tidak lebih dari itu.”

Anwar menggesa rakyat Sarawak untuk bangkit pada pilihan raya negeri (PRN-10) dengan iltizam untuk menegakkan kuasa rakyat bagi membawa perubahan yang di inginkan.

Beliau berkata barisan pemimpin dan seluruh jentera Parti Keadilan Rakyat juga siap sedia berjuang untuk membawa perubahan untuk rakyat Sarawak.

Dalam ucapannya Anwar merujuk kepada pemerintahan kerajaan negeri Pakatan Rakyat pimpinan Keadilan di Selangor.

Dalam tempoh setahun, kerajaan negeri itu telah berjaya melancarkan pelbagai program termasuk bekalan air percuma, tabung untuk kelahiran baru serta bantuan ekonomi untuk rakyat miskin dari semua kaum.

Selain berucap kepada ribuan rakyat di Bau, Anwar turut merasmikan Pejabat Parti Keadilan Rakyat Cabang Mas Gading, Bau di samping hadir pada makan malam bersama penduduk Kampung Sudoh, Bau.

Beliau turut berjumpa dengan masyarakat Tionghua dan penduduk lain di Ibu Pejabat Keadilan Sarawak di Kuching.

Anwar turut melancarkan akhbar Suara Keadilan edisi Sarawak sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Sumber : tvantara

27 June 2009

Rakyat dizalimi, negeri Pakatan Rakyat didiskriminasi - Anwar

Oleh Mohd Khalil Abdullah

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Hrkh) - Kerajaan dibidas kerana melakukan diskriminasi terhadap negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat kerana diberikan peruntukan perkapita paling rendah.

Menurut Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim, peruntukan yang diberikan kepada negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Perak dan Kelantan jelas menunjukkan wujud diskriminasi daripada kerajaan persekutuan di bawah kekuasaan Barisan Nasional.

"Ada beberapa perkara yang harus diberikan perhatian oleh Kementerian Kewangan dalam keadaan kita menghadapi kemelut sekarang. Pertama, peruntukan yang diberi kepada negeri-negeri jelas menunjukkan sikap dendam kesumat masih berterusan.

"Walaupun Perdana Menteri menyebut Satu Malaysia, dan rakan-rakan daripada Ahli Yang Berhormat Barisan Nasional minta kita supaya memberi sambutan yang positif, saya hendak beritahu bahawa laungan slogan ini, slogan murahan yang tidak dituruti dengan amal,"jelasnya semasa perbahasan usul peruntukan semula peruntukan perbelanjaan 2009 di parlimen baru-baru ini.

Beliau mempersoalkan mengapakah negeri-negeri tersebut didiskriminasikan dan akhirnya rakyat menjadi mangsa?

"Saya beri contoh, mengikut peruntukan per kapita mengikut negeri-negeri, negeri-negeri yang terbawah peruntukan, paling rendah ialah Pulau Pinang, kedua rendahnya Kedah, ketiga rendahnya Kelantan, keempat Selangor, kelima Perak. Negeri-negeri Pakatan Rakyat duduk di tahap paling rendah dari segi peruntukan Kerajaan Persekutuan.

"Apa alasan boleh diberikan? Terutama bagi negeri yang miskin seperti Kelantan dan Kedah, di paras yang begitu rendah peruntukan walaupun yang diuar-uarkan itu Satu Malaysia. Perak kerana semasa mereka merangka, mereka fikir mereka masih belum berjaya menawan, maka Perak daripada segi peruntukan per kapita - 230, Selangor - 221, Kelantan - 179, Kedah - 172 dan Pulau Pinang - 119,"jelasnya lagi.

Tindakan ini dianggap oleh Anwar sebagai satu diskriminasi dan rakyat menjadi mangsa.

"Mengapa harus dihukum rakyat begitu rupa? Saya tidak menafikan keperluan kita menambah peruntukan negeri-negeri terutama negeri-negeri yang miskin. Terengganu, mahupun kawasan Pahang, Sabah dan Sarawak.

