AMK Tangga Batu Punya
Selamat Datang Ke Blog Kami
Showing posts with label DSAI. Show all posts
Showing posts with label DSAI. Show all posts

24 August 2009

Anwar tidak terkejut tindakan Radzhi

PERMATANG PAUH - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohammad Radzhi Salleh yang mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas semalam sebenarnya mempunyai masalah disiplin.

Beliau berkata, Radzhi turut mempunyai masalah peribadi yang melibatkan masalah rumahtangga beliau dengan isteri keempat.

Menurutnya, Radzhi sememangnya cenderung untuk keluar parti dan beliau pernah berusaha membawa lima lagi ADUN PKR untuk melompat parti, namun tidak berjaya.

“ADUN Lunas ini ada masalah disiplin dan masalah kewangan iaitu tuntutan yang berlebihan, yang sebelum ini dinasihatkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Razak supaya terus dikawal.

“Ada juga hal peribadi, isteri keempat beliau telah menghubungi kita membantah beberapa isu yang membawa kes ini ke mahkamah, oleh itu pimpinan PR telah memberi amaran keras kepada beliau beberapa bulan lalu,”

Anwar berkata, disebabkan masalah disiplin dan masalah peribadi yang dihadapi oleh Radzhi, beliau telah diberi amaran dan seterusnya mengakibatkan penggantungan bahagian Padang Serai yang melibatkan kawasan beliau.

“Minggu lalu pihak kerajaan negeri kedah telah menggantung bahagian Padang Serai termasuk kawasan ADUN Lunas kerana kes-kes yang berkaitan,” katanya selepas menghadiri majlis berbuka di Surau Kampung Paya, semalam.

Hadir sama, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Sumber : Sinar Harian

22 August 2009

Pakatan Rakyat Didaftar Sebagai Satu Entiti

PAKATAN Rakyat yang disertai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), PAS dan DAP akan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan sebagai satu entiti tidak lama lagi sekali gus mengukuhkan gagasan itu.

Bercakap pada sidang media, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia adalah cadangan pemimpin Pakatan Rakyat yang pernah membincangkan perkara itu sebelum ini.

Beliau berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat akan datang, bakal memperincikan perkara itu termasuk menyelesaikan beberapa masalah teknikal termasuk peraturan berkaitan bilangan minimum parti.

"Masalah mengenai keperluan penyertaan tujuh parti dalam gabungan Pakatan Rakyat akan diperinci kemudian. Ini bukan undang-undang, ia hanya peraturan pendaftaran sahaja.

"Perkara itu termasuk aspek pendaftaran dan penyusunan dikaji Sekretariat Pakatan Rakyat yang dianggotai Salahuddin Ayub dari PAS; Datuk Zaid Ibrahim (KEADILAN) dan Anthony Loke Siew Fok (DAP)," katanya.

Kajian itu termasuk bentuk pendaftaran, penyusunan dan pendaftararan Pakatan Rakyat secara formal dan hasil laporan akan dibentangkan dalam masyuarat akan datang," katanya.

Sidang media itu turut dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat.

Kedudukan Pakatan Rakyat dianggap longgar berikutan tidak didaftar sebagaimana Barisan Nasional (BN), menjadi antara topik perbincangan dalam Bengkel Memperkasakan Pakatan Rakyat di Tropicana Golf Resort.

Hampir 100 pemimpin utama Pakatan Rakyat dari KEADILAN, PAS dan DAP termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri menyertai bengkel berkenaan. - Suara Keadilan

Sumber : tvantara

Pemuda Pakatan dan BN berdebat 23 Ogos?

Oleh Dzulfikar Mashoor

BUKIT MERTAJAM, 21 Ogos: Kalau Pemuda Umno menjadikan isu 'Siapa Pengkhianat Melayu' sebagai modal bertemu pengundi, Pemuda Pakatan Rakyat petang tadi menjadikan isu 'Siapa Pengkhianat Negara' pula sebagai serangan balas untuk 5 hari berbaki kempen di N11 Permatang Pasir.

Ekoran itu, Pemuda Pakatan mencabar Pemuda BN berdebat secara terbuka mengenai kedua-duanya.

Merujuk surat yang ditandatangani Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan at-Tantawi, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Loke Siew Fook, debat itu dijadualkan pada Ahad 23 Ogos jam 9.30 malam di Permatang Tengah iaitu di sebuah kedai makan.

Wakil Pemuda Umno Rosli Hamid yang menerima surat jemputan itu berjanji akan menyerahkannya kepada Khairy.

Bukan jaminan untuk saya kata Pemuda setuju, tapi saya akan berikan kepada Ketua Pemuda kami (Khairy), katanya.

Debat Terbuka 'Siapa Pengkhianat Negara' anjuran Pemuda Pakatan Rakyat itu merupakan strategi terbaru pembangkang selepas Pemuda PAS sendiri gagal berwacana ilmiah dengan Khairy dalam isu 'Benarkah Umno Memperjuangkan Islam' sebelum ini.

Tekad Pemuda Pakatan mengadakan debat terbuka itu dikatakan untuk memastikan 39 peratus pengundi muda kekal memberi undi kepada calon PAS Mohd Salleh Man 25 Ogos depan.

Bagi Pemuda Pakatan, rekod menang kesembilan-sembilan peti undi saluran muda saluran 5 (21-25), saluran 4 (26-40) dan saluran 3 (41-50) dalam pilihanraya umum ke-12 lalu tidak boleh disandarkan sepenuhnya bahawa PAS akan kekal di Permatang Pasir.

Pengundi muda merupakan masyarakat berfikir, membaca, aktif, akses internet serta tidak mudah terpengaruh oleh cakap-cakap kosong orang politik semata-mata.

Dalam kepercayaan Pemuda Pakatan, bukan sahaja isu 'Siapa Pengkhianat Melayu' patut dibincangkan, malah isu 'Siapa Pengkhianat Negara' juga perlu diperdebatkan, asalkan atas fakta dan rasional oleh semua pihak.

"Saya lihat isu itu (pengkhianat bangsa) diucapkan Umno dengan penuh emosi dan langsung tidak meningkatkan minda dan ilmu orang Melayu. Maka, setiap isu terutamanya berkaitan kepentingan negara perlu diperdebatkan secara ilmiah dan berfakta," jelas Badrul Hisham Shaharin.

Bercakap di depan Bangunan Umno Bahagian Permatang Pauh, Badrul berkata, jika Umno berani, mereka akan menyertai debat terbuka dan mempertahankan kenyataan Timbalan Presiden mereka Tan Sri Muhyiddin Yassin, Anwar Pengkhianat Bangsa, secara fakta dan ilmiah.

Jelasnya lagi, Ketua Pemuda Umno Mohd Khairy Jamaluddin sendiri pun tidak berupaya mempertahankan peribadi Muhyiddin yang dikatakan 'Pengkhianat Negara' ekoran menjual 51,170 hektar tanah Johor/negara kepada Singapura dengan harga RM350 juta sewaktu menjadi Menteri Besar Johor (1980).