"Akan tetapi dasar yang jelas tidak telus dan menunjukkan dasar yang discriminative, gunalah KPI apa pun yang telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, KPI apa? Kalau kerangka dasar itu sendiri tidak menunjukkan kita mengambil sikap yang telus dan adil,"tambahnya sambil menempelak sikap kerajaan yang tidak adil terhadap negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Katanya, tindakan seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini, dan hanya terjadi setelah rakyat memilih Pakatan Rakyat di negeri-negeri berkenaan.

"Saya harap Kementerian Kewangan dapat meneliti dan memperbaiki kerana zalim kita untuk menghukum rakyat semata-mata kerana mengambil keputusan dan kebijaksanaan memilih parti atau calon yang mereka dukung.

"Semua yang memilih Pakatan Rakyat atau Umno-Barisan Nasional dikenakan dengan sistem percukaian yang sama. Maka peruntukan itu harus lebih telus dan adil,"tegasnya. - mks._

Sumber : Harakahdaily

23 June 2009

Kerajaan perlu serius bincang hasil yang ditadbir LHDN!

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

Masalah kemiskinan masih terus menghantui rakyat Malaysia terutamanya mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman, meskipun kerajaan telah melancarkan program membasmi kemiskinan sejak 30 tahun lalu.

Kemiskinan di kalangan bumiputera pula dilihat amat ketara berbanding kaum lain termasuk jurang pendapatan kaum Melayu yang amat tinggi berbanding kaum Cina di negara ini.

Di Sabah dan Sarawak, isu kemiskinan sering menjadi bualan, malah laporan mengenai kedhaifan rakyat di negeri itu sering dipaparkan dalam media elektronik mutakhir ini.

Tambahan pula mutakhir ini ahli Parlimen dari dua negeri itu sering membangkitkan persoalan mengenai jurang kemiskinan di negeri mereka yang amat ketara berbanding negeri di Semenanjung Malaysia.

Sekat bantuan

Namun begitu, media turut memomokan isu kemiskinan tegar dengan kerajaan Kelantan sejak negeri Cik Siti Wan Kembang itu diperintah PAS pada tahun 1990, dan sejak itu media Umno/BN meyekat peruntukan pusat ke negeri tersebut.

Akibatnya, kerajaan Kelantan terpaksa merangkak untuk membangunkan negeri yang telah dipunahkan kewangannya oleh pentadbiran Umno/BN sebelum ini.

Begitupun berkat kesabaran dan ketekunan pimpinan PAS Kelantan yang dikepalai Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Kelantan kini membangun malah kuasa membeli rakyat Kelantan meningkat berbanding negeri lain.

Sebagi contoh, bagi tahun lalu pasaraya Tecso di Kelantan mencatat kuasa beli kedua tertinggi dengan kutipan lebih RM1 juta sehari selepas Tesco di Selangor ditempat pertama.

Membicarakan isu kemiskinan di Sabah pula, lebih kurang 30 tahun (1970an) yang lalu, Sabah adalah negeri terkaya di Malaysia selepas Selangor.

Tetapi selepas tahun 1990an, Sabah adalah negeri yang sangat baik untuk dijadikan contoh-contoh kawasan yang miskin yang setanding dengan negara yang baru selesai daripada perang saudara.

Isu tekanan 'diskrimiansi' kerajaan pusat yang menyebabkan kemiskinan antara Sabah dan Kelantan turut dibincangkan secara serius di Dewan Rakyat pada 17 Jun 2009 dalam perbahasan Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri pindaan 2008.

Rata-rata ahli Parlimen Pakatan Rakyat membantah pembentangan rang undang-undang LHDN ini memandangkan ia tidak membincangkan persoalan memperkasakan LHDN dan penyaluran hasil cukai kepada rakyat bagi mengatasi kemelut kemiskinan di beberapa buah negeri.

Kemana hasil cukai?

Perbahasan yang diutarakan beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Bebas dalam Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri LHDN pindaan 2008 itu berkisarkan kepada isu ke mana perginya hasil mashyul negara yang diamanahkan kepada kerajaan untuk diuruskan.

Rata-rata ahli Parlimen membongkar persoalan bagaimana sekatan bantuan yang dikenakan ke atas negeri pakatan selain Sabah dan Sarawak yang masih belum 'membangun' sepenuhnya.