Ahli Parlimen Jerai dari PAS, Mohd Firdaus Jaafar berharap Pemuda Umno dapat menyertai debat itu untuk menjernihkan kesangsian rakyat kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu.

"Isunya (siapa pengkhianat) sekarang bukan lagi ke atas bangsa Melayu, Cina, India dan sebagainya. Tetapi, melibatkan kepentingan negara."

Kelmarin, semua media melaporkan Muhyiddin menafikan pendedahan tersebut, dan mengganggapkan dakwaan itu sebagai fitnah.

"Saya ingin menjelaskan bahawa saya (semasa menjadi Menteri Besar Johor) tidak pernah menjual tanah walau seinci pun kepada Singapura dan ini adalah fitnah semata-mata." _

Sumber : Harakahdaily

Buku burukkan Anwar, MB S'gor

Dua buku yang menyerang kepimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim Ibrahim kini beredar di pelbagai tempat di negeri itu.

Nasib Melayu Selangor dan 50 Kemusykilan Tentang Manusia Bernama Anwar Ibrahim muncul setelah kelab penyokong kerajaan Selangor mendakwa wujud konspirasi Umno-BN bagi menjatuhkan Pakatan Rakyat.

Buku tanpa penulis dan penerbitnya berjaya dikutip oleh anggota Angkatan Muda PKR di beberapa tempat tumpuan ramai di Petaling Jaya, Subang dan Damansara, dua minggu lepas.

Edaran di tempat-tempat lain di negeri itu tidak dapat dipastikan.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, ketua angkatan itu Shamsul Iskandar Md Akin berkata, setelah menyedari buku itu, beliau mengerahkan anggota pergerakan itu kutip semua dan bawa balik ke pejabatnya.

Tentang kepimpinan Khalid, buku itu antaranya mempersoalkan tindakan Selangor menambah peruntukan tahunan untuk rumah ibadat bukan Islam, bantuan kepada sekolah Cina dan Tamil, dan cadangan mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Tiga keping foto seorang exconya Elizabeth Wong, yang dilanda kontroversi berhubung isu gambar intimnya Februari lalu, turut dimuatkan.

Sebuah lagi buku dikhaskan bagi menjawab kenyataan Anwar, antaranya, berhubung dakwaan berlakunya konspirasi berhubung kes liwat terhadap mantan timbalan perdana menteri itu.

Menjelaskan penemuan buku itu, Shamsul berkata, pihaknya berjaya mengutip kira-kira 600 naskhah kedua-dua buku itu yang dilonggokkan di perhentian-perhentian bas pada malam 10 Ogos lalu.

Tindakan pantas itu diambil setelah mendapat maklumat daripada anggota AMK setempat, tambahnya.

Ditanya keberkesanan tindakan AMK itu, Shamsul berkata: "Mungkin ada sebilangan kecil yang dapat buku itu. Kita harap tidak ada kesan terhadap orang awam."

Ditanya tindakan lanjut pergerakan itu, pengamal undang-undang itu berkata, mereka sedang mengumpulkan bukti dan bercadang mengambil tindakan saman terhadap pihak terbabit.

"Kita sedang kumpul bukti. Buku ini 'buku layang', tiada nama penulis dan tiada nama penerbitnya.

"Kita syak (pengedarannya) ada kaitan dengan usaha menjatuhkan kerajaan Selangor. Tetapi setakat ini bukti belum cukup," katanya.

Minggu lalu, sebuah akhbar berbahasa Cina turut melaporkan, ketua penerangan PKR Selangor, Datuk Paduka Dr Tan Yee Kew mendedahkan penyebaran dua buku itu dalam ceramahnya.

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo ketika dihubungi Malaysiakini semalam menafikan pihaknya terbabit menerbit dan mengedarkan buku tersebut.

"Tidak ada kot. Kalau ada, ini satu gerakan yang baik," katanya apabila ditanya sama ada beliau mengetahui penyebaran buku-buku berkenaan.

Nasib Melayu Selangor setebal 35 halaman dan 50 Kemusykilan Tentang Manusia Bernama Anwar Ibrahim pula 193 muka surat.

Sumber : Malaysiakini

Kes Teoh: Surat misteri Khir-SPRM dibawa ke balai

Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam hari ini membuat laporan di balai polis Brickfields berkaitan surat misteri yang muncul Rabu lalu di inkues kematian Teoh Beng Huat.

Manikavasagam berkata, beliau juga menerima salinan surat tersebut, yang mendakwa wujud perbuatan rasuah antara seorang pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

“Kandungan surat tersebut menyatakan terdapat unsur-unsur penyelewengan salahlaku dan kegiatan rasuah oleh pegawai atasan SPRM Selangor,” dakwanya dalam laporan polis berkenaan.

“Saya percaya surat ini ditulis oleh orang dalam SPRM kerana dia kelihatan mengetahui secara terperinci mengenai apa yang berlaku,” katanya kepada wartawan selepas membuat laporan berkenaan pagi ini.

Dakwaan dalam surat berkenaan antara lain mengaitkan seorang pegawai kanan SPRM terlibat dalam usaha memulakan siasatan ke atas pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat Selangor.

Surat yang ditulis dalam bahasa Malaysia itu juga menyebut, pegawai SPRM itu telah menyoal-siasat Teoh pada hari kematian pembantu politik berkenaan.

Manikavasagam juga berkata laporan polis hari ini dibuat atas kesedarannya sendiri tanpa menerima arahan daripada pemimpin-pemimpin PKR.

Surat tersebut dialamatkan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; dan salinanya dihantar kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Manikavasagam, setiausaha perhubungan PAS Selangor dan beberapa pihak lagi, termasuk akhbar Suara Keadilan dan Sinar Harian.

Dihubungi media

Apabila ditanya, beliau berkata tiada apa-apa perbincangan dibuat dengan mana-mana pihak yang dikatakan menerima surat berkenaan.

“Saya tidak bercakap dengan sesiapa mengenai surat ini. Saya tidak sebarkan surat ini, dan saya tidak tahu bagaimana surat ini sampai ke tangan media,” katanya lagi.

Beliau telah mengedarkan salinan surat bertarikh 5 Ogos itu kepada media hari ini.

Jelasnya lagi, beliau menerima surat sepanjang lima halaman itu pada 14 Ogos lalu di pusat perkhidmatannya di Kapar, Selangor.

Jelasnya, sebaik menerima surat berkenaan, beliau hanya membaca beberapa bahagian kandungannya tetapi mengenepikannya kerana khuatir ianya mungkin surat layang seperti yang pernah diterima olehnya sebelum ini berkaitan siasatan ke atas kematian VP Sujatha.

Manikavasagam juga berkata, pada awalnya beliau tidak membaca surat berkenaan sepenuhnya kerana ia dialamatkan kepada Khalid.

“Saya tidak baca kerana ia dialamatkan kepada menteri besar. Saya cuma baca sebahagian, kemudian saya simpan,” katanya.

Beliau bagaimanapun meneliti kembali kandungan surat berkenaan semalam apabila ditanya oleh beberapa orang wartawan, sama ada beliau menerima surat tersebut.

Jelasnya lagi, Malaysiakini, Malay Mail dan The Star telah menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan mengenai surat misteri itu.

“Tapi setelah saya baca kandungan surat ini (sepenuhnya, semalam), saya rasa perlu buat laporan polis kerana dakwaan ini serius,” katanya lagi.
Sumber : Malaysiakini

20 August 2009

Sikap SPRM Dan Polis Jadikan Malaysia seperti Afrika

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan pemerintah menggunakan agensi kerajaan menutup gejala rasuah di kalangan pemimpin Umno-BN menyebabkan Malaysia tidak ubah seperti negara dunia keempat benua Afrika.

Beliau mepersoalkan tindakan SPRM dan polis yang terang-terangan menutup sebelah mata terhadap jenayah rasuah yang dilakukan pimpinan kerajaan adalah amat menghampakan.

Menurutnya lagi, pelbagai kes yang dilakukan Umno-BN antaranya komisen RM400juta pembelian kapal selam Scorpene dan isu istana kraton jutaan ringgit milik mantan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Khir Toyo langsung tidak disiasat.

“Apa yang penting dan perlu diingat mengapa Malaysia di tahun 2009 jadi macam Afrika hulu? Mahu tangkap suka-suka, mahu tendang suka-suka, mereka ingat negeri ini negeri bapa mereka, ini negeri kita bukan negeri bapa mereka.

“Apa ini? Ia menjadi bahan ketawa polis berperangai seperti ini, SPRM seperti ini, ia jadi bahan ketawa. Berbilion ringgit dicuri tapi semuanya ditutup dan tidak perlu disiasat,” katanya pada Majlis Penerangan Rakyat di Permatang Pasir semalam.

Anwar berkata rahsia kepada pembentukan sebuah negara bersatu, harmoni dan berwibawa adalah urustadbir yang baik, mesra rakyat dan dipercayai mampu berubah dan bekerja dengan lebih baik.

Umno-BN sebalik berubah ganas dan menggunakan kekerasan bagi menghadapi kritikan. Menurut pemimpin reformasi itu lagi, Umno-BN menggelarnya pengkhianat Melayu kerana ia ketandusan alasan untuk mengalih perhatian rakyat dari kematian Setiausaha Politik Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock.

“Saya berjuang untuk Melayu, Cina, India dan seluruh rakyat Malaysia. Cara Umno sangat kotor buat poster saya anti Melayu supaya saya jadi seorang Melayu sebenar. Saya tidak perlu buktikan kepada Umno biar orang Melayu yang tentukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini jauh lebih baik berbanding kerajaan terdahulu kerana berjaya membantu golongan miskin tegar di Kepala Batas yang dahulunya merupakan kawasan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Anwar berkata kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dapat dijayakan sebagai kerajaan rakyat hanya sekiranya pengundi memilih wakil-wakil rakyat yang berwibawa, berani untuk tampil ke hadapan dan berhujah, serta yang terutama sekali berintegriti tinggi.

Sumber : tvantara

19 August 2009

Ceramah Kutuk Anwar,PR: Lebih Banyak Kerusi Dari Orang Umno

Kempen kutukan anjuran Umno-BN tidak mendapat sambutan menggalakkan dari masyarakat setempat.

Bahkan, tinjauan mendapati lebih banyak kerusi kosong yang setia mendengar ucapan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berbanding ahli-ahli Umno.

Di Shah Alam, program anjuran Umno diwar-warkan dihadiri kira-kira 1000 orang tetapi ceramah mengutuk Anwar Ibrahim, Pas dan DAP itu nampaknya hanya berjaya mencatu 300 orang.

Mungkin kerana meluat, atau berasa jijik dengan kempen sebegini, ketidakhadiran orang-ramai di ceramah-ceramah panas membawa petanda tidak baik kepada Pemuda Umno.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan kegagalan program berkenaan berlaku kerana masih ramai di kalangan ahli Umno yang menyokong Anwar dan laungan 'Anwar Pengkhianat' hanyalah retorik Umno.

"Saya yakin sebahagian besar daripada penyokong Umno masih lagi dengan Datuk Seri Anwar. Oleh kerana slogan pengkhianat ini retorik Umno-BN dan diulang sebab itu saya yakin ia tidak mendapat sambutan kerana mereka tahu sebenarnya siapa yang mengkhianati Melayu, siapa pengkhianat. Kehadiran yang tidak ramai menunjukkan rakyat tidak bersama UMNO.

"Ini jelas menampakan Umno dan BN ketandusan idea dan idea mereka adalah idea lama yang tidak diterima masyarakat kerana merasakan idea ini biadab dan tidak bertamadun," katanya.

Di selatan tanahair, pemimpin kanan Umno sendiri 'mengkhianati' Umno dengan memulaukan perhimpunan mengutuk Anwar Ibrahim di Batu Pahat.

Hanya 400 orang dari sasaran 10,000 orang yang hadir ke perhimpunan kutuk-mengutuk itu.

Bahkan, ramai daripada mereka yang hadir menyisihkan diri daripada perhimpunan berkenaan apabila beberapa pemimpin UMNO memberi ucapan berbau perkauman dalam keghairahan menuduh Anwar sebagai pengkhianat bangsa.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melontarkan tuduhan pengkhianat terhadap Anwar dijadualkan hadir pada perhimpunan itu di Dataran Penggaram.

Namun pemimpin Umno Johor itu sendiri dikatakan menarik diri apabila diberitahu mengenai sambutan dingin terhadap perhimpunan itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Pusat Nasruddin Hassan Tantawi berkata, kebanyakan yang hadir ke program anjuran Umno adalah mereka yang telah dikerah oleh parti berkenaan dan sambutan dingin dari masyarakat merupakan isyarat penolakan rakyat kepada Umno.

"Saya tidak hairan kalau rakyat tidak beri sambutan, 400 dan 300 orang dikira sudah ramai. Mungkin kerana kerahan atau pembiyaian dibuat kepada mereka yang hadir. Biasanya dalam perhimpunan Umno mengikut pengalaman kita dihantar kenderaan, diberikan imbuhan. Kegagalan untuk mendapatkan sokongan itu merupakan isyarat dari rakyat yang UMNO perlu faham," katanya.

Hadirin juga kelihatan terkilan dengan ungkapan-ungkapan kesat dan biadap terhadap Anwar pada pemidang-pemidang Umno yang direntangkan.

Namun sambutan hambar adalah tamparan ke kiri dan kanan muka Muhyiddin dan Khairy Jamaluddin.

Ia juga bukti terbaru bahawa politik fitnah dan serangan peribadi yang dibawa oleh Muhyiddin ditolak oleh akar umbi parti.