Ia bermula apabila ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman mempersoalkan tindakan kerajaan yang menafikan hasil cukai pendapatan untuk diagihkan secara 'adil' kepada rakyat dalam usaha membasmi kemiskinan.

Kelantan sebagai contoh terus dinafikan geran pembangunan apabila segala saluran bantuan oleh kerajaan pusat diserahkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan yang ditunjangi kelompok Umno/BN Kelantan, walhal kata Ustaz Halim hak itu sepatutnya diberikan kepada kerajaan yang memerintah.

Beliau juga mendakwa kerajaan menafikan hak infrastruktur yang lebih baik bagi tujuan pengangkutan menyebabkan ada sedikit masalah kepada negeri Cik Siti Wang Kembang itu untuk mendapatkan limpahan pelaburan yang boleh mengembangkan indsutri disana.

Walhal kata Ustaz Hali, membina lebih raya adalah tanggungjawab kerajaan Persekutuan.

"Kenapa tidak buat? Duk buat jalan raya di Pantai Barat. Sabah pun tidak buat. Kenapa tidak buat? Kalau kita buat, rakyat bayar cukai. Kita buat, insya-Allah pelabuhan akan dapat dibuat. Baru boleh 'heavy industry' dapat dibangunkan.

Beliau juga mendakwa kerajaan pusat tidak mahu mendaratkan hasil petrokimia yang ada di perairan pantai Kelantan di kawasan yang sepatutnya di Kelantan antaranya di Bachok dan Pasir Puteh.

"Kalau hendak lonjakkan ekonomi dan pembangunan di Kelantan dan Terengganu Utara ini termasuk Setiu dan termasuk Jerteh, boleh dibuat.

Dalam ECER ini ada disebut bahawa pembangunan petrokimia, Hasil daripada gas diluar pantai Kelantan, daripada kawasan GDA antara Siam dengan Kelantan-Terengganu.

Malaysia ini telah keluar gas ini dan didaratkan di Songkla ini dan hendak dibangunkan di Gurun.IPP di Gurun hendak hantar balik ke Selatan Thailand. Semua pengguna ini ialah 69 peratus sahaja.

"Ada lagi 31 peratus baki yang masih dijualkan oleh Petronas Carigali,. Kenapa tidak didaratkan di Jerteh kah, Pasir Puteh kah, Bachok kah? Kalau ini didaratkan maka ekonomi yang rendah di kawasan ini akan jadi melonjak," katanya.

Ujar Ustaz Halim, dalam masa Tun Abdullah Ahmad Badawi ada rombongan daripada Umno Kelantan hantar memorandum, supaya hasil gas didaratkan di Bachok, kerajaan negeri setuju menyediakan 5,000 ekar tanah, 3,000 ekar untuk kawasan industri, 2,000 ekar untuk 'buffer zone'.

Namun desakan supaya saluran itu dialih ke Bachok tidak mendapat perhatian kerajaan BN, walhal jika dapat didaratkan, PAS pun terancam, mungkin kalah.

BN halang kemajuan, tindas rakyat

Justeru bagi Ustaz Halim, kerajaan BN lah sebenarnya yang menghalang pembangunan di tempat-tempat orang Islam termasuk di Kelantan, Terengganu dan Utara.

Ustaz Halim turut memfokuskan isu kelembapan pembangunan di Sabah yang menyebabkan negeri tersebut memiliki kemiskinan tegar tertinggi menurut laporan Unit Perancangan Ekonomi bagi tahun 2008.

Sabah mencatatkan sejumlah 26.3 peratus dalam statistik kemiskinan yang diakibatkan oleh penafian hak rakyat Sabah dalam mendapat limpahan hasil kekayaan negeri terbabit.

Ucapan Ustaz Halim itu disahut beberapa ahli Parlimen termasuk dari Sabah antaranya Eric Enchin Mojimbum (Bebas-Sepanggar) yang mengkisahkan isu kemiskinan rakyat Sabah yang lebih berat berbanding Kelantan.

Ujar Eric, hasil yang dikutip LHDN seharusnya diagih dan ditadbir secara telus oleh kerajaan pusat memandangkan ia adalah amaha rakyat.

Rakyat Sabah tidak terima hasil kekayaan negeri?