Ketua Pemuda DAP, Look Siew Fook berkata, cara Umno menggunakan serangan peribadi merupakan faktor rakyat mula menolak parti berkenaan.

"Saya rasa masyarakat sudah muak dengan cara mereka yang membuat serangan peribadi, kalau mereka hanya bergantung kepada cara ini untuk menyerang keperibadian seseorang pemimpin untuk berkuasa seperti menggali lubang kubur sendiri," katanya.

Sumber : tvantara

Seorang Jaguh Kampung Bernama Khairy...

Khairy Jamaluddin adalah jaguh kampung, tidak lebih daripada itu. "Kampung Khairy" terletak di mana sahaja, asalkan beliau dapat berucap secara berapi-api, biarpun tanpa hujah bernas atau benar. Tidak apa jika jumlah penontonnya sedikit.

Yang penting, media arus perdana suruhan Umno-BN, harus hadir untuk menelan apa saja yang diluahkan oleh Khairy bagi "dimuntahkan" semula keesokan hari dalam akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian, RTM dan TV3.

Di "Kampung Khairy", tidak boleh ada perbahasan terbuka mengenai isu-isu bersabit rasuah dan kepentingan rakyat. Kerana isu-isu seperti itu akan menegakkan kebenaran dan mendedahkan siapa Khairy sebenarnya.

Hakikatnya ialah Khairy bukan sahaja pengkhianat kepada kebenaran tetapi beliau juga pengecut yang menarik diri dari perbahasan dengan Ketua Pemuda PAS atas topik yang amat penting: Rasuah dan masa depan Malaysia- di mana peranan pemimpin muda politik?

Setelah menyatakan kesanggupan untuk berdebat dengan Pemuda PAS atas topik yang relevan kepada kelangsungan kaum Melayu dan Islam, Khairy tiba-tiba menarik diri tanpa alasan bernas.

Namun, tidak ramai yang terkejut dengan tindakan itu. Sememangnya tidak banyak yang boleh diharapkan daripada Khairy bersabit isu rasuah.

Khairy sendiri didapati bersalah atas amalan politik wang oleh Lembaga Displin Umno pada pemilihan parti yang lalu. Yang lebih menjengkelkan ialah beliau dibenarkan bertanding dan menang, setelah menewaskan seorang lagi calon "bersih" Khir Toyo. Itulah tahap kepemimpinan dalam Pemuda Umno dan politik yang dibawa oleh parti mereka.

Setelah "lari" seperti cacing kepanasan apabila dicabar untuk berdepan dengan Pemuda PAS, apakah yang dilakukan oleh Khairy untuk menutup malunya: Beliau bertandang ke Shah Alam malam tadi untuk mencaci PAS dan Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat Melayu.

Beliau membawa segerombolan konco-konconya untuk memaki hamun Anwar dan PAS. Malah Ketua Pemuda Umno Selangor Suhaimi Ghazali berkata politik PAS mungkin berkesudahan dengan "babi dijual secara terbuka di Shah Alam."

Inilah contoh politik murahan yang dibawa oleh Pemuda Umno kononnya untuk menyatukan orang Melayu. Ini "mesej harapan" yang dijaja oleh Khairy dan Pemuda Umno kepada orang Melayu atas nama mempertahankan kesucian Islam.

Pada ceramah malam tadi, Khairy sendiri membuat pelbagai tuduhan melulu dan fitnah terhadap Anwar. Malah kain rentang dengan kata-kata kesat dan biadap anti Anwar dipaparkan untuk ditanda-tangani oleh Khairy dan konco-konconya.

Serangan peribadi tanpa batas ini hanya disaksikan oleh kira-kira 300 orang, sebilangan besarnya ahli Pemuda Umno sendiri. Hanya beberapa kerat sahaja merangkumi penduduk setempat di Seksyen 6 Shah Alam. Mereka tentunya menggeleng kepala melihat celoteh Khairy dan budak-budak suruhannya.

Segala sandiwara Pemuda Umno ini tidak membawa apa-apa makna. Khairy telah lama hilang kewibawaannya apabila disabit atas kesalahan rasuah politik oleh partinya sendiri. Beliau hilang kredibiliti sama sekali apabila tidak menepati janjinya untuk berbahas dengan kepemimpinan Pemuda PAS dalam usaha membina sebuah negara yang bersih daripada rasuah.

Sebaliknya, Khairy lebih ghairah meraih sokongan Muhyiddin Yassin (Timbalan Presiden Umno) dengan menganjurkan ceramah-ceramah untuk membidas dan menfitnah PAS serta Anwar.

Ini untuk menguatkan "saham"nya dengan Muhyiddin sebagai taktik untuk mengimbangi pengaruh kuat Hishamuddin Tun Hussein ke atas Perdana Menteri Najib Razak. Itu pertimbangan utama dalam segala rencana politik Khairy. Bukan sukar untuk membacanya.

Namun, politik fitnah sehingga menyerang keperibadian pemimpin seperti Anwar dan Nik Aziz yang dibawa Muhyiddin dan dijaja oleh Khairy sudah lama ditolak orang Melayu dan rakyat amnya.

Buktinya terserlah pada pilihanraya umum 2008 dan pada enam pilihanraya kecil di Semenanjung di mana Umno-BN tewas pada kesemua pemilihan itu. Dan ia akan terserlah sekali lagi di Permatang Pasir pada 25 Ogos ini.

Pengecut dan jaguh kampung yang angkuh tidak mungkin menyedari hakikat ini. Khairy Jamaluddin adalah kedua-duanya sekali.

Sumber : tvantara

16 August 2009

Ahli Umno khianati Umno Johor

Ahli Umno, termasuk pemimpin kanan parti bertindak "mengkhianati" Umno Johor dengan memulau perhimpunan di Batu Pahat petang tadi untuk mengutuk Ketua Umum Keadilan Anwar Ibrahim yang dituduh sebagai pengkhianat Melayu.

Program anjuran UMNO itu diwar-warkan akan menghimpun 10,000 orang tetapi hanya dihadiri oleh kira-kira 400 orang, antaranya pelajar dan warga tua.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melontarkan tuduhan pengkhianat terhadap Anwar dijadualkan hadir pada perhimpunan itu di Dataran Penggaram.

Namun pemimpin Umno Johor itu sendiri dikatakan menarik diri apabila diberitahu mengenai sambutan dingin terhadap perhimpunan itu.

Ramai daripada mereka yang hadir bertindak menyisihkan diri daripada perhimpunan berkenaan apabila beberapa pemimpin UMNO memberi ucapan berbau perkauman dalam keghairahan menuduh Anwar sebagai pengkhianat bangsa.

Antara yang berucap ialah Ketua Umno Bahagian Kulai, Datuk Adam Hamid; Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Dr Puad Zarkashi dan Ketua UMNO Bahagian Seri Gading, Datuk Mohamed Aziz.

Hadirin juga kelihatan terkilan dengan ungkapan-ungkapan kesat dan biadap terhadap Anwar pada pemidang-pemidang Umno yang direntangkan.

Ramai yang meninggalkan perhimpunan itu dan meluangkan masa bersiar-siar dan beriadah di dataran berkenaan tanpa menghiraukan ucapan pemimpin Umno Johor.

Jumaat adalah cuti umum di Johor dan perhimpunan itu diadakan hari ini dengan harapan dapat menarik penyertaan ramai.

Namun sambutan hambar adalah tamparan, bukan sahaja ke atas penganjur tetapi yang lebih besar, terhadap Muhyiddin sendiri.

Ia juga bukti terbaru bahawa politik fitnah dan serangan peribadi yang dibawa oleh Muhyiddin ditolak oleh akar umbi parti

Sumber : tvantara

DSAI Bidas UMNO BN Perkuda Agensi Kerajaan

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah tindakan kerajaan UMNO Barisan Nasional menggunakan agensi polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mendera pimpinan yang tidak mempunyai sebarang kesalahan.
“Kita juga rasa pimpinan UMNO dan Barisan Nasional menggunakan polis dan juga SPRM untuk mengancam dan mendera pimpinan termasuk juga yang tiada sabit atau kes sama sekali. Paling terakhir terhadap YB Anthony Loke didakwa menghina Islam padahal tidak ada perkataan yang boleh dipertanggungjawabkan pada hal itu," kata Datuk Seri Anwar.

“Kita boleh keluarkan puluhan kenyataan pimpinan UMNO yang menghina agama dan menghukum agama tidak pun disiasat dan cuba difitnah kepada pimpinan lain dan digunakan isu perkauman soal Cina soal kononnya kita, saya dan Tengku Saadi seolah menyokong DAP dan fahaman Cina dan sebagainya,” kata Anwar.

Terdahulu Anthony Loke dituduh atas dakwaan bahawa beliau telah memburukkan Kesultanan Perak dan menghina Islam sedangkan beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang berbau hasutan atau menghina Islam.

Anwar turut mengatakan bahawa beliau percaya akhbar Utusan Malaysia akan mengeluarkan kenyataan bahawa dirinya merupakan pengkhianat lagi kerana menyokong Anthony Loke.

Sumber : tvantara

Intergrasikan jentera 3 parti Pakatan - Lim Guan Eng

Oleh Dzulfikar Mashoor

PERMATANG PAUH, 16 Ogos: Semasa melancarkan jentera DAP di Permatang Pasir semalam, Ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mahu semua parti komponen Pakatan bersatu berkempen habis habisan memenangkan calon PAS, Ustaz Salleh Man.

Ini kerana kemenangan Pakatan Rakyat bagi kerusi DUN Permatang Pasir sangat penting bagi ketiga-tiga parti Pakatan samaada PAS, PKR atau DAP.

Selain untuk mengekalkan survival politik parti masing masing, keputusan pilihanraya Permatang Pasir ini juga penting kerana ianya bakal mencerminkan sejauh mana keutuhan dan muafakat yang terjalin antara ketiga tiga parti Pakatan setelah cuba dirobek dengan pelbagai cara oleh Umno Barisan Nasional.

Melihat kepada kesan besar itu, Lim Guan Eng mengharapkan pilihanraya kecil ini adalah medan pembuktian muafakat kesemua parti pakatan dengan menggunakan pendekatan mengintegrasikan kesemua jentera parti.

"Kita akan cuba integrasikan gerak kerja masing-masing di sini. Kita pernah guna strategi integrasi kempen semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding, semasa Dr. Mansor Othman bertanding dan sekarang kita perkasakan sekali lagi untuk calon kita, Salleh Man," ujarnya semalam.

Kesemua komponen parti Pakatan katanya mempunyai kelebihan masing-masing dan jika ianya digunakan secara strategik, ia mampu membuahkan kejayaan yang lebih besar dari apa yang pernah dicapai.

"Kita akan buat bersama dan juga mengikut aktiviti parti-parti. Kita perlu faham bahawa ada beberapa kerja-kerja perlu dilakukan bersama dan mengikut parti secara fleksibel," tambahnya lagi

Sementara itu Pengerusi DAP Negeri Chow Kon Yeow yang juga Exco Kerajaan Pulau Pinang berkata pendekatan kempen DAP pada Pilihanraya Umum yang lalu serta beberapa pilihanraya kecil di negeri itu akan digunakan sepenuhnya.

Namun jelasnya, skuad pemantau isu yang ditubuhkan DAP akan mengkaji kesesuaian pendekatan baru yang akan diambil supaya selaras dengan pendekatan kempen PAS dan realiti pengundi setempat.

Petang ini juga, akan berlangsung pelancaran jentera pemuda Pakatan oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di bilik gerakan AMK di sini. Ianya akan disusuli dengan satu ceramah perdana malam ini yang akan turut disertai Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul hadi Awang.

Sumber : Harakahdaily

15 August 2009

Penyokong Anwar pula demo bantah Muhyidin

Oleh Ali Hashim

PERMATANG PAUH, 14 Ogos: Selepas para pengikut Umno berdemonstrasi menyokong kenyataan timbalan presiden mereka, Tan Sri Muhyidin Yasin, para penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berdemostrasi hari ini bagi membantah Muhyidin.

Mereka mengadakan demonstrasi secara aman itu di hadapan Masjid Kubang Semang, Permatang Pauh selepas solat Jumaat tadi.

Demonstrasi yang disertai para penyokong Pakatan Rakyat (PR) itu diadakan bagi membantah tindakan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan Umno yang menggelarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat.

Sepanduk dengan pelbagai luahan rasa oleh penyokong-penyokong PR seperti 'Siapa Pengkhianat', 'Siapa Yang Sebenarnya Mengkhianati Bangsa' dan juga laungan takbir turut memenuhi ruang.

Demonstrasi tersebut turut disertai oleh penyokong-penyokong bukan Melayu yang turut bersimpati dengan kenyataan yang tidak sepatutnya dihemburkan oleh seorang pemimpin negara.

Walau bagaimana pun demonstrasi aman ini tidak tercalar dan tiada berlakunya kekecohan kerana tiada anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) yang datang mengganggu dan menyebabkan kekecohan.

Terdapat juga suara-suara yang berkata sekiranya ada pasukan polis atau FRU yang hadir sudah pasti keadaan aman akan menjadi kelam-kabut dan dipenuhi dengan kacau bilau sepertimana yang berlaku dalam program ceramah Mansuhkan ISA di Taman Guar Perahu, Bukit Mertajam baru-baru ini. _

Sumber : Harakahdaily

Pakatan kukuh, sebulat suara kutuk Umno hina Islam

Oleh Zulfikar Mashoor

PETALING JAYA, 14 Ogos : Bengkel Memperkukuh Pakatan Rakyat di Tropicana Goft Resort petang semalam bukan sahaja berjaya mencapai kata sepakat berhubung isu arak di Selangor, malah sebulat suara mengutuk berpuluh tindakan Umno menghina Islam sebelum ini.