Sebaliknya apa yang berlaku di Sabah mungkin banyak kutipan daripada hasil-hasil tetapi malangnya bila hasil peruntukan itu tidak nampak di mana sebenarnya kepada rakyat terutamanya di Sabah.

"Contohnya di Sabah, kita nampak dan lihat begitu teruknya jalan-jalan raya. Pembekalan air begitu teruknya, lebih-lebih lagi dengan pembekalan elektrik.

Selain itu sebelum ini rakyat Sabah menghadapi satu masalah yang besar mengenai Hospital Queen Elizabeth, walaupun pada suatu ketika Perdana Menteri datang pada bulan Mei untuk mengumumkan RM245 juta bagi pembelian satu SMC.

"Ini SMC yang kedua. Sebelum itu SMC yang pertama sudah dibeli oleh kerajaan semata-mata untuk membeli bangunan yang sudah sedia. Namun akhirnya kita dapat lihat juga Menteri Kesihatan datang menyusul kononnya pengumuman Perdana Menteri itu salah. Yang Berhormat Menteri Kesihatan umumkan bahawa sebenarnya wang yang akan digunakan untuk pembelian SMC yang kedua itu ialah RM280 juta bukan RM245 juta," katanya.

Berikutan isu tidak cukup kelengkapan peruntukan ditambah dengan RM90 juta lagi hingga berjumlah RM370 juta, katanya.

Namun sudah hampir sembilan bulan telah diisytiharkan sebahagian bangunan Hospital Queen Elizabeth tidak selamat diduduki.

"Sehingga sekarang sudah 240 hari belum ada pergerakan, belum ada tindakan. Inikah efficiency nya kerajaan? Adakah ini sebenarnya kerajaan yang prihatin kepada rakyat? Kita tidak dapat lihat keprihatinan itu kepada rakyat.

Walhal katanya hasil-hasil yang dikutip daripada rakyat begitu banyak sekali, lebih-lebih lagi hasil petroleum tetapi hanya peratus telah disalurkan kepada negeri Sabah.

Beliau merasakan sedih bila melihat angka kemiskinan di seluruh negara walaupun kerajaan memfokuskan kemiskinan di Kelantan tinggi, tetapi masih lagi di bawah 7.2 peratus.

Akan tetapi peratusan kemiskinan di Sabah pada tahun yang lalu diumumkan bahawa peratus kemiskinan di Sabah ialah 17 peratus sementara dalam data MPA kemiskinan di Sabah ialah 26.3 peratus.

"Di manakah sebenarnya keprihatinan ini? Adakah yang 3.2 atau 3.1 juta rakyat di Sabah ini kalau kita hitung hampir setengah juta yang termiskin. Bagaimana ini terjadi? Bagaimana ini boleh berlaku? Hanya kerajaan sahaja yang boleh menjawabnya," ujar Eric lagi.

Beliau seterusnya kesal dengan penafian hak yang sepatutnya diterima oleh seluruh rakyat yang sebenarnya pembayar cukai kepada kerajaan melalui LHDN.

Ini sebenarnya pandangan rakyat Sabah yang sudah begitu lama menderita disebabkan kerenah birokrasi dalam pengagihan bantuan dan pembangunan.

Suatu ketika lalu Sabah semasa menyertai Malaysai adalah negeri kedua terkaya, akhirnya kata Eric Sabah kembali menjadi negeri yang rakyatnya menderita.

Di akhir perbahasan rang undang-undang LHDN, kesemua ahli Parlimen Pakatan Rakyat sepakat menolak pembentangan itu yang disifatkan mereka sebagai tidak membincangkan isu yang sebenar iaitu persoalan hak rakyat untuk mendapatkan hasil yang dikutip.

Sumber : Harakahdaily

21 February 2009

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) : Jangan jadi “lembu” Barisan Nasional

Semalam, saya berceramah bersama-sama YB Yusmadi Yusoff, Ketua AMK Pulau Pinang, YB Taufek, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan dan YB Aminuddin, Adun Sikamat di Ampangan Negeri Sembilan. Tajuk ceramah ialah Krisis Politik di Negeri Perak. Saya terkejut apabila melihat kehadiran ribuan rakyat Negeri Sembilan di mana dalam anggaran saya ialah sekitar 5000 orang (paling tidak pun jauh lebih ramai daripada demonstrasi Hishamudin di dalam bilik dingin di PWTC). Tahniah kepada Sdr Rosidan dan pasukan.