Menurut Dato' Seri Anwar Ibrahim, telah banyak laporan polis dibuat berhubung kenyataan Umno menghina Islam dan sensitiviti kaum Cina di Malaysia sebelum ini,tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil ke atas pemimpin-pemimpinparti terbabit

Beliau yang juga Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR turut mempersoal tindakan Polis menyerahkan beberapa isu tersebut kepada pemimpin atasan Umno sendiri untuk tindakan susualan dan 'arahan' seterusnya.

Jelas Anwar lagi, masalah arak di Selangor, dakwaan Anthony Loke (DAP) menghina Islam serta gelaran 'pengkhianat' yang dilabelkan ke atas dirinya itu hanya sandiwara arus perdana semata mata; demi menutup salah laku Umno menghina Islam dan kaum Cina.

"Kepimpinan Umno yang hina Islam tidak pernah disiasat, sebaliknya digunakan isu perkauman, soal Cina dan saya (serta) Ustaz Hadi dilaporkan seolah-olah menyokong DAP (dan) Cina hina Islam.

Bercakap dalam sidang media yang sama Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersependapat dengan Anwar dan menyifatkan slogan 'Satu Malaysia'yang dialung-laungkan parti-parti pemerintah sekadar menutup permusuhan dalaman masing-masing dari diketahui umum.

"Apa guna kita (Pakatan Rakyat) dikatakan bersama, tetapi tidak bersatu. Itu (Masalah) Barisan Nasional yang sudah dikenali retak.

"Mereka saling bermusuhan walau pun mereka terpaksa melaungkan slogan 'Satu Malaysia'," katanya.

Penasihat DAP Lim Kit Siang turut menegaskan bahawa bengkel tersebut berjaya menyatukan suara dalam Pakatan Rakyat demi memastikan agenda perubahan terus digerakkan.

Pakatan Rakyat juga bersetuju menubuhkan beberapa sekretariat di pelbagai peringkat untuk memastikan muafakat masing-masing kian kukuh.

Peringkat Penggubalan Dasar akan diketuai bersama Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden PKR Azmin Ali dan Timbalan Pengerusi DAP Dr. Tan Sing Giaw yang mana masing-masing adalah Ketua Whip di Parlimen.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Ketua DAPSY Anthony Loke dan MKT PKR Dato' Zaid Ibrahim dipertanggungjawabkan memperkukuh Sekretariat Pakatan Rakyat di peringkat negeri dan Pusat.

Bengkel itu sebulat suara bersetuju menggunakan saluran yang betul di peringkat pusat dan negeri seandainya berlaku lagi sebarang perselisihan pendapat.

Jika satu-satu perselisihan gagal diselesaikan, maka ianya akan dirujuk terus pula pada Panel tatatertib yang dipersetujui bersama.

Terdahulu, Dato' Dr. Hasaan Ali Exco Kerajaan Negeri yang juga Pesuruhjaya Selangor berselisih faham dengan Ronnie Liu Exco Kerajaan Negeri yang juga pemimpin DAP negeri hatta diperbesar oleh media arus perdana. -azm _

Sumber : Harakahdaily

14 August 2009

Ahli Parlimen PKR terima SMS ugutan

SHAH ALAM – Ancaman bunuh dalam dunia politik kini dilihat menjadi-jadi, terbaru Gwo Burne Loh menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan daripada individu yang tidak dikenali.

Ahli Parlimen Kelana Jaya itu menerima SMS tersebut pada hari Ahad lalu ketika berada di Sri Hartamas.

“SMS itu dihantar oleh individu yang tidak saya kenali dan antara kandungannya ialah agar saya tidak ‘bermain dengan api’.

“Selain itu, individu itu turut mengaitkan beberapa pemimpin dan bekas pemimpin seperti mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Gwo Burne berkata, SMS itu turut mengecam beberapa pihak lain seperti Majlis Peguam serta pihak polis yang tidak dapat mengesannya sekiranya dibunuh.

Menurutnya, dia tidak akan tunduk dengan ugutan SMS tersebut dan akan terus menjalankan tugasnya sebagai Ahli Parlimen.

“SMS itu turut mengatakan kematian Teoh Beng Hock yang sehingga kini masih lagi belum diketahui sebab kematiannya,” katanya.

Berikutan ugutan SMS berkenaan, Gwo Burne telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Bagaimanapun, saya diminta membuat laporan polis di Balai Polis Travers berikutan saya menerima ugutan itu ketika berada di Sri Hartamas,” katanya.

Gwo Burne berkata, polis telah menerima laporannya dan akan mengambil tindakan.

Sumber : Sinar Harian

Isu arak: PR sokong langkah Selangor

PETALING JAYA - Pakatan Rakyat (PR) sebulat suara bersetuju dengan langkah kerajaan Negeri Selangor supaya pengedar dan penjual minuman keras di Selangor perlu menggunakan mekanisme sistem kawalan kendiri.

Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu perselisihan antara dua Exco Selangor iaitu Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan Ronnie Liu telah selesai dan hanyalah masalah kecil tetapi telah diperbesar-besrakan oleh media.

Menurutnya, PR bersetuju agar arak tidak dijual kepada orang Islam dan penjualan kepada orang bukan Islam kekal seperti sedia kala.

”Kita sepakat setelah bermesyuarat bahawa isu arak di Selangor yang digembar-gemburkan media sebelum ini telah selesai.

”Kita juga bersetuju supaya arak tidak dijual kepada orang Islam dan penjualan kepada orang bukan Islam kekal seperti sedia kala,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PR di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R Sivarasa.

Menurutnya, tidak timbul isu pemimpin yang terlibat diarah untuk tidak bersuara kerana isu ini diselesaikan melalui forum yang dipersetujui semua pimpinan PR.

”Tiada persoalan mengenai arahan tutup mulut kerana mereka semua setuju menggunakan forum dan kami berasa gembira dengan komitmen yang diberikan,” katanya.

Anwar berkata, mesyuarat dan forum yang membincangkan masalah dalaman parti seperti ini mampu memperkuatkan PR.

”Memang ada arahan jelas oleh pimpinan parti supaya kita gunakan forum peringkat negeri dan pimpinan untuk berbincang masalah berbangkit.

”Kalau kita tidak dapat selesaikan kita akan rujuk kepada panel tatatertib supaya ia (masalah) dapat di bincang untuk mencari jalan penyelesaian yang sewajarnya,” katanya.

Sebelum ini, Hasan mendesak perlucutan jawatan Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu selepas campur tangan ahli-ahli politik dalam isu jual arak di Selangor.

Hasan juga mahu penjualan arak di kawasan yang mempunyai majoriti orang Islam diharamkan. Tindakan itu menyebabkan DAP Selangor mendesak satu jawatankuasa tindakan disiplin diwujudkan bagi membincangkan tindakan yang akan dikenakan terhadap Hasan.

Terdahulu, Ronnie Liu mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya memulangkan bir yang dirampas di sebuah kedai serbaneka dekat sini.

Beliau berkata, ia perlu dipulangkan semula kerana salah faham dan perkara itu juga dikecam UMNO Selangor.

Sumber : Sinar Harian

13 August 2009

Rakyat sudah pandai menilai: Anwar

REMBAU – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin usaha UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menjatuhkannya tidak akan berhasil.

Beliau berkata, ini kerana perkara sedemikian sudah berlanjutan sejak sekian lama, bagaimanapun ia berjaya ditepis kerana sikap masyarakat kini yang sudah pandai menilai.

“UMNO melalui pemimpinnya sudah beberapa kali mencuba untuk menjatuhkan saya dan perkara ini sudah berlanjutan sehingga 11 tahun. Saya sudah biasa dengan percubaan yang dilakukan UMNO, namun tidak sesekali akan berundur, sebaliknya terus memperjuangkan hak rakyat.

“Tindakan (Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin) Muhyiddin yang satu ketika dahulu merupakan rakan seperjuangan menghebahkan isu pengkhianat membuktikan mereka sudah tidak berdaya untuk meraih sokongan rakyat, sehinggakan sengaja menghebahkan isu saya sebagai pengkhianat yang seakan tidak jelas tanpa bukti kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada majlis Ceramah Sambutan Kemerdekaan Kali Ke-52 yang berlangsung di Kampung Selemak, di sini, malam semalam.

Hadir sama, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim; Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu dan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar.

Selain itu menurutnya, BN dan UMNO sengaja menggunakan media massa aliran utama sebagai alat untuk menjatuhkannya dan PR melalui penyebaran pelbagai fitnah bagi mengaburi mata rakyat.

Bagaimanapun katanya, perbuatan sedemikian tidak berjaya kerana masyarakat sudah celik dengan isu semasa.

Katanya, PR tidak akan sesekali berundur dan mendakwa terus memperjuangkan segala isu yang kian dicemari laporan tidak benar segelintir media massa aliran utama yang dikuasai kerajaan serta berharap seluruh rakyat menyedari hakikat sebenar.

“Mereka (BN-UMNO) mempunyai media massa tersendiri untuk digunakan bagi kepentingan mereka. Namun, mereka harus sedar bahawa masyarakat masa kini sudah celik serta mengetahui tindakan yang sudah dilakukan kepada rakyat yang tidak berdosa.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat untuk bersama dengan menguatkan PR sekali gus menguasai keseluruhan Pilihan Raya Umum 2013 demi mewujudkan kerajaan rakyat mentadbir negara. Kami tidak akan berundur dan terus akan berjuang sampai bila-bila,” katanya.

Program dihadiri lebih 2,000 penyokong PR itu dianjurkan bagi menerangkan mengenai pelbagai isu semasa, di samping bersama menyambut Bulan Kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Pada majlis sama, turut diadakan sambutan hari lahir Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang disambut PR negeri dan Bahagian Rembau.

Sumber : Sinar Harian

Umno tergugat punca Anwar diserang, kata Nik Aziz

Oleh Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 12 Ogos (Hrkh): Kerana kehebatan dan kejayaannya menggugat Barisan Nasional (BN) khasnya Umno, menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di serang habis-habisan, kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik.

Bagi beliau, semuanya berdasarkan satu perkara sahaja iaitu dengki terhadap Ketua Pembangkang itu sehingga beliau dituduh sebagai pengkhianat bangsa.

Nik Aziz berkata demikian ketika mengulas serangan besar-besaran Umno terhadap Anwar Ibrahim sejak kebelakangan ini.

Ia bermula dengan kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin yang mendakwa Anwar adalah pengkhianat orang Melayu. Namun, tidak ada sebarang kenyataan yang jelas apa dia pengkhianatan yang dibuat Anwar.

Ekoran itu, Anwar menghantar notis peguam kepada Muhyidin dan meminta agar kenyataan itu ditarik balik dan meminta maaf kepadanya.

Namun, ia ditolak oleh Muhyidin bahkan selepas itu, Umno Johor berhimpun di Paguh dan meneriakkan perkataan "Anwar pengkhianat" secara beramai-ramai. Mereka juga mencabar Anwar menyaman mereka.

Menurut Nik Aziz, Umno seharusnya menyerang dasar perjuangan parti PKR dan bukannya individu sekiranya mendapati perjuangan parti itu tidak betul.

(Gambar: Hubungan rapat antara Anwar dengan Nik Aziz dan Abdul Hadi)

Katanya lagi, dalam sejarah ketamadunan manusia, Namrud dan Firaun walaupun berkuasa namun kerana menghianati ajaran Allah, mereka tetap menerima padah serta hukuman dari Allah walaupun berbangsa Arab.

Umno katanya, tidak wajar menyerang individu untuk menarik perhatian masyarakat terhadap mereka dengan memburukkan Anwar Ibrahim, sebaliknya dasar parti yang perlu dikritik atau seumpamanya sekiranya ia tidak betul.

Beliau melahirkan rasa malu terhadap orang politik Malaysia yang menyerang individu secara besar besaran dengan mengatakan Anwar sebagai penghianat bangsa.

Jelasnya, kalau demikian hujjah Umno, Nabi Muhammad saw juga boleh diistilahkan sedemikian kerana baginda turut menentang bapa saudara yang sebangsa dengannya.

"Sejahil-jahil orang Arab Jahiliah pun dia tak kata Nabi Muhammad ni penghianat bangsa, sebaliknya sebagai orang yang memperbodohkan pemimpin kami, itu saja tak ada pun sebut pengkhianat bangsa,ujarnya lagi.

Sambungnya lagi, masalah bangsa itu hanya akan timbul setelah masyarakat itu sendiri yang membangga-banggakan bangsanya, sedangkan seruan bangsa di Padang Mahsyar nanti tidak wujud.

Tambahnya, sekiranya bangsa cukup berharga di sisi Allah, tentu sekali bangsa Arab lebih berharga dari Melayu.

Menurutnya, kerana Anwar bersama Pakatan Rakyat dan semakin diterima rakyat, menyebabkan mereka takut dan cara yang difikirkan sesuai bagi mereka ialah menyerang ketua pembangkang itu secara peribadi.

"Kita ni nak naikkan (fahaman) politik, dan bukannya nak menaikkan atau memburukkan individu tertentu, tak betul, itu memalukan kita,"ujarnya.

Sumber : Harakahdaily

12 August 2009

Teguran Anwar Kepada Muhyiddin: Cermin Diri Sebelum Tuding Jari

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menegur Timbalan Presiden Umno Muhyiddin Yassin dan juak-juaknya supaya bermuhasabah, sebelum menuduh orang-lain pengkhianat bangsa.

Bercakap di suatu ceramah di Kemaman malam semalam, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu meminta ahli Umno supaya melaburkan sedikit kuasa minda melihat siri laporan polis dan rasuah yang difailkan terhadap pimpinan parti perkauman itu.