Dr. Azam, Ketua Keadilan Bahagian Seremban mengingatkan saya tentang amaran Polis supaya isu Negeri Perak tidak dikupas di dalam ceramah ini. Saya jawab tidak mengapa ada 2 orang peguam malam ini termasuk seorang ahli parlimen, mungkin polis akan lebih berhati-hati. Justeru saya memulakan ceramah dengan memberikan kupasan mengenai rasuah lembu yang di ambil tindakan serius oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Saya juga menggantikan Negeri Perak menjadi Negeri “Silver”.

Saya tegaskan kenyataan Pengerusi SPRM, Ahmad Said Hamdan yang bersungguh-sungguh ingin mendakwa Tan Sri Khalid, Dato’ Menteri Besar, Selangor di dalam isu rasuah 46 ekor lembu telah menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau mempunyai tahap pemikiran “kelas tabika Kemas”. Ini kerana menurut maklumat yang saya dapati daripada Pejabat SPRM Negeri Selangor, siasatan mendedahkan tiada kes rasuah (no case to answer) di dalam isu rasuah lembu ini. Justeru, kenapa apabila sampai laporan hasil siasatan ke meja Ahmad Said, ianya bertukar menjadi ada kes untuk dijawab ? Jawapannya ialah kerana Tan Sri Khalid merupakan pimpinan KEADILAN dan bukannya UMNO atau BN. Asas dakwaan ialah politik !

Untuk makluman Ahmad Said ini merupakan seorang pegawai kerajaan yang kurang ajar dan tidak mempunyai adab sopan. Ketika beliau menjawat jawatan Pengarah BPR di Sabah, beliau pernah menahan Pairin Kitingan, sewaktu itu Ketua Menteri Sabah daripada Parti PBS di bulatan jalanraya Teluk Likas dan tidak di pejabat atau di rumah. Mungkin Tan Sri Khalid juga akan menerima nasib yang sama !

Keduanya, secara perbandingan saya bangkitkan mengenai ratusan laporan yang telah difailkan oleh AMK terhadap pimpinan UMNO/BN khususnya Najib Tun Razak mengenai pelbagai perlakuan rasuah dan penyelewengan. Terbaru, laporan AMK mengenai rasuah politik wang sebanyak RM 50 juta yang ditawarkan kepada Fauzi Muda, Ketua Keadilan Ipoh Barat oleh Najib bagi tujuan merasuah 2 wakil rakyat KEADILAN untuk lompat parti. Sebelum ini, laporan mengenai Eurocopter yang dibeli dengan harga yang jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran. Ketika itu Najib menjadi Menteri Pertahanan. Itu belum lagi laporan mengenai kapal selam dan kapal terbang Sukhoi.

Apakah pernah kita mendengar Najib dipanggil untuk memberikan keterangan di dalam semua laporan rasuah yang dibuat terhadap beliau ? Jawapannya nahi kabi nahi. Kesimpulan saya mudah. SPRM nampaknya terus-terusan merelakan organisasi mereka menjadi alat dan perkakas kepada UMNO/BN. Di dalam bahasa yang mudah, mereka telah menjadi “lembu” kepada UMNO/BN.

Saya telah cadangkan kepada hadirin yang hadir untuk bersama-sama saya ke seluruh pejabat SPRM di Semenanjung dan Sabah/Sarawak sambil kita membawa lembu yang akan kita gantungkan di leher semua laporan rasuah yang telah dibuat oleh AMK dan pihak-pihak lain untuk menunjukkan protes kita. Mungkin lembu-lembu ini boleh mengajar Ahmad Said dan SPRM makna keadilan !

Ayoh rakyat. Jom bangkit. Tarikh dan waktu akan diberitahukan kelak. Yang pasti minggu depan. Sesiapa yang ingin menderma lembu di minta menghubungi Setiausaha Kerja AMK, Saudara Hasmuzair di talian 0148422155.

Sumber : Shamsul Iskandar

Designed by - AMK TANGGA BATU