Sejarah membuktikan, tegas Anwar, bahawa yang merampas tanah, yang merasuah, dan yang menyeleweng adalah dari kalangan mereka ini.

"Mereka boleh kata dan fitnah saya macam-macam. Saya cuma mahu ingatkan mereka, terutamanya Timbalan Presiden Muhyiddin Yassin, jangan kamu tuduh saya pengkhianat Melayu. Tanah orang Melayu mana saya ambil? Saham mana saya rampas? Projek mana saya raih? Tunjukkan pada saya. Saya mahu tanya pada mereka, apa Muhyiddin tidak ada akaun bank dalam dan luar negara? Saya mahu ingatkan pada beliau, jangan sampai saya isytihar perang nanti kamu terduduk tidak dapat jawab pendedahan-pendedahan saya," kata Anwar.

Pada malam itu, Anwar menyorot perhatian hadirin kepada tabiat pemerintah yang bercakap mengenai pembelaan hak melayu, namun dalam masa yang sama menjarah harta negara untuk diri dan kroni.

"Negara kita tidak ikut kedaulatan undang-undang. Apabila orang kecil curi motor, curi lembu, dia ditangkap bahkan dipukul. Kalau pemimpin Umno, MCA dan geng-geng mereka ambil wang juta-juta ringgit, polis dan SPRM buat-buat tidak nampak. Satu gunung Umno bagi pada taukey judi, dan hari ini mereka tuduh kita pula yang khianat," kata Anwar.

Pemimpin reformasi itu berkata Pakatan Rakyat tidak berminat dengan permainan politik Umno-BN, kerana agenda reformasi dan politik pembaharuan yang dibawa gagasan pembangkang jauh lebih besar manfaatnya untuk rakyat.

"Minda kita harus dibuka, jika tidak kita akan ditipu. Hasil minyak misalannya harus diserahkan kepada negeri yang mengeluarkannya dan rakyat negeri terbabit. Petronas telah diuruskan oleh anak-anak Melayu dengan baik sekali, tetapi yang kita pertikaikan adalah kemana duit-duit Petronas ini diambil dan dibelanjakan oleh kerajaan Pusat. Kemana pergi wang yang sepatutnya memperkaya rakyat? Sebaliknya yang kaya hanya dua tiga kerat orang," tegas Anwar.

Sumber : tvantara

Siapa pengkhianat sebenar bangsa, negara?

Oleh Mohd Khalil Abdullah

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Hrkh) - Siapa sebenarnya pengkhianat bangsa dan negara? Benarkah pengkhianat sedemikian wujud atau sekadar dongengan Umno-BN untuk meraih simpati murahan daripada rakyat?

Persoalan pengkhianat bangsa dan negara bukan kali pertama diutarakan. Malah jika dilihat,ungkapan sedemikian seringkali menjelma terutama dalam menghadapi detik-detik pilihan raya atau negara sedang dilanda pelbagai isu yang hangat.

"Rakyat tidak pernah lupa siapakah yang menggadai Genting Highlands, Pangkor Laut dan penyelewengan dana awam di atas nama komisen,"tegas Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam blog peribadinya.

Beliau yang mengulas isu khianat sebelum itu menjelaskan siri program yang dihadirinya semalam.

"Saya tiba sekitar jam 5.00 petang di Felda Neram Satu. Acara tersebut disusun khas bagi mendekati masyarakat Felda serta menerangkan keutuhan Permuafakatan Pakatan Rakyat dan khususnya jalur perjuangan Parti Keadilan Rakyat.

"Ditekankan keutamaan dasar yang dilakar demi kesejahteraan rakyat semua, dan bukannya hanya untuk memenuhi nafsu tembolok tauke-tauke kaya serta sesegelintir bangsawan politik semata.

"Turut disentuh kejayaan negeri-negeri pentadbiran Pakatan Rakyat yang berusaha bersungguh-sungguh membasmi kemiskinan dan memerangi rasuah kendati pun berhadapan serangan bertali arus aparat umno-BN,"jelasnya.

Beliau juga menerangkan bagaimana program menjamin kebajikan rakyat seumpama pemberian air percuma, tabung warisan anak Selangor, skim mesra usia emas yang dilaksanakan di Kelantan mahupun Selangor.

"Tidak ketinggalan, saya menegaskan pentadbiran di semua negeri Pakatan Rakyat yang berlandaskan kebolehan, pertanggungjawaban dan ketelusan. Semua dasar tersebut terbukti mesra pelabur, apatah lagi ketika mengalami kemurungan, mereka tentunya mahukan pengurusan ekonomi terbaik dan beramanah.

"Program seterusnya adalah ceramah bersama Dato' Chua Jui Meng di Bandar Chukai dan kemudiannya ceramah perdana di Kerteh bersama Saifuddin Nasution, Ustaz Harun Taib serta Abdul Rahman Yusuf. Lanjutan mengungkapkan dasar pemerintahan yang beramanah, saya lontarkan pula lawan dari makna amanah itu; perbuatan khianat.

"Sudah tentu isu khianat digembar gemburkan hanya dengan dengan satu tujuan, iaitu untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat dengan menjadikan saya sebagai sasaran. Sungguh tidak sangka jentera propaganda sanggup berbuat apa sahaja apabila terdesak hatta cuba memperbodohkan rakyat. Namun saya senantiasa yakin dengan kemampuan rakyat membuat penilaian dan pertimbangan.

"Rakyat sedar siapa yang sebenar-benarnya mengkhianati amanah nusa dan harapan rakyat negara ini. Mereka sudah tentu tidak lupa siapakah yang menggadai Genting Highlands, Pangkor Laut dan penyelewengan dana awam di atas nama komisen. Itu semua dilakukan hanya demi kepentingan sendiri,"tegasnya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) mendakwa ada individu-individu yang sanggup mengorbankan bangsanya sendiri demi memastikan cita-cita politik mereka tercapai.

"Menjadi tanggungjawab saya untuk menentang habis-habisan pihak yang sebegini. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan negara kalau kita (BN dan Umno) tidak berkuasa pada pilihan raya umum akan datang," katanya. - mks. _

Sumber : Harakahdaily

Anwar mohon semakan ketepi pendakwa kes liwat

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah agar kumpulan timbalan pendakwaraya kini diketepikan daripada mengendalikan kes liwat yang dihadapinya.

Penasihat PKR itu memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran membuat semakan itu di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Kuala Lumpur jam 11.30 pagi ini.

Beliau menamakan Peguam Cara I Datuk Idris Harun, Peguam Cara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan barisan timbalan pendakwaraya Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Shamsul Sulaiman dan Noorin Badaruddin sebagai pihak responden.

Pendakwaraya dan kerajaan Malaysia turut dinamakan sebagai responden dalam permohonan ketua pembangkang itu.

Peguam belanya Sankaran Nair berkata, permohonan itu difailkan kerana Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail didakwa bertindak berat sebelah dan prejudis dalam pendakwaan kesnya.

Sumber : Malaysiakini

Designed by - AMK TANGGA BATU